Header Ads

ads header

Flash News

Muhyiddin ikrar lantik jemaah menteri bersih, berintegriti


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Muhyiddin berkata, beliau sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

"Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik," kata beliau dalam ucapan bertajuk 'Rayuan Kepada Rakyat Malaysia' yang disiarkan stesen-stesen televisyen malam ini.

Muhyiddin berkata, ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkasa undang-undang, peraturan dan amalan berkaitan.

Ini merupakan ucapan sulung beliau yang ditujukan kepada rakyat Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam.

Muhyiddin berkata, beliau faham apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan mereka.

Dalam ucapan yang mencerminkan apa yang didambakan rakyat, beliau berkata, "Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga."

Perdana Menteri seterusnya berkata, perkhidmatan kesihatan, bidang pendidikan dan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan turut diberikan tumpuan.

"Saya tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos berpatutan. Ini juga akan menjadi keutamaan saya," kata Muhyiddin.

Merujuk kepada jangkitan Covid-19 yang turut dikesan di Malaysia, Perdana Menteri berkata, "Dalam menghadapi wabak koronavirus pada masa ini, sama-samalah kita jaga kesihatan."

Muhyiddin berkata, beliau juga sedar bahawa rakyat mahukan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak, dan sememangnya bidang pendidikan amat dekat dengan jiwanya.

"Dengan pengalaman selama enam tahun menjadi Menteri Pendidikan, saya berjanji akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara.

"Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju," katanya sambil menambah usaha ini telahpun beliau mulakan dahulu dan akan diperkukuh pada masa hadapan.

Perdana Menteri seterusnya berkata beliau tahu bahawa masyarakat Malaysia mahukan sebuah negara yang stabil, aman dan makmur yang menawarkan kehidupan lebih baik untuk semua.

Untuk tujuan itu, katanya, kerajaan pimpinannya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

"Marilah bersama-sama saya untuk bina semula negara kita dan kembalikan kegemilangannya," katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan