Header Ads

ads header

Flash News

Pertimbangan Politik PAS Demi Maslahah Islam


PAS tidak pernah menentukan pendirian politiknya sesuka hati, sebaliknya semua pertimbangan dalam aspek berkenaan dibuat secara amat teliti demi maslahah Islam.

Demikian dijelaskan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj. Hashim bin Jasin dalam ucapan perasmian sempena Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali ke-57 yang berlangsung di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya sedari dulu lagi, setiap kerjasama politik yang dijalinkan oleh PAS adalah demi mempertahankan kedudukan Islam dan bukannya melihat kepada keuntungan politik semata-mata.

Beliau memberi contoh bagaimana Dewan Ulamak PAS Pusat pada era kepimpinan Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memainkan peranan utama dalam memutuskan untuk mengharuskan PAS menyertai kerajaan campuran PAS-Perikatan setelah berlakunya Peristiwa 13 Mei.



Ujarnya, meskipun kerjasama tersebut diputuskan setelah melihat kepada kedudukan Melayu-Islam yang terancam akibat peristiwa berdarah berkenaan, namun prosesnya (kerjasama) tidaklah diputuskan dengan mudah sebaliknya terpaksa melalui sesi perbahasan yang teliti dan kemudiannya diharuskan dengan syarat-syarat yang amat ketat.

“Sedangkan ketika itu, hubungan PAS dengan Umno sangat tegang ekoran isu kafir-mengkafir yang menghumban beberapa ulamak PAS ke dalam ISA.

“Kenapa para ulamak ketika itu mengambil sikap demikian? Ia adalah pertimbangan politik demi memastikan survival politik Islam di negara ini dipertahankan, ketika ia dicabar oleh kebangkitan DAP,” katanya mengingatkan para perwakilan yang hadir.

Tambah beliau, PAS melihat soal kerjasama dengan Umno adalah perkara “mutaghayirat” yang boleh berubah mengikut keadaan semasa dan syarat-syarat yang digariskan.

Kerjasama ini ujarnya lagi mestilah berperanan memelihara maslahah Islam yang paling besar dan boleh terbatal apabila memudharatkan mana-mana perkara pokok dalam agama berkenaan.

Ahli pula tegas beliau, mestilah memahami hakikat berkenaan (keputusan parti dalam soal kerjasama politik) demi mengelakkan sebarang kecelaruan akibat salah tanggap serta pengaruh dakyah musuh yang boleh menyebabkan perpecahan.

“Atas asas itu, kita mengambil pendekatan siyasah syar’ieyah supaya maslahah yang lebih besar dapat dijaga, selagi mana perkara-perkara pokok tidak terancam.

“Di sinilah titik kefahaman yang mesti dibina oleh para ulamak kepada masyarakat, khususnya ahli-ahli PAS dan orang Melayu tentang hakikat terkini kedudukan umat Islam dan orang Melayu di negara kita selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan,” katanya.

Ujarnya, PAS harus terus bergerak dengan positif dan kekal dengan prinsipnya tanpa perlu menghiraukan pihak musuh yang sentiasa membakar api fitnah bagi berusaha menggagalkan sebarang agenda yang dibawa oleh parti Islam berkenaan.




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan