Header II

Header ADS

Jumpa Dr M bukan nak masuk kabinet, kata Hadi




Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memberitahu parti itu tidak membuat sebarang permohonan untuk menyertai kerajaan PH walaupun beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Justeru, kata Abdul Hadi, pemimpin PH tidak perlu gusar dengan pertemuanya berkenaan, malah menegaskan ia bukanlah kali pertama beliau berjumpa Mahathir.

Sebaliknya, Abdul Hadi menyatakan, pertemuan berkenaan dibuat ekoran ada "permintaan" daripada pihaknya.

"Saya jumpa tak minta masuk kabinet, tak payah rungsinglah.

"Kita jumpa bukan minta nak masuk kerajaan (tapi) minta hal lain, hal urusan negeri yang kita perintah saja.

"Kita tak campur hal lain dan kita tak ada hasrat nak masuk PH," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Rusila, Terengganu, hari ini.

Beberapa hari lalu, tular gambar menunjukkan Mahathir menjadi tuan rumah kepada kunjungan Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Jumpa bila rasa perlu

Berdasarkan gambar itu, pertemuan tersebut turut disertai isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta individu yang dekat dengan perdana menteri, Khairuddin Abu Hassan.

Gambar itu kemudian mencetuskan gosip kononnya ada usaha membawa masuk PAS untuk menyertai PH. Beberapa pihak pula mendakwa dalam pertemuan tersebut beberapa hal berkaitan Muafakat Nasional - membabitkan PAS dengan Umno - turut dibicarakan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menafikan parti itu pernah terfikir untuk menyertai gabungan kerajaan.

Beberapa pihak pula mendakwa, pertemuan tersebut dibuat untuk mengukuhkan lagi jaminan PAS kepada Mahathir sebagai perdana menteri.

Menurut Abdul Hadi, beliau boleh bertemu sesiapa saja yang dirasakan perlu termasuklah perdana menteri jika berasa ada keperluan untuk berbuat demikian.

Malah katanya, beliau pernah berbuat demikian ketika Pengerusi Bersatu itu belum menjadi perdana menteri.

"Saya jumpa orang apabila perlu. Kalau tak perlu saya tak jumpa, agak perlu, saya jumpa. Kalau tak perlu saya tak jumpa dengan sesiapa.

"Saya jumpa masa dia jadi perdana menteri dan tak jadi perdana menteri pun saya jumpa.

"Semasa dia jadi perdana menteri dulu, tahun 1990-an saya pernah jumpa, tak ada apa-apa kepentingan," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan berkenaan didakwa bakal merubah landskap politik negara, Abdul Hadi berkata itu hanya andaian pihak tertentu.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.