PETALING
JAYA: Remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella, ceria dan
berselera menikmati pelbagai juadah dibawa Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun untuk meraikan
sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama.
Menurut Rina, beliau turut membawa nasi goreng kegemaran Bella dimasaknya sendiri dari rumah.
Katanya lagi, Bella kelihatan manis dan ceria berbaju tema ungu menikmati juadah yang dihidangkan.
“Selain KFC, Bella memang suka nasi goreng ‘no pedas’, berselera sungguh dia menikmati hidangan-hidangan yang saya bawa.
“Saya juga membawa nasi impit,
lemang, rendang, ayam goreng kek dan kuih muih khas buat Bella dan
rakan-rakan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Bella sebelum ini disyaki didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur.
Perbicaraan kes penderaan Bella berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Terdahulu, Rina memaklumkan beliau
meraikan Hari Raya Aidilfitri yang memasuki hari keempat bersama Bella
dan rakan-rakannya di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak.
Katanya, Bella dan kanak-kanak lain
dijaga dengan baik dan sempurna daripada sudut keperluan fizikal dan
emosi di pusat perlindungan itu.
Beliau kemudian merakamkan ucapan
terima kasih kepada warga kerja pusat perlindungan kanak-kanak ini yang
tanpa jemu menjaga dan melindungi kanak-kanak termasuk Bella yang
ditempatkan di pusat itu dengan selamat setiap hari.
“Alhamdulillah mereka dijaga dengan baik dan sempurna daripada sudut keperluan fizikal dan emosi,” katanya. – UTUSAN
Post Comment
Tiada ulasan