Header Ads

ads header

Flash News

“Saya Diseksa, Dipukul...” kata Bekas Penulis Anwar Ibrahim


Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan dari penjara pada bulan lalu selepas mendapat pengampunan penuh selepas hampir seminggu Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Persekutuan menjadi topik utama di seluruh dunia.

Media antarabangsa memberi gambaran seorang lelaki akhirnya mendapat pengampunan daripada penganiayaan selama beberapa dekad atas pandangan politiknya terhadap kerajaan pemerintah.

Malah, tindakan Anwar yang secara terbuka mengampuni Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab memenjarakan beliau buat pertama kali pada tahun 1999 juga mendapat tumpuan media, tetapi Anwar pada sidang media pertamanya sebaik sahaja dibebaskan mengatakan perjuangan mesti diteruskan untuk mendapatkan hak ke atas “ketidakadilan terhadap rakyat, jenayah yang dilakukan terhadap rakyat, (dan) amalan rasuah yang menjadi budaya di negara ini”.

Namun di sebalik pembebasan Anwar, salah satu watak penting dalam pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu nampaknya terus dilupakan.

Bekas penulis ucapan Anwar, Dr Munawar A Anees telah menjalani hukuman penjara selama enam bulan pada tahun 1998 selepas membuat pengakuan “membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar” dan kini sedang menuntut keadilan yang sama iaitu mendapatkan pengampunan penuh.

Munawar menerusi surat terbuka kepada Perdana Menteri meminta supaya Dr Mahathir juga membersihkan namanya.

“Sudah 20 tahun sejak polis Malaysia mengumban saya ke penjara atas tuduhan yang direka hanya kerana saya bersekutu dengan Anwar.

“Saya tidak melakukan sebarang jenayah tetapi polis datang ke rumah saya dan membawa saya pergi. Apabila anak-anak saya balik dari sekolah pada hari itu bapa mereka tiada. Ibu mereka ditinggalkan sendirian tanpa tahu bagaimana menjelaskan apa yang berlaku.

“Pada waktu itu matlamatnya ialah mencemarkan Anwar secara politik. Dia juga ditangkap pada sekitar waktu itu dan dihumban ke penjara,” katanya.

Beliau mendakwa telah diseksa oleh anggota polis pada ketika itu sehingga memaksa membuat pengakuan palsu bagi mengelakkan dirinya daripada terus didera.

“Polis menundukkan saya dengan segala cara penderaan: memukul menyiram air sangat sejuk, menghalang saya tidur dan makanan.

“Seksaan itu memberi kesan serius kepada saya hingga saya mengalami masalah jantung dan terpaksa dibawa ke hospital. Di sana, buat kali pertama, saya dibenarkan melihat keluarga saya.

“Selepas diseksa berminggu-minggu, saya mengalah. Saya beritahu mereka yang mendera itu - iaitu anggota polis anda - apa yang mereka mahu dengar. Tak ada satu pun yang betul.

“Semua yang saya cakapkan ketika itu adalah supaya mereka berhenti menyeksa saya. Apabila saya dibawa ke mahkamah saya ulangi apa yang saya katakan kepada polis, bimbang jika tidak berbuat begitu, maknanya saya akan diseksa lagi.

“Butiran ngeri mengenai penahanan dan seksaan saya di bawah ISA boleh didapati dalam perakuan sumpah saya pada7 Nov 1998,” dedahnya dalam surat terbuka tersebut.

Dengan pengampunan penuh tanpa syarat yang diberikan kepada Anwar, Munawar kini meminta Dr Mahathir untuk memadam rekod jenayahnya sambil menegaskan bahawa beliau adalah mangsa permainan politik.

“Anda dan Anwar Ibrahim seolah-olah telah bertukar halaman. Itu boleh dipuji. Tetapi di mana keadilan saya dan keluarga saya yang sepatutnya?

“Saya seorang lelaki yang tidak bersalah yang dijadikan mangsa dalam permainan politik – yang seolah-olah kini ia melengkapkan kitarannya.

“Saya, dengan itu, meminta anda - sebagai ketua kerajaan - memastikan saya mendapat pengampunan penuh bagi membersihkan nama serta bayang-bayang yang tergantung di sekeliling saya.”

Munawar, 70, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat (AS) keturunan Pakistan sebelum ini menceritakan pengalamannya pada tahun 1998 kepada The Wall Street Journal (WSJ) pada tahun 2010 di mana beliau berkata bahawa beliau telah dianiaya semata-mata kerana “pendirian peribadi yang lama dan pertubuhan profesional dengan Anwar, kemudian Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia,” dan beliau mengulangi bahawa beliau membuat pengakuan palsu dalam kes liwat.”

“Saya tidak melakukan jenayah yang mana saya telah diseksa dan dipenjarakan secara tidak adil.

“Saya mahu sistem kehakiman Malaysia untuk bangun dengan hakikat bahawa ketidakadilan telah dilakukan terhadap saya... Sistem kehakiman di Malaysia mesti bangkit untuk mendesak tugas dan perkhidmatan yang adil tanpa sebarang kelewatan,” tulisnya dalam artikel yang disiarkan WJS bertajuk The Price I Paid for Malaysian 'Justice'.

- mD

......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR | Telegram MR | Facebook MR

4 ulasan:

  1. Harus berjiwa besarlah spt Anwar. Lupakan saja, semua tu sekadar luka kecil.

    BalasPadam
  2. Mungkin tak ramai yang dapat merasakan apa yang sepolan ini lalui tapi insan seperti Jamal mungkin dapat bayangkan ketidak adilan yang dilalui oleh si mangsa keadaan.

    BalasPadam
  3. Ini yg dinamakan domino effect. Belum lagi yang kena simbah air busuk dan cedera di pukul fru masa reformasi pun ikut buat tuntutan. Tapu jgn la smpi camtu sekali...saje berseloroh Hehehe

    BalasPadam
  4. Hanya luka kecil

    BalasPadam