SHAH ALAM – Tidak seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, PRK
Sungai Kandis yang berlaku sekarang ini lain daripada yang lain.
Antara kelainan ialah tidak ada perang poster dan bendera daripada
kedua-dua parti bertanding, iaitu Barisan Nasional (BN) dan PKR dari
Pakatan Harapan (PH).
Markas yang dijadikan tempat untuk jentera menyimpan bendera dan
poster untuk ditampal atau dibahagikan kepada orang ramai juga tidak
kelihatan.
UMNO dan BN dari awal lagi mengakui tidak dapat menyediakan
peruntukan yang banyak kepada calonnya, Datuk Lokman Noor Adam untuk
membekalkan bendera parti dan poster calon, berikutan tindakan pihak
berkuasa bawah kerajaan baharu PH telah membekukan akaun UMNO pusat.
Biasanya
kalau ada pilihan raya kecil, simpang empat lampu isyaratmenjadi
rebutan jentera parti bertanding untuk memasang bendera dan poster. Kali
ini, lenggang.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan
PKR pusat kenapa parti itu juga belum memasang bendera atau poster calon
di sepanjang kawasan PRK Sungai Kandis, sedangkan sudah masuk hari
kelima berkempen.
Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada program ziarah
kasihnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kandis hari ini,
menjelaskan, BN tidak mempunyai sumber kewangan dan memadai jenteranya
menggunakan pendekatan kasih sayang ketika mendekati pengundi.
Kalau PRK sebelum ini, seperti PRK Parlimen Kuala Kangsar di Perak,
PRK Parlimen Sungai Besar di Kuala Selangor, PRK DUN Kajang di Selangor,
PRK DUN Pengkalan Kubor di Kelantan, semuanya meriah dengan
bendera-bendera parti.
Bahkan, ada sesetengah PRK, sehari selepas kematian penyandang,
jentera sudah mula memasang bendera, dan suasana bertambah meriah
menjelang hari penamaan calon dan berkempen.
Dalam PRK Sungai Kandis agak berbeza. Tidak ada langsung bendera atau
poster dipasang, sama ada di pokok, tiang elektrik, tiang telekom,
pagar kediaman mahupun kilang dan di simpang lampu isyarat atau bulatan.
Orang luar yang hendak bertandang ke Sungai Kandis untuk merasai
suasana meriah pilihan raya kecil pun kadang-kadang keliru, sama ada
mereka sudah berada di kawasan PRK atau belum.
Hanya di Pusat Kawalan BN di PDM Sungai Kandis kelihatan beberapaposter calon dipacak di tepi jalan.
Ini kerana, tidak ada satu pun bendera dipasang, walaupun tempoh berkempen tinggal sembilan hari.
Biasanya poster ini menjadi mercu tanda kekuatan parti bertanding.
Masing-masing memasang sebanyak mungkin di tempat mereka supaya tidak
dilihat ‘kalah’ oleh parti lawan. Keadaan ini, menyebabkan cuaca siang
terasa mendung dan redup kerana cahaya matahari terlindung oleh kibaran
bendera dan poster.
Kesuraman ini juga mungkin faktor daripada demam Pilihan Raya Umum
ke-14 (RU14) belum hilang sepenuhnya. Jika dicongak, dari tarikh PRU 9
Mei sehingga hari ini, baru 76 hari berlalu. Ia suatu tempoh yang masih
singkat dan belum hilang dari kelelahan.
Mungkin kerana itu, jentera PKR dan PH pun mengambil langkah yang
sama dengan UMNO dan BN untuk meminimumkan penggunaan bendera dan poster
sebagai bahan sawo serta propaganda.
Namun, kebaikan kepada faktor itu ialah kedua-dua parti dapat
menjimatkan sumber kewangan dan mungkin boleh dijadikan ‘trend’ pada PRK
dan PRU akan datang.
Lagipun, tidak berkempen dengan bendera dan poster pun rakyat
terutama pengundi di kawasan berkenaan tahu serta boleh menerima siapa
calon mereka. Tinggal lagi, mereka akan menterjemahkan calon yang
dikehendakinya pada kertas undi.
Kenyataan Najib hari ini, seperti mengingatkan jentera bahawa parti
tidak perlu menyewa khemah-khemah, tidak perlu menempahkan makanan dan
minuman yang mewah-mewah, sebenarnya suatu idea yang baik dan dituntut
oleh Islam, iaitu tiada pembaziran.
Sudah sampai masanya UMNO dan BN mengamalkan gaya hidup sederhana
seperti ukur baju di badan sendiri, iaitu berbuat sesuatu atau bertindak
atau berbelanja mengikut kemampuan diri sendiri.
PRU sebelum ini juga menunjukkan, kemewahan bukan penentu kepada
kemenangan. Ada kawasan yang diwakili calon yang kaya raya, bila
bertanding, kalah. Ada kawasan yang mana calonnya bukan dalam kalangan
berada, mendapat kemenangan besar.
Jadi, kemeriahan PRU atau PRK bukan terletak pada bendera dan poster.
Ia terletak sepenuhnya kepada sejauh mana seseorang calon itu dapat
memenangi hati rakyat. – MalaysiaGazette
MR :Poster dan bendera perlu tapi tak perlu banyak sangat.. ini boleh menjimatkan kos.. yang penting kempen dalam hormoni. Kita lihat Lokman dah tunjuk jalan ke situ...
Bila calon PKR berkempen nak buat itu dan ini. Nak tambah itu dan ini. Ini menggambarkan bahawa adun sebelum ini tak buat kerja? Kini pengundi berdepan retorik yang sama. Justeru yang bakal diuji bukanlah kecekapan bakal2 adun tetapi kecekapan dan kebijakan penggunaan kuasa undian yang ada di tangan.
Apa-apa yang tersiar didalam blog ini adalah pendapat penulis/pengirim dan tidak semestinya mewakili pandangan dan pemdapat kami pengendali blog ini.Kami tidak bertanggungjawab atas apa-apa tulisan dan komen penulisa/pembaca. Semuanya adalah pandangan peribadi penulis/pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami pengendali blog ini.
Bila calon PKR berkempen nak buat itu dan ini. Nak tambah itu dan ini. Ini menggambarkan bahawa adun sebelum ini tak buat kerja? Kini pengundi berdepan retorik yang sama. Justeru yang bakal diuji bukanlah kecekapan bakal2 adun tetapi kecekapan dan kebijakan penggunaan kuasa undian yang ada di tangan.
BalasPadam