Header Ads

ads header

Flash News

Menuju Negara Republik Sekular


Fungsi utama pemerintah dalam Islam ialah menjaga agama dan mentadbir dunia berpandukan agama. Sehubungan itu, selepas merdeka daripada penjajahan British, sepatutnya muslim berpolitik di Tanah Melayu ini mestilah matlamatnya untuk mencapai kekuasaan penuh agar dua fungsi tersebut, terutamanya yang pertama, dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kekuasaan penuh itu bermaksud dominasi kuasa politik dan ekonomi sebagai dua kekuatan asas yang mampu mengetepikan sebarang halangan luar (rakyat bukan muslim dan kuasa luar) terhadap penghayatan agama sebagai satu cara hidup yang menyeluruh meliputi kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan bernegara.

Malangnya penjajah telah mewariskan pemerintahan Tanah Melayu ini kepada sekumpulan elit Melayu UMNO (bukan marhaen UMNO) yang lebih mengagungkan cara hidup penjajah, walaupun agamanya Islam. Idealisme agama, bangsa dan tanahair di sisi mereka tidak lebih sekadar retorik yang mampu memanipulasi sentimen orang Melayu agar mengekalkan mereka sebagai pemerintah. Kemajuan yang diusahakan oleh mereka bertujuan memberikan sedikit keselesaan hidup bagi orang Melayu, tetapi bukan sekali-kali untuk merampas semula penguasaan penuh ekonomi daripada kaum Cina, yang seharusnya mengukuhkan dominasi kuasa politik orang Melayu seperti sebelum zaman penjajahan. Selepas menikmati sedikit keselesaan hidup, elit pemerintah pengkagum cara hidup Barat itu mula melampiaskan nafsu rakus serakah memakan kekayaan negara. Akhirnya, selepas lebih setengah abad merdeka, korupsi dan ketidakikhlasan kumpulan elit ini pada agama, bangsa dan Tanah Melayu mengakibatkan bukan sahaja kuasa ekonomi semakin mengukuh di tangan kaum Cina, malah dominasi kuasa politik turut berpindah ke tangan minoriti penguasa ekonomi yang semakin tamak dan menjarah itu.

Dari satu sudut, peruntukan perlembagaan yang memberikan keistimewaan kepada Islam dan orang Melayu telah mengalami perubahan tanggapan di sisi umat Melayu setelah mereka melalui proses kebangkitan dan kesedaran Islam mutakhir ini, setelah berpuluh tahun peruntukan-peruntukan itu ditanggap sebagai kaedah untuk melindungi penduduk pribumi semata-mata. Kini pemahaman bahawa peruntukan perlembagaan itu memberi asas yang kuat bagi berdirinya syariat sebagai cara hidup secara umumnya dan sebagai rujukan perundangan “common” umat Islam secara khususnya, sepatutnya membuka jalan ke arah penghayatan Islam dalam negara sambil menghenyak ke pinggiran seruan mensekularkan negara.

Tetapi, situasi perlembagaan yang memberikan keistimewaan kepada Islam dan orang Melayu ini diimbangkan oleh penjajah dengan menyerahkan kuasa kepada elit Melayu sekular UMNO, yang mengekalkan peruntukan perlembagaan itu tetapi tidak sekali-kali memperkasakannya.

Masyarakat manusia sentiasa mengalami perubahan. Begitulah penjajah telah menjangkakan mana-mana bangsa yang dijajah akan kembali bangkit mendapatkan semula jati dirinya selepas puluhan tahun merdeka. Orang Melayu akan kembali kepada citra Islam dan Melayunya. Jika situasi ini digabungkan dengan peruntukan istimewa Islam dan Melayu itu, sudah tentu bangsa ini mendapat kemerdekaan yang hakiki daripada British.

Berdepan dengan kemungkinan itu, penjajah juga telah menyediakan sekumpulan elit Cina yang memainkan watak antagonis sebaik Malaya mencapai kemerdekaan. Seruan yang mereka angkat sememangnya berlawanan langsung dengan semangat keistimewaan untuk Islam dan Melayu dalam perlembagaan. Seruan kesamarataan kaum dan agama, tiada istilah bumiputera dan bukan bumiputera, Malaysian Malaysia. Seruan mereka yang kontra dengan semangat perlembagaan ini pada hakikatnya memberikan nyawa yang panjang kepada elit UMNO yang memanipulasi sentimen orang Melayu untuk menolak DAP.

Selama puluhan tahun, kumpulan elit Cina ini, walaupun perjuangannya itu “unconstitutional” kerana mahu melawan peruntukan perlembagaan, kekal diberikan nyawa dengan berbekalkan dua tiga kerusi Parlimen. Mereka pemain simpanan, menunggu giliran apabila sunnatullah menghendaki yang di atas itu turun, maka yang di bawah yang akan naik itu ialah mereka, dengan segala seruan sekularisme dan kesamarataannya.

Pintu untuk giliran mereka tiba apabila Anwar Ibrahim mengambil pendekatan agresif untuk menjatuhkan elit UMNO setelah dipecat oleh Mahathir pada tahun 1998. Sejak itu, arus perdana pembangkang ialah menjatuhkan regim elit UMNO tanpa memikirkan langsung tentang kesan perpecahan orang Melayu ke atas peruntukan perlembagaan yang melindungi hak mereka dan memberi kedudukan istimewa kepada Islam. Tiada siapa yang menjangkakan bahawa seruan kontra semangat perlembagaan DAP itu akan menjadi seruan arus perdana pada hari ini, sedangkan itulah alternatif yang disediakan oleh penjajah jika pewarisnya jatuh.

PAS juga turut terjebak dalam matriks permainan kuasa tinggalan penjajah ini, apabila terlibat menggerakkan GERAK, seterusnya Barisan Alternatif, kemudian Pakatan Rakyat, bersama ayam tambatan peninggalan penjajah, DAP. Matriks permainan politik berasaskan perebutan kepentingan ini memang berkuasa tinggi untuk menguburkan ideologi Islam, sebaliknya menyuburkan ideologi liberal dan sekular. Ini disebabkan ideologi liberal dan sekularlah lawan pemikiran bagi semangat Islam dan Melayu yang terkandung dalam perlembagaan, yang selama ini menjadi talian hayat bagi elit UMNO. Mahu menembak elit UMNO tidak dapat tidak mesti ditembak pada tempat berpautnya, sentimen Melayu. Itulah ruang udara segar bagi bagi DAP. Itulah sebabnya, apabila PAS memilih untuk kembali bersama ideologi Islam, maka tercampaklah keluar daripada Pakatan Rakyat dengan membayar harga yang tidak sedikit.

Bagi majoriti rakyat marhaen, yang tidak terdedah dengan pengetahuan mencukupi mengenai pertembungan ideologi, mereka akan menganggap segala drama politik ini hanyalah berpunca daripada isu rasuah, kezaliman, kerakusan berdepan dengan pejuang keadilan, pemimpin anugerah Tuhan yang bergabung dengan pemimpin yang dituduh zalim yang telah bertaubat, sedangkan hakikatnya kita sedang menuju ke arah negara berfahaman liberal sekular plural, multiracial sama rata sama rasa, tidak beragama. Seruan kontra semangat perlembagaan yang memberikan keistimewaan kepada Islam dan Melayu ini 20 tahun yang lalu adalah seruan yang dilihat songsang yang diperjuangkan oleh DAP. Hari ini seruan itu sudah dilafazkan oleh elit UMNO yang apabila sudah tidak berjawatan maka keluarlah warna sekular mereka yang sebenarnya yang selama ini ditutup di sebalik slogan pejuang agama, bangsa dan negara. Sedikit masa lagi, perlembagaan ini akan dirombak. Saya sudah menjangkakan perkara ini selepas PRU 2008 lagi, cuma tidak pasti sejauh mana Majlis Raja-raja kuat untuk menyekat arus liberal ini memandangkan rekod sejarah dalam isu Malayan Union dahulu.

Segala perancangan musuh Islam ini bersenjatakan perang persepsi, yang dijanakan dengan kemas melalui media sosial hari ini. Majoriti rakyat yang sudah tidak dapat membezakan antara prinsip dan persepsi, terutamanya generasi muda, amat mudah menjadi mangsa perang persepsi ini. Muslim yang berpegang pada prinsip, akan melihat perjuangan politik itu ialah untuk memastikan agama terjaga daripada serangan pemikiran ideologi sesat liberalisme, sekularisme dan pluralisme, demokrasi buta agama. Manakala muslim yang kehilangan prinsip akan dibuai dengan isu GST, hutang negara dan sebagainya. Muslim berprinsip berpegang bahawa agama seseorang itu kriteria nombor satu dalam memilih pemimpin. Tetapi seruan muslim berprinsip ini diejek, dipandang sempit, tertutup, pelik, ekstrim dan dituduh tidak rahmah dan tidak harmoni dengan bukan muslim terutamanya DAP.

“Islam telah datang dalam keadaan dilihat pelik, dan ia akan kembali dilihat pelik, maka syabaslah bagi orang-orang yang pelik (bersama Islam)” – Hadith

Mohd Hazizi bin Ab Rahman
Ahli Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia

......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR | Telegram MR | Facebook MR

5 ulasan:

  1. kalau veteran, elit dan cendekiawan boleh keliru, lain-lain golongan tentu boleh keliru x2, x3 dan seterusnya.

    BalasPadam
  2. Penyakit al-wahn dah meresap dalam jiwa muslim di akhir zaman nih... bimbang anak cucu kita makin jauh dengan nur islam akibat keculasan pemimpin islam yang berpenyakit al-wahn....

    BalasPadam
  3. Apabila negara Islam ini bertukar menjadi negara sekular liberal, maka puaslah hati puak Melayu liberal kerana mereka boleh melakukan kemungkaran dan kesesatan secara terbuka. Mereka boleh murtad semudah menukar baju di badan.

    Semoga Allah menurunkan bala yang amat pedih ke atas puak Melayu liberal kerana mereka menyesatkan umat Islam, menentang dan menghina ajaran Islam dan menafikan hak umat Islam.

    BalasPadam
  4. MARI BELAJAR SEJARAH ntara punca utama yang telah dikenal pasti sehingga menyebabkan Melaka berjaya ditawan oleh Portugis adalah kerana berlakunya pengkhianatan dalam negeri diikuti dengan kekuatan angkatan tentera Portugis SERTA didokong oleh rakyat jelata yg khianat kononya inginkan kuasa/pembaharuan. MENANG TP TERGADAI maruah bangsa,agama dan tanah air, MORAL. jangan salahkan PORTUGIS musuh yg dikenali

    BalasPadam
  5. Tiada guna lagi kita komen di sini. Sekarang adalah masa untuk bertindak. Kita seru Seluruh negara Jumaat ini supaya umat Islam bangkit lawan Mahathir. Lepas solat Jumaat kita berhimpun di semua masjid bantah penghinaan kepada institusi di Raja dan Agama Islam. Bangkitlah wahai saudaraku !

    BalasPadam