Header Ads

ads header

Flash News

Tulisan wartawan Malaysiakini yang membodek Mohd Amar


"Saya berjalan pun rasa lain macam dah hari ini," kata orang penting Kelantan, Mohd Amar Abdullah, dengan senyum meleret hingga ke telinga.

Beliau bukan serius, sekadar bergurau dengan kami - pengamal media - yang menunggu programnya habis untuk sesi temu ramah beberapa hari lalu.

Beberapa hari selepas kerajaan persekutuan bertukar wajah.

Sikap timbalan menteri besar Kelantan itu yang tidak lekang daripada berseloroh membuatkan kami menyenangi karekternya. Dan biasanya kami akan gelak bersama, sama ada sebelum atau selepas sesi temu ramah.

Saya bukanlah mahu membodek beliau. Tidak dapat tidak, saya perlu mengakui Mohd Amar seorang yang memang begitu sikapnya. Ia sikap yang semula jadi.

Di sebalik kopiah yang selalu dipakai, beliau suka bergurau, lucu dan sesekali tegas pada tempatnya. Beliaulah satu-satunya pimpinan negeri Kelantan yang saya kenal mempunyai karekter sedemikian.

Sepanjang lebih dua tahun saya bertugas di Kelantan - dan kebetulan beliau ialah wakil rakyat kawasan saya mengundi - batang tubuh bernama Mohd Amar itulah orang (pemimpin) yang paling kerap saya temui semasa bertugas.

Banyak bahan berita yang saya serta rakan-rakan media laporkan adalah daripada pemikiran dan hujah-hujah beliau.

Tak perlu puji, tak payah kipas


Mohd Amarlah lubuk berita kepada kami di Kelantan, di samping tidak menafikan sumbangan pimpinan negeri-negeri yang lain.

Ketika kemelut politik melanda negara minggu lalu, saya sempat bertanya kepada beliau jika ada kemungkinan namanya akan naik untuk menyandang sebarang jawatan di peringkat pusat, sementelah PAS menjadi sebahagian daripada parti dalam kerajaan persekutuan.

Dan jawabnya: "Media bolehlah cadangkan nama saya, kalau nak."

Kemudian ketawa kami memecah suasana.

Saya tidak berhajat mahu membodek beliau. Sebagai naib presiden PAS dan timbalan menteri besar, pada susuk Mohd Amar itu tidak perlu lagi apa-apa pujian diletakkan, apatah lagi perlu 'dikipas.'



Sebaliknya memang kami banyak bergantung kepada beliau untuk pengisian bahan berita sama ada akhbar dalam talian, media cetak mahupun stesen televisyen.

Jarang kami ketinggalan membuat liputan programnya, malah kalau terdesak kami serbu saja pejabat beliau. Setiap soalan kami akan dilayan, diulas, dihujah dan kami akan melangkah pulang dengan rasa puas.

Tidak pernah sekalipun - apabila selesai sesi temu ramah dengan beliau - kami pulang dengan tangan kosong. Apa saja yang beliau tuturkan di sebalik soalan yang ditanya hampir pasti akan menghasilkan berita.

Keadaan ini berbeza dengan sesetengah barisan pimpinan lain. Ada yang jenis memang tidak gemar bertemu media, atau merendah diri sebab tak mahu kelihatan menonjol. Itu banyak dilakukan pemimpin di Kelantan, termasuk dalam kalangan exco.

Bertuahnya kami ada YB Adun Panchor yang juga naib presiden PAS itu.

Sanggup tunggu berjam-jam
Batang tubuhnya bukan sahaja sumber berita, tetapi mengajar saya secara tidak langsung dalam banyak sisi terutamanya hal-hal melibatkan karenah dan mehnah politik.

Saya bukan nak bodek beliau. Ketegasannya melontarkan jawapan, penjelasan yang baik, hujah yang bernas dan pendapat yang menyakinkan.

Kata orang Kampung Pasir Kasar, Sering: "Jarang butir mata nak jumpa orang macam dia ni".

Kalau orang politik yang baru nak up - atau yang dah lama up pun, dan kemudian down - belum tentu boleh setanding YB kepada orang kampung saya itu.

Saya bukanlah nak bodek beliau. Setiap Rabu dua minggu sekali kami akan tunggu kelibat beliau menyapa sambil tersenyum lebar sebaik saja keluar dari bilik mesyuarat exco.



Berjam-jam pun kami sanggup tunggu bertemankan dingin ruangan yang disediakan. Kadang-kadang dapat menghidu aroma nasi paku (sejenis nasi berlauk yang popular di Kelantan dan disediakan kepada exco setiap hari mesyuarat).

Keluar saja dari bilik mesyuarat beliau akan tanya: "Haaa... ado gapo ramai molek hari ni? (ada apa ramai sangat hari ni?)."

Sambil berbalas senyum kami akan 'kepung' beliau bagai tentera menawan musuh. Cuma senjata kami berupa mikrofon, perakam video, perakam suara, kamera, buku nota, dan berbekal peluru berupa soalan-soalan berkaitan isu semasa.

Saya bukanlah nak bodek beliau. Rakan-rakan sejawatan saya pasti setuju sekiranya saya katakan, setiap hari bertugas kami mesti teringat kepada Dato' Mohd Amar itu.

Kami akan saling tertanya-tanya, TMB program apa hari ini? TMB pergi mana hari ini? TMB masuk pejabat ke tidak hari ini? TMB duduk dalam kawasan ke hari ini?

Sehinggalah kami faham dan maklum dengan jadual hariannya. Hari Rabu ada mesyuarat exco, misalnya. Pagi Jumaat tertentu beliau berceramah di Medan Ilmu, Isnin malam Selasa kuliah magrib mingguan mengajar tafsir pimpinan ar-Rahman, atau Khamis berada dalam kawasan DUN.

Itu sebahagian rutin beliau, di samping ke sana ke sinun merasmikan program, menghadiri ceramah parti atau menziarahi penduduk khususnya di kawasan Panchor.

Malah pada hari-hari tertentu kami akan berasa sunyi dan sepi sekiranya YB Datuk Mohd Amar ke luar negeri atas urusan tertentu.

Anak Kelantan pasti bangga

Saya bukanlah nak bodek beliau. Beberapa hari lalu - selepas sesi temu ramah - kami mengiring beliau ke kereta. Sempat juga saya bergurau dengan tolong membuka pintu Mercedes Benz beliau.

Ia adalah kenderaan rasmi baru yang disediakan kerajaan Kelantan.

"Ini (saya) belum saya jadi menteri, dah ada orang buka pintu kereta ni," katanya disusuli gelak ketawa kami.

Ada kami tanyakan dengan agak serius sama ada nama beliau akan dicadangkan untuk jawatan di Putrajaya atau tidak.

"Sekarang pun saya dah menteri... timbalan menteri besar," katanya disusuli ketawa kecil.

YB orang kampung saya itu memang kuat bergurau. Dan kami pun suka jugalah. Andainya beliau berpindah pejabat ke Putrajaya - sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri - sudah pasti orang kampung Pasir Kasar dan suruh anak mukim DUN Panchor akan menanggung rindu tidak terperi.

Bangga, tapi tentu akan rindu. Tak terperi rindunya.


Saya pun memang selalu membayangkan beliau memang ditakdirkan untuk menjadi menteri atau timbalan menteri. Sementelah kabinet Muhyiddin Yassin belum dibentuk walaupun selepas hampir seminggu mengangkat sumpah jawatan.

Kami rakan-rakan media di Kelantan ini akan terkesan dengan ketiadaannya - jika ia menjadi kenyataan.

Memanglah Mohd Amar akan selalu balik menjenguk ke Kelantan dan kami pasti akan mengambil kesempatan untuk bergurau, untuk buat liputan. Cuma keadaannya akan berlainanlah.

Kalau ditakdirkan batang tubuh Mohd Amar itu dilahirkan untuk berbakti kepada Malaysia, rakyat Kelantan mesti bangga. Kalau pun beliau kekal di Kelantan, pasti banyak sumbangan idea akan dicurah selepas kerajaan Kelantan kini bukan lagi sebuah negeri pembangkang sepertimana 30 tahun yang semalam.

Saya bukanlah nak bodek beliau.

N FAIZAL GHAZALI
wartawan Malaysiakini yang beroperasi di Kelantan.




MR :  Mohd Amar antara pimpinan PAS pantang jumpa Mic.... he he he


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan: