Header Ads

ads header

Flash News

Sebulan Malaysia baharu berbanding 60 tahun Malaysia lama


Ahad lalu, 10 Jun cukup sebulan apa yang kini disebut sebagai Malaysia baharu. Istilah Malaysia baharu ini bukanlah sesuatu yang rasmi.

Ia bukanlah istilah yang dilancarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi ia digunakan dengan meluas bagi menggambarkan Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14.

Maknanya sebelum 10 Mei 2018, yang wujud ialah Malaysia lama, iaitu sejak kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Cukup sebulan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dalam Malaysia baharu ini, beliau berlepas ke Jepun untuk mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara bagi menghadiri Persidangan Nikkei.

Maka, disebut beliau ke Jepun untuk menarik pelaburan baharu bagi membantu negara yang dirundung hutang tinggi peninggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu.

Ada pihak yang menyebut mengenai pengenalan semula Dasar Pandang Ke Timur yang pernah dilaksanakan Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri pada 1980-an. Tidak kurang pula pihak yang menyebut peralihan orientasi Malaysia dari China ke Jepun.

Tetapi, lawatan rasmi Dr Mahathir ke Jepun ini juga boleh dilihat sebagai cara beliau berehat setelah melakukan kerja keras sepanjang sebulan lalu tanpa cuti.

Dengan kerja keras yang beliau lakukan sejak sebelum pilihan raya lagi, pada usia 92 tahun, beliau sememangnya wajar berehat. Tetapi, beliau yang terkenal rajin bekerja, tidak hairanlah menghadiri sidang itu sebagai cara beliau bercuti.

Dr Mahathir adalah satu-satunya ahli politik Malaysia aktif yang pernah melalui Perang Dunia Kedua, iaitu ketika Jepun menjajah Malaya. Perang itu mengubah dunia, termasuk Malaysia dengan Dr Mahathir turut terlibat dalam politik sejak Malaya merdeka.

Ketika itu, beliau berusia 32 tahun, Dr Mahathir sudah aktif dalam Umno yang disertainya melalui Saberkas, sebuah persatuan rakyat. Persatuan ini menjadi asas Umno Kedah.

Beliau tentu berasa detik-detik kemerdekaan negara. Ketika itu, Malaya baharu menggantikan Malaya lama.

Malaya lama merangkumi British Malaya, Malai (Malaya di bawah Jepun), Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu pra-merdeka. Malaya baharu itu kemudian menjadi permulaan kepada apa yang kini disebut sebagai Malaysia lama.

Maknanya, Dr Mahathir terlibat aktif dengan Malaysia lama dan kini merupakan pelopor Malaysia baharu.

Apabila disebut Malaysia, sering kali umum mengira ia bermula pada 31 Ogos 1957, sedangkan pada masa itu Malaysia belum wujud. Malaysia hanya ditubuhkan pada 16 September 1963.

Pada tarikh 31 Ogos 1957, yang ada ialah Malaya atau bahasa Melayu disebut sebagai Tanah Melayu. Namun, Malaysia boleh disebut sebagai Malaya yang diperluaskan kerana lambang serta institusi negara adalah serupa, cuma diluaskan untuk meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah.

Tetapi, Persekutuan Tanah Melayu sendiri tidak ditubuhkan pada 31 Ogos 1957, ia ditubuhkan lebih awal lagi, iaitu pada 1 Februari 1948. Namun, apabila disebut Malaysia, orang tidak mengira dari tarikh penubuhan 1 Februari 1948. Orang mengira dari tarikh Tanah Melayu merdeka.

Pada tarikh 31 Ogos 1957, ketua negara, Yang di-Pertuan Agong pertama mula bertakhta. Institusi Yang di-Pertuan Agong ini diteruskan dengan penubuhan Malaysia.

Namun, apabila disebut sebagai Malaysia baharu ekoran kemenangan PH dalam pilihan raya umum, ia juga menandakan tumbangnya rejim lama, iaitu kerajaan BN.

Maknanya, Malaysia lama adalah negara yang diperintah oleh BN. Tetapi, BN hanya wujud sejak 1974. Sedangkan tahun-tahun sebelumnya juga dianggap sebagai Malaysia lama.

Jadi, lebih tepat lagi ialah Malaysia lama adalah negara yang diperintah oleh Umno sebagai parti dominan dalam BN dan Perikatan, iaitu sejak 31 Ogos 1957.

Tetapi, tarikh ini juga tidak tepat. Ini kerana Umno mentadbir Malaya dan Malaysia sejak 1955, ketika ia memenangi pilihan raya umum pertama Tanah Melayu.

Umno juga telah berubah dari 1957 hinggalah 2018. Tetapi, terdapat ciri-ciri asasnya yang telah mencorakkan Malaysia lama. Antaranya ialah sifat dominannya terhadap Perikatan dan BN.

Kedua ialah perjuangannya untuk agama Islam, kaum Melayu dan negara Malaysia. Ketiga ialah cara pentadbirannya yang bersifat tertutup, terkawal dan pemusatan kuasa pada tangan pemimpin utama.

Ciri-ciri ini dapat dilihat hanya setelah ia tidak berkuasa. Masih terlalu awal untuk menilai perbezaan antara Malaysia baharu dan Malaysia lama, iaitu antara tempoh sebulan ini berbanding 60 tahun pentadbiran Umno.

Tetapi, dari sebulan ini dapat dilihat perbezaan antara PH dan BN. Kalau Umno adalah parti dominan dalam BN, ia tidak berlaku dalam PH. Keempat-empat parti itu adalah setaraf, walaupun PKR mempunyai kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat.

Ketua Umum PH ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi keputusan parti dibuat secara konsensus dalam Majlis Presiden yang dipengerusikan Dr Mahathir.

PPBM yang turut memperjuangkan agama, kaum dan negara seperti juga Umno, tetapi ia tidak menekankan perkara itu.

Sebaliknya, yang ditekankan oleh Dr Mahathir ialah kedaulatan undang-undang atau “rule of law”, di samping mengenai pemisahan kuasa, eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Semua parti PH lebih banyak menyebut “good governance” atau tadbir urus baik, keadilan dan suara rakyat. Mereka menekankan soal ketelusan, keterbukaan, kebebasan, bersih dan amanah.

Tidak ada pemusatan kuasa pada pemimpin utama. Pemimpin-pemimpin PKR, PPBM, DAP dan Amanah memiliki kuasa yang dibahagi-bahagikan.

Itu dari segi parti-parti politik yang membezakan antara Malaysia baharu dengan Malaysia lama. Apa yang juga penting adalah rakyat.

Apakah yang membezakan rakyat Malaysia baharu dan Malaysia lama? Sudah terdapat bergenerasi dalam 60 tahun Malaysia lama, sedangkan rakyat Malaysia baharu hanya baru sebulan.

Rakyat Malaysia baharu juga pernah menjadi rakyat Malaysia lama. Malah, di kalangan rakyat Malaysia baharu, ada yang masih menyokong Malaysia lama, sementara pendokong Malaysia baharu terdiri juga orang yang pernah menyokong Malaysia lama.

Tetapi, sistem demokrasi negara ini membolehkan sebahagian rakyat menolak Malaysia lama bagi mewujudkan Malaysia baharu.

Sememangnya, terdapat pelbagai dorongan berbeza bagi seseorang pengundi memilih PH. Ramai antaranya yang bertindak kerana menolak kleptokrasi atau skandal 1MDB.

Namun, di bawah tindakan itu adalah kesanggupan ramai pengundi yang menolak BN, walaupun parti itu mempunyai rekod panjang dan teruji sebagai pentadbir negara.

Mereka inilah yang bersedia untuk hidup dalam Malaysia baharu, sebuah negara yang berbeza daripada apa yang mereka ketahui selama ini.

Tetapi, kejayaan PH juga terletak pada asasnya dengan penentang-penentang tradisi Umno. Penyokong PPBM adalah penentang Umno yang baharu, iaitu hanya sejak 2016.

Tetapi, bagi penyokong PKR, sebahagiannya menentang Umno sejak 1998, sementara sebahagian yang lain, iaitu bekas penyokong Parti Rakyat Malaysia menentang Umno sejak sebelum merdeka lagi.

Begitu juga dengan sebahagian daripada penyokong Amanah, iaitu ketika mereka berada dalam PAS. Penyokong DAP juga menentang Umno sebelum Malaysia ditubuhkan lagi.

Penentang-penentang tradisi Umno tentu menolak Malaysia lama. Jadi, apabila Umno terlepas kuasa, mereka ini mengharapkan sebuah Malaysia baharu yang selama ini mereka impikan.

Tetapi, tentulah tidak semua yang ada dalam Malaysia baharu ini menepati apa yang mereka impikan. Mereka perlu kompromi kepada kehendak bekas ahli Umno yang kini berada dalam PPBM.

Inilah yang Dr Mahathir lakukan sepanjang sebulan menjadi perdana menteri. Tidak ada tuntutan daripada DAP mengenai soal Melayu. Begitu juga tidak ada tuntutan mengenai Islam dari Amanah.

Tumpuan Dr Mahathir adalah pembersihan, ekonomi dan kedaulatan undang-undang. Malaysia baharu adalah memenuhi harapan berbeza, bukan saja dari segi amalan lama, tetapi juga impian lama.

Sejauh mana Malaysia baharu akan berkembang, hanya sejarah yang akan menentukan. Apa yang baharu akan akhirnya menjadi lama juga. Sementara itu, terpulang kepada rakyat negara ini hendak mencorakkan Malaysia baharu.

Zin Mahmud

......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR
Telegram MR
Facebook MR

# Boleh pilih (klik) nak komen guna facebook atau blogger

3 ulasan:

  1. "Tetapi, dari sebulan ini dapat dilihat perbezaan antara PH dan BN. Kalau Umno adalah parti dominan dalam BN, ia tidak berlaku dalam PH. Keempat-empat parti itu adalah setaraf, walaupun PKR mempunyai kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat."

    ConMen:

    Ini perbezaan bersifat antipositiviti. Yang bersifat populis tetapi tak mampu bertahan lama. Kalau ini berterusan, setiap komponen akan bertanggapan buat apa kerja lebih2 kalau imbuhanya adalah sama rata. Secara tidak langsung ini akan mengurangkan daya saing dan mudah berasa selesa. Tunggu!

    BalasPadam
  2. Tunggulah sebulan dua lagi. Masing-masing akan tunjuk taring.

    Sesungguhnya Sang Syaitan tidak akan berkongsi kuasa.

    BalasPadam
  3. Selagi masih ada sekolah berunsur kaum...masih belum layak di gelar Malaysia baru. Sudah tiba masanya sekolah jenis kebangsaan dihapus...

    Jika parti politik berunsur kaum ditolak... Maka tak salah jika semua perkara berunaur kaum dihapuskan....

    Sekadar pandangan... Sekarang masa untuk menjadi rakyat Malaysia yang sebenar...

    BalasPadam