Header Ads

ads header

Flash News

Pemimpin utama BERSATU 'kunci mulut'


PETALING JAYA
: Sebahagian besar pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil pendirian berdiam diri dan tidak memberi sebarang ulasan terhadap intipati mesyuarat parti itu, hari ini.

Biarpun pelbagai spekulasi politik muncul susulan mesyuarat berkenaan, namun mereka tidak menjawab sebarang pertanyaan media yang setia menunggu sejak jam 9 pagi.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin enggan memberi ulasan kepada media dan meninggalkan bangunan Menara Yayasan Selangor menempatkan ibu pejabat itu, sekitar jam 3.05 petang.

Terdahulu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad beredar menaiki kenderaannya keluar dari bangunan itu pada jam 2.50 petang.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika diasak media untuk mengulas isi perbincangan mesyuarat juga mengambil pendirian berdiam diri.

Beberapa pimpinan BERSATU lain yang ditemui juga enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU yang berlangsung lebih lima jam.

BH difahamkan, antara perincian yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit berkaitan isu peralihan kuasa Perdana Menteri serta pembentukan kerajaan campuran.

Namun, tiada keputusan jelas berkaitan dua isu itu dan difahamkan sedang menunggu beberapa keputusan pemimpin dan parti lain.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilapor mengadakan mesyuarat tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, petang ini.

Sementara Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan kepada BH pemimpin tertinggi parti itu mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya, kira-kira jam 4 petang ini.

“Ya (ada mesyuarat ),” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut intipati perbincangan mesyuarat itu ketika ditanya BH.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan memberi kuasa kepada Dr Mahathir untuk menentukan tempoh sesuai peralihan kuasa Perdana Menteri.

Isu peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan campuran yang dipercayai membabitkan pemimpin dari parti pembangkang ketika ini menjadi antara isu hangat yang melingkari politik tanah air.




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan