Header Ads

ads header

Flash News

Apa sebenarnya isu Tabung Haji?


BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji). Beliau mendedahkan akaun Tabung Haji yang diaudit berakhir pada 31 Disember 2017 telah merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM70.3 bilion manakala liabiliti adalah RM74.4 bilion. Ini bermakna jumlah liabiliti melebihi aset.

Khabarnya, berdasarkan kedudukan kewangan tersebut, pengisytiharan serta pembayaran hibah (bonus) pada 2017 dikatakan telah melanggar Akta Tabung Haji 1995. Ini kerana pembayaran hibah tidak memenuhi dua syarat iaitu pertama bonus hanya boleh dibayar jika aset tidak kurang daripada liabiliti dan yang kedua terdapat keuntungan yang boleh diagihkan.

Malah, sebelum itu terdapat dua laporan polis telah dibuat oleh pengurusan baharu Tabung Haji bahawa sebanyak RM22 juta daripada Yayasan Tabung Haji telah digunakan bagi aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Saya setuju andai pihak berkuasa ingin mengambil tindakan terhadap semua individu yang terlibat mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang.

Ini wajar dilakukan bagi mengembalikan keyakinan terhadap semua pendeposit yang mempunyai tabungan di Tabung Haji. Ini kerana rata-rata umat Islam Malaysia mempunyai akaun dengan Tabung Haji.

Kebanyakan mereka membuka akaun untuk merealisasikan impian mereka menunaikan haji yang merupakan Rukun Islam kelima. Sebagai rakyat, sudah pasti kita terkesan dengan berita yang mengejutkan itu.

Ikonik Malaysia

Pun begitu, adakah kita benar-benar faham akan keperluan wujudnya Tabung Haji di negara kita? Apakah Tabung Haji menjalankan aktiviti perniagaan sama seperti bank komersial lain?

Bolehkah penyelewengan berlaku terhadap sebuah institusi yang telah berdiri teguh berlandaskan syariat Islam? Marilah kita teliti fakta berkenaan Tabung Haji ini untuk mendapatkan jawapan terhadap semua kekeliruan yang melanda pada ketika ini.

Tabung Haji merupakan sebuah institusi Islam yang telah beroperasi selama 50 tahun yang juga merupakan sebuah institusi ikonik Malaysia. Tabung Haji telah berjaya menempa pelbagai kejayaan dan pengalaman dalam pengurusan haji serta dana Islam dan patuh syariah.

Justeru, tidak hairanlah apabila banyak institusi luar negara telah menjadikan Tabung Haji sebagai role model kepada institusi mereka. Sebagai sebuah institusi Islam, Tabung Haji sentiasa memastikan pelbagai kemudahan untuk Jemaah haji Malaysia diuruskan secara komprehensif dan sistematik.

Ia bermula daripada pengurusan simpanan yang halal di samping aktiviti perniagaan yang bertujuan memberi nilai tambah kepada semua pendeposit.

Tabung Haji adalah sebuah institusi kewangan Islam. Ia merupakan badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada 1963.

Pentadbiran Tabung Haji adalah berlandaskan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Tabung Haji lebih dikenali sebagai perintis dalam institusi Kewangan Islam yang membantu umat Islam menyimpan untuk mengerjakan Haji.

9 juta pendeposit

Mengimbas kembali sejarah, sebelum wujudnya Tabung Haji tiada satupun institusi kewangan Islam khas untuk membantu umat Islam Malaysia menabung bagi menunaikan haji.

Umat Islam pada ketika itu juga tidak mahu menyimpan di bank konvensional kerana ingin memastikan tabungan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu bebas daripada riba.

Penubuhan Tabung Haji telah diilhamkan oleh tokoh ekonomi Melayu terkenal iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Pada permulaan operasi, Tabung Haji dinamakan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji.

Sejarah tercipta apabila pada 30 September 1963 Tabung Haji mula membuka kaunter untuk menerima deposit daripada bakal haji. Sejak itu jugalah umat Islam di negara ini terdidik untuk menabung dari usia muda untuk persiapan menunai haji.

Statistik menunjukkan Tabung Haji mempunyai 9 juta pendeposit dan ia mempunyai 125 cawangan. Selain itu Tabung Haji juga mempunyai hampir 10,000 touch-points bagi memberi kemudahan terhadap pendeposit membuat transaksi.

Ia juga mempunyai pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi yang beroperasi di bawah bidang kuasa Konsulat Malaysia.Jika diteliti keadaan ekonomi semasa, apa yang dihadapi Tabung Haji sebenarnya disebabkan faktor pasaran, kitaran dan ketidaktentuan yang melanda ekonomi global.

Bukan hanya Tabung Haji sahaja yang berdepan dengan tekanan ekonomi semasa, institusi lain termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) juga sebenarnya turut terjejas.

Malah seluruh dunia sedang mengalami dan berdepan dengan tekanan ekonomi pada ketika ini. Tabung Haji yang turut terlibat dengan pelaburan saham juga berdepan dengan prestasi beberapa saham syarikat yang jatuh sekali gus membawa kepada penurunan nilai aset.

Langkah strategik yang perlu dilakukan segera adalah Tabung Haji perlu menyimpan dahulu semua aset berkenaan. Tunggulah sehingga keadaan pasaran saham kembali pulih dan stabil maka barulah buat keputusan yang tepat.

Semua pihak perlu beri ruang kepada Tabung Haji untuk mencari mekanisme terbaik seperti mana yang telah mereka jalankan selama ini. Ini perlu dilakukan bagi mengelak semua aset strategik terjual kepada pihak lain.

Mendengar guruh di langit...

Tabung Haji merupakan antara institusi kewangan tersohor negara. Maka sewajarnyalah badan itu diberi peluang untuk menyelesaikan sendiri kemelut yang sedang dihadapi. Pengalaman selama 50 tahun menguruskan tabungan mereka yang mencakupi pelaburan dalam dan luar negara perlulah kita hormati dan segani.

Malah apabila diteliti laporan tahunan Tabung Haji juga mempunyai senarai modal insan berkredibiliti dalam mentadbir dan menguruskan Tabung Haji. Mereka bukanlah calang-calang individu yang dipilih untuk menerajui Tabung Haji.

Antara langkah dikenalpasti dan sedang dalam penelitian institusi terbabit adalah mengkaji untuk meletakkan had bagi dana setiap pendeposit pada masa depan.

Ini merupakan salah satu langkah untuk mengurangkan liabiliti kerajaan dan pendedahan kepada pendeposit. Ini kerana dana pendeposit dijamin oleh kerajaan dan kerajaan perlu membayar penuh sekiranya apa-apa berlaku terhadap dana tersebut.

Tabung Haji juga khabarnya bakal melaksanakan pelan pemulihan dan penstrukturan semula bertujuan mengembalikan semula institusi tersebut kepada objektif asal penubuhannya iaitu membantu umat Islam menunaikan haji. Antara yang menjadi perhatian pengurusan Tabung Haji adalah model perniagaan yang dipunyai oleh Tabung Haji.

Selain itu, Bank Negara Malaysia juga bakal dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia dan menjalankan audit ke atas operasi Tabung Haji.

Kawal selia yang dimaksudkan adalah berkaitan tadbir urus dan pelaksanaan audit sebagaimana audit yang telah dijalankan ke atas semua bank komersial lain.

Dengan cara ini sebarang penambahbaikan dapat dilakukan dengan kadar segera. Tabung Haji bakal diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia bermula Januari 2019.

Walaupun dikawal selia oleh bank pusat, Tabung Haji masih bebas untuk membuat keputusan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Lembaga Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Langkah drastik ini merupakan jawapan terhadap penemuan firma audit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang mendapati Tabung Haji sebenarnya merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Sebagai rakyat Malaysia, umat Islam dan pendeposit dalam Tabung Haji, usahlah kita tergesa-gesa mengeluarkan wang yang disimpan. Ruginya menyimpan bertahun-tahun, senang saja kita keluarkan apabila mendengar khabar yang belum sahih.

Ia tidak ubah seperti pepatah Melayu lama, ibarat mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Eloklah kita membiarkan pakar menjalankan tugas mereka.

Lebih baik kita duduk bertenang sambil makan ubi rebus, cicah sambal ikan bilis disulami minum air kopi. Orang yang tenang pasti akan menang.


SUHANA MOHAMED
Pensyarah Kanan Kewangan,
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.


MR :  Isu sebenar ada yang gelap mata lihat duit TH


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 MENCARI SESIAPA yang berminat niaga di shopee peluang raih pendapatan rm lumayan setiap hari lawati bit.ly/2A86ypP
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

2 ulasan:

  1. Yang BARU kondem yang LAMA, yang LAMA kondem yang BARU. Isunya, yang mana satu nak diguna pakai?

    BalasPadam
  2. Ingat PokerV ingat DompetQQ dot COM

    BalasPadam