Header Ads

ads header

Flash News

Lelaki maafkan pembunuh anaknya jadi jurucakap isu toleransi, belas kasihan


KUALA LUMPUR: Seorang bapa yang menyebabkan hakim menangis apabila beliau memaafkan pembunuh anaknya di mahkamah Amerika Syarikat kini menjadi jurucakap isu toleransi dan kemaafan di forum antarabangsa.

Bekas pengetua di 7 sekolah Islam di AS selama 31 tahun, Abdul Munim Sombat Jitmoud berkata, selain rumah ibadat, beliau turut menerima undangan berucap dalam pelbagai program bagi menyampaikan isu rahmah dan belas kasihan.

“Kebiasaannya saya berucap di masjid, gereja atau rumah ibadat Yahudi atau mana-mana organisasi yang menjemput saya untuk menyampaikan ucapan.

“Saya berkongsi dengan masyarakat yang kita perlu bersabar satu sama lain, tidak kira Islam atau bukan Islam.

“Kita perlu hidup dengan aman dan harmoni,” katanya kepada FMT selepas menyampaikan syarahan bertajuk “Kepentingan seorang bapa kepada keluarga dan komuntiti” di Ibu Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Jitmoud kini dalam misi jelajah ke 6 negara, termasuk Malaysia bagi menyampaikan ucapan. Namun, ada yang terpaksa ditangguhkan sementara ekoran penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Pelakon Morgan Freeman mewawancara Abdul-Munim Sombat Jitmoud untuk sebuah program khas yang dihasilkan National Geographic TV.

Disember tahun lalu, kerajaan Malaysia menganugerahkan Ikon Rahmah kepada Jitmoud atas sikap belas kasihannya yang menjadi contoh kepada masyarakat dunia.

Beliau pernah diwawancara pelakon Morgan Freeman dan personaliti terkenal lain atas kisahnya yang memberi inspirasi kepada ramai orang.

Anaknya, Salahuddin dibunuh ketika menghantar piza pada malam 19 April 2015 di Lexington, Kentucky. Beliau berusia 22 tahun dan pembunuhnya, Trey Alexander Relford berusia 24 tahun.

Ramai yang melabelkan kes itu sebagai jenayah kebencian terhadap umat Islam, tetapi polis berkata sebaliknya kerana tiada bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Jitmoud dalam wawancara bersama FMT berkata, kematian anaknya, Salahuddin mendorong beliau untuk memfokuskan isu perkembangan sahsiah generasi muda kerana masyarakat ialah penjenayah sebenar dalam pembunuhan anaknya.

“Itu sebabnya saya tidak menyalahkan lelaki yang membunuh anak saya.

“Masyarakat yang gagal. Dia datang daripada keluarga bermasalah dan masyarakat tidak membantunya untuk berdikari. Dia terlibat dengan orang jahat, dadah dan alkohol.”

Abdul-Munim Sombat Jitmoud memeluk Alexander Relford selepas memaafkan pembunuh anaknya di sebuah mahkamah AS pada November 2017.

Katanya, Relford ialah hasil kekejaman masyarakat yang mengabaikannya ketika beliau masih kecil.

“Apabila saya melihat kesnya, ia membuatkan saya lebih cintakan kemanusiaan lagi,” kata warga AS berusia 69 tahun itu yang berasal dari Thailand.

Relford hampir dijatuhkan hukuman mati selepas mengaku bersalah bersubahat dalam pembunuhan Salahuddin, bagaimanapun Jitmoud bertindak memaafkannya.

Beliau kemudian memeluk Relford yang menangis teresak-esak sambil meminta pengampunan ke atas perbuatannya.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 31 tahun ke atas Relford.

Jitmoud, 69, percaya sifat penyayang ialah faktor yang menggerakkannya untuk memberi peluang kedua kepada Relford.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan