Header Ads

ads header

Flash News

Belajar semula nilai-nilai murni Jepun


MUNGKIN ramai dalam kalangan kita yang masih ingat Dasar Pandang ke Timur yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada awal 80-an.

Dilancarkan tidak lama selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1981, ia memberikan impak yang besar apabila kerajaan Malaysia dan pihak swasta menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja.
–– ADVERTISEMENT ––

Ketika lawatan terbaharu beliau ke Jepun baru-baru ini, Dr. Mahathir sekali lagi melahirkan keyakinan Malaysia akan berjaya seperti Jepun sekiranya rakyat memiliki etika kerja, pemikiran dan sistem nilai seperti orang Jepun.

Beliau yang sekali lagi menjadi Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengikuti sikap rakyat Jepun yang mempunyai perasaan malu jika gagal melaksanakan tanggungjawab atau tidak melakukan dengan baik tugas yang diberikan.

Apabila Dasar Pandang ke Timur pertama kali digubal pada era 80-an, ia bukan setakat untuk menarik pelaburan dari Jepun atau pergi belajar di negara matahari terbit itu.

Ia lebih kepada usaha mempelajari etika kerja orang Jepun serta membentuk perasaan malu bila gagal melaksanakan tugas yang telah diberikan.

Walaupun ramai lagi gene­rasi terdahulu yang menyimpan kenangan pahit ketika era penjajahan Jepun, kita harus melihat ke hadapan dan belajar daripada mereka yang mampu bangun semula selepas negara musnah akibat perang.

Kita perlu mengambil teladan daripada sikap orang Jepun yang bekerja keras untuk membina semula negara mereka sehingga muncul menjadi sebuah daripada ekonomi terbesar dunia.

Walaupun telah menjadi sebuah negara maju, rakyat Jepun masih mempertahankan budaya dan nilai-nilai positif yang diwarisi turun-temurun.

Antara yang dapat kita lihat dan boleh diikuti adalah sikap menghormati orang lain terutamanya mereka yang lebih tua, dengan menundukkan kepala sebagai tanda penghormatan.

Kita juga harus mencontohi mereka dalam aspek menepati masa dan menjaga kebersihan kerana ia amat sebati dan menjadi amalan walaupun ketika berada di luar negara.

Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila jadual pengangkutan awam mereka amat tepat manakala rakyatnya sering dilihat mengutip sampah yang dibuang sesuka hati oleh mereka yang amat tidak bertanggungjawab.

Mereka juga amat menjaga kelestarian alam semula jadi dan membentuk perasaan cinta terhadap alam sekitar di bangku sekolah.

Rakyat Jepun juga diasuh supaya menyayangi negara mereka dan semangat patriotik ini berkekalan sehingga mereka meningkat dewasa.

Melihat kepada pelbagai gejala sosial yang sedang melanda negara, jelas bahawa kita perlu belajar semula daripada rakyat Jepun demi untuk memper­kukuhkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Perkara pa­ling asas adalah mengukuhkan institusi keluarga sebagai teras masyarakat yang sihat dan stabil kerana ia mampu memerangi gejala sosial dan moral.

Keruntuhan moral dapat diatasi bukan semata-mata melalui undang-undang atau peraturan tetapi dengan menaik taraf kua­liti kehidupan keluarga dengan memberi penekanan terhadap disiplin dan kelakuan moral yang baik.

Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap kualiti kehidupan keluarga dan mesti sentiasa mengambil langkah untuk menanam nilai moral yang baik pada anak-anak mereka demi membina asas masyarakat yang kuat, stabil dan beretika.

Saya sering melontarkan pendapat bahawa pertumbuhan ekonomi mesti seimbang dengan perkembangan sosial dan moral kerana saya percaya bahawa kayu pengukur untuk kejayaan sebuah negara adalah keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan moral.

Tidak ada ertinya kita mencapai pertumbuhan ekonomi yang dinamik serta peningkatan taraf hidup dan pendapatan per kapita yang tinggi apabila nilai moral, kualiti hidup dan pembangunan keluarga tidak dipupuk secara seimbang.

Pembangunan dan pe­mer­kasaan keluarga adalah pen­ting dalam proses membesarkan anak-anak. Kita perlu mendidik dan membimbing mereka untuk membesar sebagai warganegara yang berguna dan positif untuk menghadapi cabaran pembangunan negara.

Kuasa dan potensi keluarga dalam memerangi masalah sosial yang menimpa belia negara adalah lebih besar dan lebih bermakna berbanding keupayaan semua agensi penguatkuasaan untuk menangani masalah sosial.

Walaupun penguatkuasaan undang-undang juga penting, namun apa yang lebih penting adalah keupayaan kita untuk menyekat masalah sosial daripada menembusi dinding rumah melalui kekuatan dalaman sesebuah keluarga.

Ibu bapa mesti melengkapkan diri mereka dengan kemahiran keibubapaan yang betul untuk mengatasi perubahan pendidikan anak-anak dan kualiti hidup berikutan kemunculan zaman digital dan cabaran berkaitan.

Sikap dan sistem nilai yang diterima pakai oleh sesebuah keluarga itulah yang akan membentuk asas keluarga yang kuat, stabil dan bahagia.

Jika isu sosial dan moral negara kita tidak dapat ditangani dengan berkesan, kita akan menghadapi halangan utama dan serius dalam mencapai tahap negara maju.

Sebagai rakyat yang mendambakan perubahan, kita perlu menyokong Perdana Menteri untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam segala aspek.

Menjadi negara maju seharusnya merangkumi  aspek perpaduan nasional dan sosial, keadilan sosial, kestabilan politik, kualiti kehidupan termasuk kehidupan keluarga dan nilai-nilai sosial serta rohani.

Jika ini dapat dicapai, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa bangga dan keyakinan di peringkat nasional dan global.

TAN SRI LEE LAM THYE Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).


......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR
Telegram MR
Facebook MR

# Boleh pilih (klik) nak komen guna facebook atau blogger

3 ulasan:

  1. Dilancarkan tidak lama selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1981, ia memberikan impak yang besar apabila kerajaan Malaysia dan pihak swasta menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja.

    Komen:

    Ada yang tidak kena bilamana setelah 22 tahun + 15 tahun yakni 37 tahun setelah suatu kempen pembudayaan di perkenalkan, namun masa sepanjang itu masih belum mencukupi untuk budaya berkenaan di pupuk dan di kuasai.

    Senarai apa yang tidak kena itu mungkin berjela2 namun kalau dipendekkan ia adalah: bila budaya korupsi, tiris, rent seeking, kronism dan nepotism berkembang selari dengan budaya BARU, waima 370 tahun belum tentu cukup untuk budaya BARU itu dapat dimiliki.

    BalasPadam
  2. "Jika isu sosial dan moral negara kita tidak dapat ditangani dengan berkesan, kita akan menghadapi halangan utama dan serius dalam mencapai tahap negara maju."

    Selain pembentukan individu dan keluarga, persekitaran juga penting dalam pembentukan nilai sosial dan moral.

    Persekitaran yang kondusif adalah:

    Peratusan gejala anti sosial dan rendah moral secara terbuka harus tidak lebih dari yang tertutup

    Pensifaran produk penggalak antisosial dan rendah moral perlu dicapai di lapangan dan buka atas kertas sahaja.

    Pemutihan lorong2 hitam dan pencerahan lorong2 gelap harus berterusan dan berkesan

    Kadar pertumbuhan premis anti sosial dan rendah moral harus jangan lebih tinggi dari kadar pertumbuhan lain premis.

    Jika persekitaran yang kondusif itu dipandang sepi, hingga kucing bertanduk akan terus menanti.

    BalasPadam
  3. Dasar pandang ke timur dulu telah gagal dilaksanakan. Dasar 2020 hampir gagal. Banyak dasar tun gagal juga. Jgn bg alasan pak lah dan najib tapi dasar kronisme dan nepotisms dlm pentadbirannya selama ini.
    Dasar yg sama di recycle utk meruntuhkan sistem pengurusan. Selagi tun anti kpd dasar islam Allah x akan redha.

    BalasPadam