Header Ads

ads header

Flash News

Hilangnya Permata JITP: Perginya Seorang Sahabat, Guru dan Abang


"Dengarnya Abang Lah kemalangan motosikal, betul ke?" tanya salah seorang sahabat dalam group WhatsApp.

"Ya betul, dapat berita begitu, cuma tunggulah berita rasmi, takut tersalah lapor,” jawab seorang ahli yang lain pula.

Aku membelek aplikasi WhatsApp dengan tanpa rasa gundah gulana, kerana anggapanku ia mungkin kemalangan biasa sambil berdoa keselamatan Abang Lah.

Tidak lama kemudian, aku terima notifikasi WhatsApp bertulis; "Berita yang memilukan, sahabat seperjuangan kita Encik Abdullah bin Atan telah disahkan sudah kembali ke Rahmatullah akibat kemalangan maut di kawasan berhampiran Tol Jalan Duta beberapa jam tadi..."

Allahu Rabbi!

Belum sempat aku habiskan ayat tersebut, telefon pintarku terlepas dari tangan menghempas ke meja. Pasukanku yang ketika itu bersama berdiskusi tentang laporan prestasi memandangku terpinga-pinga. Tanganku gementar dan mataku sedikit berkaca.

Selesai sesi diskusi, aku maklumkan kepada mereka perkhabaran tersebut dan maklumkan siapa arwah secara ringkas.

Awalnya aku mengenali Arwah Abdullah Atan dari jauh, kerana selalu berdamping dengan 'boss' beliau iaitu Tuan Haji Shuhaimi Embong, mantan Pengarah Jabatan IT PAS Pusat yang kukenali ketika itu.

Walaupun aku telah mengenali aplikasi dan sistem PAS pada tahun 1990-an, namun kami cuma sempat bersua ketika beberapa program dan siri pilihan raya kecil selepas tahun 2008.

Aku mula mengenali arwah dengan lebih rapat ketika aku memegang jawatan sebagai Ketua IT PAS di sebuah kawasan parlimen di Selangor sekitar 2010. Ketika itu aku banyak merujuk beliau tentang gerak kerja dan aplikasi yang digunakan.

Aku sering kali menghubungi beliau melalui telefon bertanyakan sesuatu jika aku tidak faham. Arwah Abang Lah akan guide aku walaupun dengan 5-6 kali panggilan telefon sehinggalah aku berpuas hati.

Tidak cukup dengan itu, aku kerap ke rumah Abang Lah dan membawa komputer riba untuk ‘bertalaqi' tentang ilmu aplikasi perkomputeran hingga awal pagi. Maaf aku terpaksa mencuri masa Abang Lah yang sepatutnya bersama famili ketika itu.

Rumah beliau agak sederhana, di kawasan kampung berbukit di pinggir ibu kota. Sejuk dan nyaman dengan bunyian cengkerik menjadi halwa telinga. Setiap kali berkunjung, keropok goreng dan teh O panas menjadi hidangan utama. Dari Terengganu katanya.

Beliau ibarat seorang guru yang setia mengajarku anak murid yang nakal, dan sebagai seorang abang tidak putus asa melayanku persis adik yang degil.

Aku tidak mampu menyeka air mata ketika menulis catatan ini, berjurai manik mengalir di pipiku. Kenangan itu terlalu menggamit jiwaku. Dengan linangan air mata, aku gagahi untuk teruskan apa yang terbuku.

Arwah Abang Lah dikenali dengan pendiam orangnya, namun tidak lokek dengan ilmu. Biasa bila bersama, beliau petah berkata-kata dengan pelbagai topik terutama tentang komputer dan teknologi maklumat. Dengan orang lain, beliau mungkin agak pendiam.

Ada catatan nakal di hantaran muka buku seorang kakitangan muslimat di Pejabat Agung, mengatakan takut dan tidak berani menegur arwah. Agak lucu kerana sebenarnya Abang Lah seorang yang mesra. Tak kenal mungkin tak cinta.

Difahamkan Abang Lah seorang graduan UTM dan penah menjadi pimpinan mahasiswa. Beliau pernah bekerja di Bank Negara Malaysia sebagai programmer. Abang Lah meletak jawatan dan berniaga komputer sebelum bekerja sebagai Pegawai Teknologi Maklumat sepenuh masa dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Pejabat Agung PAS bermula tahun 1998. Gaji beliau sudah tentu tidak sama dengan apa yang dikecapi di Bank Negara dulu.

Begitu besar pengorbanan Arwah Abang Lah demi perjuangan untuk memajukan sistem dan aplikasi dalam PAS. Sedangkan beliau sebenarnya boleh memilih kerjaya yang lebih padan dan sesuai dengan kelulusan dan bakat yang beliau miliki untuk mencapai gaji yang lebih lumayan.

Tapi, itulah Arwah Abang Lah. Beliau tidak mengejar itu semua dan memilih kehidupan yang lebih sederhana.

Generasi muda dalam PAS mungkin tidak mengenali beliau tapi bagi mereka biasa berurusan dengan Abang Lah, sosok tubuh ini akan dirindui, tiada lagi insan yang selama ini menjadi rujukan berkenaan dengan sistem yang dibinanya. Tiada lagi kelibat Abang Lah di Pejabat Agung selepas ini.

Tulisan ini bukanlah sebagai catatan biografi Arwah Abdullah Atan, tapi aku menulis dari sisi pandang aku sebagai peringatan kepada diri sendiri nilai perjuangan dan pengorbanan seorang sahabat, guru dan abang.

Aku juga ingin dunia membaca, bahawa di sebalik kejayaan sebuah organisasi, wujud seorang insan yang mandambakan diri demi sebuah perjuangan. Seorang yang tidak dikenali, tidak disanjung dan tidak ditutur dalam salutasi acara program.

Itulah wira yang tidak didendang. Sehinggalah kematianmu menggegar laman sosial, maka ketika itu baru dunia menyedari bahawa wujudnya insan bergelar Allahyarham Abdullah bin Atan. Al-Fatihah.

ADMIN LENSA HARAKI

4 Oktober 2019 | 5 Safar 1441
3.24 pagi – HARAKAHDAILY 4/10/2019



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan