Header Ads

ads header

Flash News

Kenyataan Akhbar Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)


1. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menjunjung kasih ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong kerana memperkenan pelantikan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia. PPMM juga bersyukur Majlis Angkat Sumpah Jawatan juga berjalan lancar pagi tadi.

2. PPMM selanjutnya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia. PPMM yakin dengan kebolehan, pengalaman dan kekuatan yang ada pada beliau, beliau dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan jaya. Sesungguhnya jawatan tersebut bukanlah suatu kemuliaan (tasyrif) semata-mata tetapi lebih merupakan kebertanggungjawaban (taklif) di pundak Perdana Menteri.

3. PPMM berpandangan pelantikan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah proses demokrasi biasa yang diamalkan di Malaysia dan tiada perkara yang bercanggah dengan perundangan negara. Malah situasi yang negara hadapi sejak beberapa hari lalu secara tidak langsung mengajar rakyat kepentingan institusi Raja di Malaysia dalam konteks Raja Berperlembagaan.

4. Bagi mereka yang masih tidak dapat menerima kenyataan pemilihan Yang Di Pertuan Agong ini, PPMM menasihatkan ikutilah lunas-lunas perundangan yang ada di dalam sesuatu tindakan. Terdapat remedi-remedi yang diperuntukkan dalam undang-undang yang boleh diambil jika masih berpendirian sebegitu bukan mempersoal kebijaksanaan Yang Di Pertuan Agong di dalam pemilihan tersebut.

5. PPMM juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan Perdana Menteri ketidakpuasan rakyat khususnya orang Melayu/Islam kepada kerajaan yang lepas kerana masyarakat Melayu/Islam arusperdana merasakan dipinggirkan dalam banyak dasar yang diambil.

6. PPMM menegaskan setiap kerajaan yang memerintah wajib mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, memelihara agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu. Jangan diulangi kesilapan yang telah dilakukan terdahulu. Adalah amat penting NGO-NGO Islam dirundingi di dalam setiap dasar yang melibatkan hal ehwal Islam dan orang Melayu.

7. Malah pandangan para ulama sebenar yang non-partisan juga hendaklah selalu diperolehi berkaitan isu-isu Islam sejajar dengan kedudukan tinggi Islam di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

8. Kepentingan sah kaum-kaum lain juga hendaklah dipertahankan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Toleransi antara kaum yang selama ini menjadi kekuatan kita hendaklah menjadi teras kepada pembangunan negara.

9. PPMM juga berharap agar ketelusan dan keadilan dimartabatkan, pihak kerajaan tidak mencampuri urusan badan lain seperti kehakiman. Bebaskan sector kehakiman dari sebarang kongkongan dan kes-kes di mahkamah yang melibatkan ahli politik terus dibicarakan tanpa campurtangan sehingga keputusan yang adil diberikan.

10. PPMM menyeru semua rakyat Malaysia agar terus bertenang dan memberi peluang kepada pihak kerajaan melaksanakan tanggungjawab mereka. PPMM kagum walaupun krisis politik ini melanda negara, keadaan negara masih aman dan tenteram tidak seperti beberapa negara lain yang sudah pasti berlaku pertumpahan darah.

11. Kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada Kerajaan sahaja tetapi juga sokongan padu dari rakyat. Pihak Kerajaan hendaklah sentiasa bekerjasama dengan rakyat di dalam membangunkan negara.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan