Header Ads

ads header

Flash News

Ahmad Maslan gagal kali kedua batal pertuduhan


KUALA LUMPUR, 14 Ogos
― Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Maslan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan jenayah.

Dua pertuduhan tersebut adalah gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dalam menolak permohonan Ahli Parlimen Pontian itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

“Oleh itu mahkamah menetapkan untuk tidak menggunakan kuasa bagi semakan terhadap keputusan mahkamah rendah (mahkamah sesyen),” katanya.

Terdahulu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, 54, selaku pemohon berkata alasan Mahkamah Sesyen bahawa permohonan anak guamnya adalah pramatang, adalah tidak tepat.

“Ini kerana permohonan boleh dimasukkan pada sebarang peringkat memandangkan kes telah dikemukakan. Sesiapa sahaja boleh membuat permohonan tersebut jika ia tidak berasas.

“Tujuan permohonan (semakan) kami adalah bagi mendapatkan kebenaran Yang Arif  untuk memastikan sekiranya Mahkamah Sesyen telah melakukan kekhilafan. Dalam kes ini, tiada sebarang notis atau arahan dikeluarkan terhadap anak guam saya yang menyatakan kelewatan beliau dalam membuat pembayaran dan sebagainya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar berkata pihak pendakwaan telah memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan tersebut.

“Kami melihat  permohonan untuk membuat semakan ini adalah tidak berasas kerana ia adalah penyalahgunaan proses kuasa,” katanya.

Pada 24 Julai lepas, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Ahmad untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi setiausaha agung Umno itu selepas berpuas hati permohonan tersebut adalah pramatang.

Mahkamah itu juga  menetapkan tarikh perbicaraan kes pada 1 dan 2 Oktober, 16 Oktober, 23 Oktober, 6 November dan 24 Disember depan selain menetapkan 4 September ini untuk sebutan kes.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

#Sumber : ― Bernama   

MR : Walaupun kerajaan tapi tak ada kuasa nak campur tangan... Apa citer PH??   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan