Header II

Header ADS

Jangkitan dari Sri Petaling berlapis-lapis 5 generasi, kata Noor Hisham


JANGKITAN Covid-19 dari kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling dikesan berlapis-lapis sehingga sudah masuk ke peringkat generasi kelima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, apabila virus itu didapati tular sehingga terkena pada orang yang keenam.

Katanya, jangkitan yang berlapis-lapis itu menyebabkan siasatan kes rumit dan memakan masa.

“Daripada 711 kes indeks, kita dapati ada kes yang menjangkiti misalnya ahli keluarga iaitu generasi pertama, dan kemudian menjangkiti pula jiran mereka contohnya, dan jiran itu menjangkiti kawan mereka… kita sudah lihat ada lima generasi jangkitan.

“Setiap orang yang menjangkiti seorang yang lain, sudah lima kali,” katanya, pada sidang media perkembangan harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan apa yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan selama ini ialah cuba mengenal pasti kontak yang rapat dengan jemaah tabligh yang hadir ke perhimpunan itu, sama ada dalam kalangan ahli keluarga, jiran, atau rakan.

“Jadi itu sebabnya siasatan ini rumit sendiri, ia memakan masa. Contohnya, (boleh lihat) macam mana kita boleh kesan jangkitan sampai ke generasi kelima,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan setakat ini 13,762 peserta perhimpunan jemaah tabligh sudah disaring, dengan kes positif dikesan sebanyak 1,117 atau lebih kurang 55% daripada keseluruhan kes di Malaysia.

Sebanyak 2,564 kes masih menunggu laporan ujian, sementara baki 5,646 kes negatif.



Setakat ini 13,762 peserta perhimpunan jemaah tabligh sudah disaring, dengan kes positif dikesan sebanyak 1,117 atau lebih kurang 55% daripada keseluruhan kes di Malaysia, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Mac, 2020.

Dr Noor Hisham juga menjelaskan sekali lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh pihaknya, perhimpunan yang berlangsung antara 28 Februari hingga 3 Mac lalu, disertai sehingga 16,000 orang.

Daripada jumlah itu, lebih kurang 14,500 rakyat Malaysia dan baki kira-kira 1,500 adalah rakyat asing dari 25 buah negara.

“Kita sudah maklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa kesihatan di 25 negara,” katanya.

Beliau sebelum ini menjelaskan pihak Kementerian Kesihatan tidak maklum mengenai perhimpunan tersebut, yang berlangsung ketika wabak Covid-19 sudah lebih sebulan dikesan menular di negara ini.

Beliau hanya maklum selepas diberitahu oleh rakan sejawatnya di Brunei mengenai kes jangkitan pertama di negara itu pada 9 Mac, tujuh hari selepas perhimpunan itu berakhir.

Setakat 12 tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan mengesan 235 lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan keseluruhan kes di Malaysia kini mencecah 2,031.

Ini adalah jumlah kes harian yang tertinggi sejak kes pertama dikesan di negara ini dua bulan lalu.

Menurut Dr Noor Hisham, 60 kes baharu melibatkan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling sementara baki 175 kes masih dikesan puncanya.

Sementara itu, kes kematian meningkat kepada 23 korban. – 26 Mac, 2020.




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.