Header Ads

ads header

Flash News

YB keluar Umno tak semestinya khabar baik buat PH


Pengumuman sejumlah besar pemimpin Umno Sabah meninggalkan parti yang membawa mereka kepada kuasa beberapa hari lalu tidak sekadar memberi kesan kepada politik negeri terbabit.

Sebaliknya perkembangan berkenaan dijangka akan memberi impak kepada perjalanan Pakatan Harapan (PH) yang kini diwakili Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pensyarah Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata tindakan mereka dilihat boleh menutup kritikan dan pandangan sinis terhadap Bersatu yang kini mempunyai jumlah kerusi terhad di Dewan Rakyat berbanding parti gabungan dalam PH.

Katanya walaupun buat masa ini mereka masih berstatus anggota parlimen bebas, dipercayai bekas pemimpin Umno itu akhirnya akan menyertai Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Dalam tempoh terdekat mereka akan jadi bebas khususnya anggota parlimen dan Adun (anggota dewan undangan negeri) dan setahun nanti mereka dijangka menyertai Bersatu, terutama dalam kalangan anggota parlimen.

"Ini kerana Bersatu sekarang bermain politik angka kerana terdapat banyak kritikan bahawa kerusi Bersatu sedikit tetapi mempunyai jawatan strategik dalam kabinet," kata Awang Azman kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Tak sampai 40 kerusi


Menurutnya sebagai perdana menteri Mahathir menyediakan Bersatu untuk berada dalam kedudukan kukuh sebelum bersara kira-kira dua setengah tahun lagi.

Katanya sekarang adalah masa terbaik untuk Mahathir berbuat sesuatu untuk Bersatu dan menguatkan politik orang Melayu dalam PH.

Untuk rekod baruu-baru ini Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan terdapat permintaan untuk parti itu melebarkan sayapnya ke Sabah.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan 14 wakil rakyat dan pemimpin kanan Umno negeri itu bertindak keluar parti pada 12 Dis lalu.

Awang Azman

Tambah Awang Azman, saingan Bersatu pada masa kini ialah PKR yang dilihat mempunyai tokoh politik Melayu yang berkualiti.

Untuk rekod persefahaman yang dicapai dalam kalangan PH ialah Mahathir diberi masa selama dua tahun untuk menjadi perdana menteri sebelum Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan tersebut.



Pada 12 Disember lalu, Umno Sabah dilaporkan lumpuh apabila pengerusinya ketika itu, Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi anggota politik bebas.

Tindakan tersebut melibatkan lima anggota parlimen, sembilan Adun dan dua senator.

Kini, Umno hanya memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenangi pada PRU lalu.

Awang Azman berkata sekiranya bekas pemimpin Umno yang keluar itu menyertai Bersatu, ia bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin PH, malah kepada penyokong gabungan juga.

Ada masalah pada PH


Katanya, apa yang berlaku itu adalah politik kurang sihat dan boleh menyebabkan persengketaan serta perebutan kuasa dalam PH sendiri.

"Sekarang ramai kurang berpuas hati termasuk pemimpin dalam PH terhadap Bersatu seolah-olah menerima musuh politik mereka dan menerima sesetengah bekas wakil rakyat Umno dengan mudah.

"Penyokong PH juga ramai tak bersetuju strategi ini diguna pakai untuk menambah kerusi Bersatu," katanya.

Kenyataan itu turut disokong seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir.

Jeniri Amir

Jeniri berpendapat jika tindakan itu diambil, Mahathir dilihat seperti melakukan pusingan U terhadap kenyataannya sebelum ini, iaitu sesiapa yang ingin menyertai Bersatu perlu bebas daripada pemikiran Umno dan tidak lagi terikat dengan parti itu, serta bebas dari rasuah dan salah guna kuasa.

"Kalau Mahathir dan Bersatu ambil mereka ini, saya percaya bukan saja parti komponen dalam PH itu tidak selesa atau tidak bersetuju, (malah) akan ada protes.

"Ini juga akan menimbulkan masalah kepada PH sendiri sebab rakyat dulu menolak bukan saja (bekas perdana menteri) Najib Razak tetapi menolak pemimpin Umno yang juga bermasalah," katanya.

Katanya, harapan rakyat yang mengundi PH sewaktu pilihan raya umum 14 pada 9 Mei lalu untuk ialah mahu melihat agenda reformasi namun ia hanya sia-sia jika pemimpin dari Umno itu diterima dengan mudah.

Dulu angkuh, kini cari tempat selamat


"Mereka (pengundi) menolak Umno ketika itu dan memberi sokongan kuat dan padu kepada PH kerana mahu membenamkan, menamatkan riwayat Umno dan BN," katanya.

Dengan keadaan Umno di Sabah yang menyaksikan hanya dua anggota parlimen masih kekal bersama Umno, Jeniri menyifatkan parti itu sedang menghitung hari-hari terakhirnya di negeri bawah bayu itu.

"Jadi kapal sudah tenggelam dan semua tikus sudah mahu lari menyelamatkan diri.

"Jadi yang tinggal rakyat terkapai-kapai dan mereka akan memberi sokongan terhadap apa saja langkah yang diambil oleh pemimpin yang berada di atas itu.

"Maksudnya, Umno sudah mempunyai masa depan yang amat gelap di Sabah," katanya.



Buat masa ini ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin adalah seorang daripada dua anggota parlimen Sabah yang masih kekal bersama Umno.

Seorang lagi ialah bekas ketua menteri Musa Aman yang sedang berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Susulan daripada insiden keluar parti itu, Bung Moktar dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata situasi keluar parti beramai-ramai itu dilihat sebagai proses pembersihan dalaman Umno khusunya bagi golongan yang hanya pentingkan kuasa, kedudukan dan wang kepada golongan yang ikhlas berjuang untuk parti.



Namun, Umno di negeri itu akan mengalami sedikit panik dan trauma seketika berikutan insiden tersebut.

"Ini juga memperlihatkan betapa rapuhnya Umno Sabah yang hanya menyokong ketika Umno ada kuasa saja.

"Kalau Bersatu tidak stabil, kelompok ini nanti juga akan jadi yang pertama keluar dari Bersatu. Inilah perlu Bersatu fikirkan sebelum menerima kelompok berpaling tadah politik ini," katanya.

Awang Azman mendakwa penyokong tegar Najib ketika era pentadbiran BN yang turut keluar parti, Salleh Said Keruak dan Pandikar Amin Mulia juga dilihat berbuat kerana ingin menyelamatkan diri masing-masing.

"Selama ini mereka selesa kerana BN ialah parti pemerintah yang ada kuasa dan wang.

"Kini selepas kalah PRU, kesemua ini jadi sukar. Langkah terbaik ialah menyediakan diri mereka untuk bersama PH meskipun mereka sangat angkuh dalam berkempen memburuk-burukkan Mahathir dan PH," katanya.

Yasmin Ramlan


MR :  Pergolakkan UMNO sedikit sebanyak menguntungkan PAS jika PAS pandai ambil peluang


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 MENCARI SESIAPA yang berminat niaga di shopee peluang raih pendapatan rm lumayan setiap hari lawati bit.ly/2A86ypP
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. Kalau suara bangkangan dari sudut pembangkang terhadap kegiatan anti-demekrezi ini masuk telinga kanan keluar telinga kiri, ia dikira masih boleh difahami kerana pihak yang menang menang semua adalah aliran yang cuba dibawa ke tengah, tapi kalau suara lantang dari dalam gabungan pemerintah baru jugak masuk telinga kanan keluar telinga kiri, apa yang boleh dikatakan ialah banyak harimau kumbang yang sebelum ini panjang taringnya ropa2nya adalah taring palsu.

    BalasPadam