Header Ads

ads header

Flash News

Bersih, tiada skandal, berpengalaman kriteria utama jadi menteri


KUALA LUMPUR: Tiada masalah peribadi, bersih daripada skandal dan berpengalaman adalah antara syarat yang wajar diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memilih barisan Menteri Kabinet baharu.

Jemaah Menteri yang dilantik juga perlu dipastikan mampu mendukung aspirasi baharu kerajaan terutama untuk memulihkan ekonomi negara, mewujudkan kestabilan, menjaga kebajikan rakyat dan mengukuhkan perpaduan kaum.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berpendapat calon yang bakal dilantik Muhyiddin sebagai menteri perlu mempunyai pakej digariskan itu jika mahu meletakkan kembali Malaysia ke landasan tepat menjadi negara berdaya saing, diyakini dan mengutamakan rakyat.

Jelas beliau, Kabinet baharu ini mempunyai tempoh kira-kira tiga tahun saja lagi untuk memulihkan ekonomi, meraih semula kepercayaan pelabur dalam dan luar negara, mengukuhkan kestabilan politik serta memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, saya melihat persepsi akan dimainkan pihak tertentu untuk mengganggu kerja kerajaan baharu. Justeru, perlu ada ‘wajah’ menteri yang mempunyai pengalaman untuk membangunkan semula negara.

“Kalau boleh, jangan dilantik pemimpin yang bermasalah sehingga boleh dimanipulasi dan mencetus persepsi yang akhirnya merencatkan perjalanan kerajaan kerana terpaksa melayan serangan pihak lawan.

“Sekiranya calon itu tiada jawatan utama dalam parti sekali pun tetapi memiliki pengalaman serta tidak membawa imej buruk, ia harus diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya kepada BH, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Al-Sultan Abdullah berkenan memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapati Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Jemaah Menteri yang baharu perlu dipilih selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri, Isnin lalu sekali gus menyaksikan barisan Kabinet yang dibentuk pada 2018 terlucut daripada jawatan masing-masing.

Zuhdi turut menegaskan, jemaah menteri Kabinet yang bakal dilantik harus dipilih daripada pelbagai kaum berikutan kerajaan yang baharu terbentuk ini dilihat di dominasi kaum Melayu Bumiputera dari BERSATU, UMMO, PAS dan bekas pemimpin PKR.

“Disebabkan kumpulan yang mewakili kaum lain tidak ramai, MCA mempunyai dua wakil, MIC pula seorang, berkemungkinan perlu ada menteri yang dilantik bukan dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Walaupun teras kepemimpinan kerajaan di Malaysia adalah Melayu dan Bumiputera, kerajaan tidak boleh meninggalkan kaum lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan pembentukan Kabinet baharu akan diselesaikan pada minggu ini menerusi perundingan bersama parti yang membentuk kerajaan baharu.

Katanya, pelantikan Jemaah Menteri yang baharu juga perlu disegerakan bagi membolehkan kerajaan berfungsi dengan segera terutama memulihkan ekonomi, mengukuhkan kembali perpaduan antara kaum dan membantu rakyat.

MR :  Suatu pandangan yang baik


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan