Header Ads

ads header

Flash News

Kerusi TPM tetap penting meskipun tiada dalam Perlembagaan


SHAH ALAM - Kerusi Timbalan Perdana Menteri (TPM) tetap dianggap penting, besar dan berkuasa walaupun kerusi jawatan itu hanya wujud atas dasar konvensyen dan bukan termaktub di bawah undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu artikel disiarkan portal berita MStar hari ini, pengarang eksekutifnya, Rozaid A Rahman mendedahkan sehingga kini seorang dilantik sebagai TPM sering dirujuk sebagai orang 'ditunjuk' sebagai bakal Perdana Menteri pada masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau mengakui hakikat ramai juga yang berjaya menyandang jawatan itu tetapi gagal sampai ke puncak kuasa sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab tertentu.

"Mengikut sejarah, kerusi TPM diwujudkan buat pertama kalinya oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi membolehkan seorang lagi tokoh kanan yang bersama-sama menuntut kemerdekaan tanah air iaitu Tun Abdul Razak Hussein mengisinya dengan tujuan untuk membantu beliau (Perdana Menteri) melaksanakan tugas-tugas pentadbiran negara.

"Sejak itu, setiap Perdana Menteri meneruskan tradisi melantik seorang TPM sehinggalah ke hari ini.

"Sewaktu era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, hanya Tun Abdullah Ahmad Badawi sahaja timbalannya yang berjaya sampai ke puncak sebagai Perdana Menteri. Lain-lain timbalannya dari Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yang terakhir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semuanya gagal," katanya.

Mengenai peruntukan kuasa TPM, Rozaid turut mendedahkan dalam Bahagian IV, Bab 3 Badan Eksekutif, Perlembagaan Persekutuan di bawah tajuk 'Jemaah Menteri' Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara disebut hanya spesifik menjelaskan tentang 'Jemaah Menteri' atau 'Menteri-menteri' dan jawatan Perdana Menteri sahaja.

Menurutnya, perkara-perkara disebut di bawah judul Jemaah Menteri itu juga langsung tidak sekalipun menerangkan dalam mana-mana bahagian tentang perlunya dibentuk satu kerusi atau jawatan untuk TPM.

"Selain itu, Perkara 43(a) Perlembagaan Persekutuan terus memperkatakan pula tentang jawatan Timbalan-timbalan Menteri dan sebaik sahaja peruntukan mengenai pembentukan jawatan Timbalan Menteri disebut, Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43(b) (1) memperkatakan pula tentang peruntukan untuk melantik Setiausaha-setiausaha Parlimen.

"Pada masa sama, satu lagi jawatan yang disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan ialah jawatan Setiausaha Politik yang termaktub di bawah Perkara 43 (c).

"Justeru, tidak ramai tahu bahawa jawatan TPM adalah satu jawatan yang tidak pun disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak juga disenaraikan sebagai anggota Jemaah Menteri," katanya.

Rozaid turut menegaskan jawatan TPM yang wujud ketika ini dibentuk secara konvensyen memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak secara spesifik menyebut pada mana-mana bahagian pun tentang pelantikan mana-mana ahli Dewan Rakyat atau pun Dewan Negara untuk mengisi jawatan itu.

"Dalam konteks negara, setiap penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun wajib menyandang satu jawatan menteri untuk menjustifikasikan kedudukan mereka di dalam ahli Jemaah Menteri.

"Bayangkan seandainya seorang TPM tidak menyandang apa-apa jawatan menteri, beliau bukan sahaja tidak mempunyai justifikasi untuk dibayar gaji malah tidak boleh menghadiri sebarang mesyuarat Jemaah Menteri," katanya.

Rozaid turut menjelaskan perkara ini terkecuali kepada Perdana Menteri yang tidak diwajibkan menyandang apa-apa jawatan menteri kerana jawatannya sudah disebut di dalam Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan yang sekaligus mengesahkan kedudukannya sebagai ahli Jemaah Menteri.

Pandangan sama turut disokong pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Berkenaan konteks politik semasa, Shamrahayu berpandangan kerajaan baharu Perikatan Nasional boleh mempertimbangkan dua pilihan yang mengambil kira amalan politik diguna pakai di negara ini.

"Yang pertama, saya berpandangan lantikan jawatan TPM boleh diadakan lebih seorang mengambil kira kepentingan parti-parti lain yang berperanan membentuk Perikatan Nasional.

"Kemungkinan lain adalah kerajaan baharu ini tidak perlu mewujudkan jawatan TPM bagi mengelakkan berlakunya ketidakseragaman antara parti politik dalam pakatan itu.

"Cuma ia boleh dijustifikasikan dari aspek pengagihan lebih banyak menteri dari parti-parti dalam pakatan itu memegang jawatan kementerian lebih kanan dalam Kabinet baharu," katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Kalau jawatan tim.pm tiada dlm perlembagaan maka untuk senang cerita tiadakan saja jawatan tu dan sbgai ganti wujukkan jawatan 'timbalan menteri perdana menteri' wakakaka.

    BalasPadam