Header Ads

ads header

Flash News

KJ calon terbaik tanding Presiden - Tun M


ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, adalah calon terbaik untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.

Perdana Menteri berkata Khairy adalah antara pemimpin dalam UMNO yang paling layak untuk kembali memperkasakan parti itu selepas kehilangan kuasa kerajaan Persekutuan dan di kebanyakan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"La ini dia (UMNO) nak bertanding (jawatan) ketua pun boleh bertanding... saya dapati calon ketua (Presiden) terbaik ialah Khairy," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Kedah, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengerusi DAP Kedah, Teoh Boon Kok.

Pada pemilihan UMNO kali ini, semua jawatan dalam parti dipertandingkan susulan desakan ahli di peringkat akar umbi selepas parti itu mengalami kekalahan pada PRU-14.

Kelmarin, Khairy menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkata pergolakan politik di Perlis jelas menggambarkan ketidakupayaan UMNO untuk menentukan asas perjuangan parti di negeri itu.

Sambil mengakui tidak boleh campur tangan terhadap situasi di Perlis kerana 'ketiadaan' kuasa, beliau berkata sejak kekalahan UMNO pada PRU-14, parti itu dilihat berada dalam keadaan kucar-kacir sehingga gagal menentukan prinsip perjuangan mereka.

"Macam mana nak campur tangan, parti saya sendiri tak berkuasa di Perlis, kalau parti saya berkuasa bolehlah saya campur tangan, ini parti lain.

"Namun UMNO sejak kekalahan ini berada dalam kucar-kacir sehingga tak dapat menentukan prinsip perjuangan mereka, " katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir mengakui prestasi Pakatan Harapan (PH) tidak begitu cemerlang di Kedah meskipun berjaya merampas pentadbiran di peringkat kerajaan Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN).

Katanya, meskipun PH berupaya menarik undi daripada penyokong PAS dan UMNO, ia masih tidak mencukupi khususnya untuk PPBM dan AMANAH berada pada kedudukan selesa di negeri ini.

"Hakikatnya kita menang lebih daripada yang kita jangka tetapi Kedah tidak seperti itu... dalam PH ada AMANAH dan PPBM iaitu parti baharu sudah dilihat sukar mendapat sokongan khususnya dalam pertembungan tiga penjuru di antara BN, PKR dan PAS.

"Oleh itu, kita merancang membuat satu gerakan untuk rakyat supaya lebih faham mengenai perjuangan PH, selain analisis kedudukan pengundi di kawasan tertentu supaya kita lebih faham bagaimana nak tarik pengundi, " katanya.

Pada PRU-14 lalu, PH memenangi 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah dengan majoritinya, iaitu enam kerusi adalah milik PKR dan PPBM (tiga), AMANAH (satu). - BH

......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR | Telegram MR | Facebook MR

1 ulasan:

  1. Dua tahun lagi MOi/7 akan berganti MOi/8. Persiapan dalaman dan luaran perlu bermula dari sekarang. Kat luar sana sandarannya ialah Umno 3.0 yang mantop untuk mengimbangi the next MOi. Tidak ada signifikannya bagi orang luar memberikan pendapat berkenaan isu siapa yang layak mengemudi parti lawan. Apapun ianya boleh dilihat dari sudut 'sediakan payung sebelum hujan', sebelum jersi MOi berpindah badan.

    BalasPadam