Header Ads

ads header

Flash News

Suara-suara untuk Harapan mungkir janji manifesto makin kuat!


KUALA LUMPUR: Penangguhan pelaksanaan 5 janji manifesto Pakatan Harapan (PH) akan melindungi integriti defisit bajet dan mengawalnya kepada sasaran 2.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata bajet perlu dilaksanakan secara pragmatik bagi mencerminkan realiti semasa ekonomi dan kewangan, termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar yang mengurangkan hasil bajet.

“Pengurusan hutang akan bertambah baik dengan penangguhan 5 janji ini.

“Anggaran hutang RM1 trilion kini akan lebih mudah diurus mengikut standard kewangan antarabangsa, termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa,” katanya.

Khamis lepas, kerajaan PH memutuskan menangguhkan pelaksanaan 5 inisiatif terkandung dalam manifesto pilihan raya “10 janji dalam tempoh 100 hari” sehingga keadaan kewangan negara pulih.

Ini termasuklah subsidi petrol bagi kereta di bawah 1,300cc dan motosikal di bawah 125cc, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah dan menaikkan gaji minimum.

Turut ditangguhkan adalah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi lepasan ijazah berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan dan pengembangan Skim Peduli Sihat di seluruh negara, yang menawarkan rawatan asas RM500 di klinik swasta berdaftar bagi isi rumah berpendapatan terendah 40% (B40).

Ramon berkata penangguhan janji itu dan projek serta program lain perlu disambut baik oleh orang ramai yang prihatin dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, orang ramai menyambut baik ketelusan dalam pembentangan perubahan terbaharu bajet oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Beliau menyatakan perubahan baharu bajet itu akan membawa impak hasil bersih RM6.6 juta dan impak perbelanjaan bersih RM6.3 juta. Oleh itu, impak keseluruhan bajet bersih akan menjadi baki positif RM300,000,” katanya.

Menurutnya, pengumuman itu amat dipuji kerana orang ramai dimaklumkan pada masa yang tepat tanpa sebarang penangguhan dalam tempoh yang lama seperti sebelum ini.

“Kami berharap PH akan mengguna pakai standard ketelusan dan pragmatik yang tinggi ini bagi cadangan bajet masa depan – mengenai operasi, perbelanjaan pembangunan dan pengurusan hutang yang serius – secara berterusan dan berkekalan pada masa depan, demi kebaikan rakyat,” katanya.

......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR | Telegram MR | Facebook MR

Tiada ulasan