Header Ads

ads header

Flash News

Kerajaan Komunis China Seksa Tahanan Islam


SELAMA berjam-jam berterusan dalam sehari, Omir Bekali dan tahanan lain dipaksa mengaku menolak agama Islam, mengecam diri mereka dan berterima kasih kepada Parti Komunis yang memerintah China.

Bila engkar, Bekali, seorang Muslim keturunan Kazakh, dipaksa berdiri di dinding selama lima jam setiap kali. Kemudian beliau ditahan secara berasingan, dipaksa berlapar selama 24 jam. Selepas 20 hari ditahan, beliau rasa ingin membunuh diri.

Inilah gambaran keadaan di kem indoktrinasi, kem untuk mengubah pemikiran seorang tahanan supaya menolak agama Islam dan menerima fahaman komunis.

Pihak berkuasa China telah menahan puluhan malah ratusan ribu Muslim China dan juga warga asing di kem tahanan.

Omir Bekali menceritakan bagaimana beliau diikat dan diseksa oleh pihak berkuasa China.

Kata Bekali, beliau menghadapi tekanan psikologi yang dahsyat apabila terpaksa mengecam diri sendiri dan menolak agama Islam, hingga menyebabkan beliau tidak dapat tidur dan tidak dapat berhenti memikirkannya.

Tahanan Muslim dari Xinjiang di barat China ini ditahan di kem tahanan besar yang disifatkan oleh seorang wakil kerajaan Amerika Syarikat di China sebagai “kem tahanan warga minoriti terbesar di dunia hari ini.”

Pegawai China mengelak daripada mengulas tentang isu ini, tetapi ada bercakap kepada media kerajaan mengatakan perubahan ideologi mesti dilaksanakan untuk melawan pemisah dan pelampau.

Muslim Uighur dianggap sebagai ancaman kepada China yang majoriti penduduknya daripada suku etnik Han.

Kem tahanan yang semakin berkembang ini bertujuan mengubah pendirian tahanan Islam sehingga mereka tidak lagi mengaku Islam dan mengikut fahaman komunis.

Mereka yang patuh dan mengecam keluarga dan agama mereka diberi ganjaran dan engkar pula dihukum lebih berat termasuk dipukul dan dibiarkan kebulur.

Cerita dari Bekali ini ialah gambaran paling jelas tentang kem tahanan ini, dan cerita ini turut disahkan oleh beberapa orang bekas tahanan dan seorang bekas petugas, yang enggan identiti mereka didedahkan kerana bimbang keselamatan keluarga mereka.

Kes Bekali berbeza dan mendapat perhatian kerana beliau ialah warga Kazakhstan, yang ditahan pihak berkuasa China selama lapan bulan tanpa sebarang proses keadilan. Dua orang diplomat Kazakhstan mengesahkan dakwaan Bekali.

Program yang disebut sebagai transformasi melalui pendidikan ini ialah salah satu program utama aparatus keselamatan China di bawah Presiden Xi Jinping.

Tidak ada pegawai Kementerian Luar China yang mengaku kewujudan kem-kem ini, manakala pegawai di Xinjiang enggan melayan sebarang soalan media.

Tetapi pegawai-pegawai China di Xinjiang diketahui mengakui keberkesanan program ini untuk mengekang pelampau agama, dan satu kajian menunjukkan sehingga 98.8 peratus berubah selepas memasuki kem ini.


Pintu masuk sebuah masjid di Xinjiang yang diletakkan propaganda kerajaan komunis China.

Bekali lahir di China pada 1976, anak kepada pasangan Kazakh dan Uighur, tetapi beliau berpindah ke Kazakhstan pada 2006 dan mendapat kerakyatan tiga tahun kemudian.

Selepas beliau ke Kazakhstan, banyak yang berubah di Xinjiang dan kini menjadi satu medan perang antara kerajaan China dengan orang Islam di sini, yang didakwa dipengaruhi pelampau agama dan mahu merdeka dari China.

Xinjiang kini dipantau oleh kerajaan China hingga melawat laman web asing, menjawab panggilan telefon dari saudara mara luar negara, bersolat lima kali sehari atau berjambang boleh menyebabkan seseorang itu dihantar ke kem tahanan atau penjara, atau kedua-duanya sekali.

Kem tahanan ini dirahsiakan dan tidak mempunyai rekod awam. Anggaran pihak luar, dari puluhan ribu hingga 900,000 ditahan di kem tersebut, manakala satu kajian menunjukkan lebih daripada AS$100 juta telah dibelanjakan sejak 2016 untuk memperbesarkan kem tersebut.

Bekali yang datang melawat ibu bapanya pada satu hari menyerahkan kad pengenalan lamanya kepada polis semasa diperiksa.

Keesokan harinya, lima orang anggota polis bersenjata datang ke rumah ibu bapa Bekali dan menahannya, mendakwa ada waran tangkap ke atasnya di sebuah bandar industri minyak tempat beliau bekerja 10 tahun lalu. Beliau tidak dibenarkan menelefon peguam kerana kesnya “istimewa”.

Bekali ditahan dan diseksa, disoal tentang kerjanya dengan sebuah agensi pelancongan yang mengajak rakyat China memohon visa pelancong ke Kazakhstan, yang didakwa cara membantu Muslim China melarikan diri.

Bekali ditanya tentang beberapa orang aktivis dan peniaga Uighur di Kazakhstan, dan akhirnya akibat kepenatan dan kesakitan, beliau memberitahu apa sahaja yang diingati tentang nama yang pernah beliau dengar.

Beliau kemudian dimasukkan ke sel penjara kecil dengan 17 tahanan lain, dengan kaki mereka dirantai kepada tiang katil. Mereka diberikan pakaian seragam berlainan warna, dan Bekali diberkan uniform berwarna jingga.


Pintu masuk sebuah penjara yang didakwa menempatkan tahanan politik.

Pada pertengahan Julai, tiga bulan selepas ditahan, Bekali dilawati seorang diplomat Kazakhstan dan selepas empat bulan beliau dibawa keluar dari sel dan diberikan dokumen pembebasan.

Tetapi, beliau belum lagi bebas.

Beliau dibawa ke satu bangunan dengan kawasan luas dan berpagar, di mana 1,000 orang tahanan melalui proses indoktrinasi politik.

Di sini, tahanan bangun awal pagi, menyanyikan lagu kebangsaan China dan menaikkan bendera China pada jam 7.30 pagi.

Mereka diajar beberapa lagu lain mengagungkan China, dan belajar bahasa dan sejarah China. Mereka diberitahu yang orang Asia Tengah dari Xinjiang mundur dan menjadi hamba sebelum dibebaskan oleh Parti Komunis pada 1950an.

Sebelum makan, yang terdiri daripada sup sayur dan roti, tahanan diperintah bersorak: “Terima kasih Parti! Terima kasih negara! Terima kasih Presiden Xi!”

Tahanan didisiplinkan, dikurung dan hidup dalam keadaan daif. Malah, kamera turut dipasang di dalam tandas. Mereka jarang dibenarkan mandi, dan jarang dibenarkan membasuh tangan dan kaki yang diakitkan dengan wuduk.

Apa yang paling menyeksa, menurut mereka ialah paksaan mengulang kecaman terhadap diri sendiri. Mereka dipaksa berbuat demikian sehingga dua jam atau lebih.

Antara sesi yang dijalankan ialah tahanan berdiri di hadapan 60 tahanan lain, mengkritik diri dan menerima kritikan daripada tahanan lain. Mereka yang mengikut skrip diberikan dan yang mengecam dengan keras diberikan poin hingga membolehkan berpindah ke tempat lebih selesa.

Mereka dipaksa bercakap menolak syariah, menyesali perbuatan membaca al-Quran dan tahanan wanita dipaksa memohon maaf kerana memakai pakaian menutup aurat.

Solat di masjid selain hari Jumaat, solat Jumaat di luar kampung sendiri atau menyimpan aplikasi al-Quran di telefon boleh dianggap sebagai kelakuan ekstremis.

Di depan petugas kem tahanan, mereka dipaksa mengulang-ulang berkata mereka telah melakukan kesalahan dan telah insaf.

Seorang warga Uighur, bekas wartawan televisyen dikenali sebagai Eldost dipanggil untuk mengajar sejarah dan budaya China di kem ini kerana kefasihannya berbahasa Mandarin. Beliau tidak ada pilihan dan terpaksa akur dengan arahan kerajaan ini.

Sistem pendidikan semula ini, kata Eldost, mengklasifikasikan tahanan kepada tiga peringkat keselamatan dan tempoh tahanan.

Kumpulan pertama biasanya terdiri daripada minoriti petani buta huruf yang tidak ada kesalahan lain selain tidak berbahasa Cina. Kedua terdiri daripada mereka yang ditahan kerana memiliki bahan agama atau yang dianggap pemisah dalam telefon mereka.

 Warga Uighur di Xinjiang sentiasa dihujani propaganda kerajaan komunis China.

Kumpulan terakhir terdiri daripada mereka yang belajar agama di luar negara dan kembali, atau dianggap terlibat dengan elemen asing. Golongan terakhir ini, menurut Eldost, dipenjarakan selama 10 hingga 15 tahun.

Semasa mengajar, Eldost pernah nampak tahanan dipukul. Kejadian pukul ini berlaku di kem tahanan walaupun bukan setiap masa berlaku.

Menurut Eldost, pengajaran di sini bermatlamat menjadikan orang Uighur Islam mengaku yang budaya mereka mundur berbanding Parti Komunis yang progresif.

Eldost akhirnya melarikan diri keluar China dengan membayar rasuah untuk mebolehkannya melarikan diri.

Beliau pernah cuba membantu tahanan sekadar kemampuannya, seperti membantu mereka belajar dan menghafal dan menasihati mereka supaya tidak selalu menyebut “Alhamdulillah” supaya tidak dipukul.

Apa yang paling menyedihkan, katanya, ialah tangisan tahanan pada waktu malam sebelum tidur.

Seorang bekas tahanan, Uighur dari selatan Xinjiang, mengatakan pekerja kem tahanan memburukkan kaum Uighur dengan mengatakan wanita Uighur tidak memakai seluar dalam, mengikat rambut dengan gaya tertentu untuk memberitahu keterbukaan seksual mereka dan mengadakan hubungan seks dengan ramai lelaki.

Ada tahanan yang dikenakan baju besi apabila melakukan kesalahan, dan sekiranya masih engkar akan diikat pada kerusi selama 24 jam.

Seorang tahanan, Samarkan, yang telah ditahan selama tiga bulan akhirnya hilang pertimbangan dan menghantukkan kepala di dinding dalam cubaan membunuh diri. Tetapi beliau hanya pengsan dan kemudian diugut akan dipenjara lebih lama jika cuba membunuh diri lagi.

Bekali, selepas 20 hari, juga memikirkan untuk membunuh diri. Kerana keengganan mengubah pendirian dan tidak mahu bercakap dalam Mandarin, beliau tidak dibenarkan keluar ke kawasan riadah, tetapi dihantar duduk di dalam sebuah bilik bersama lapan orang lain selama 24 jam.

Seminggu kemudian, beliau mula ditahan beberapa kali secara sendirian. Tahanan sendirian ini berlangsung selama 24 jam.

Kemudian, secara tiba-tiba seperti mana beliau ditahan lapan bulan sebelum itu, beliau dibebaskan. Seorang anggota polis menghantarnya dengan kereta ke rumah kakaknya di Karamay.

Keesokan harinya, pada hari Sabtu, pihak polis memberikan beliau visa istimewa untuk 14 hari. Bekali meninggalkan China pada 4 Disember.

Bekali menyimpan satu bungkusan plastik di rumahnya mengandungi bukti yang mungkin akan berguna satu hari nanti: Pasport dengan pengesahan visa, rekod perjalanan dan dokumen polis bertarikh dan ditandakan dengan cop merah.


Bekali menunjukkan gambar ibu dan bapanya yang ditahan selepas beliau dibebaskan.

Dokumen inilah yang paling dapat membuktikan apa yang beliau alami selama lapan bulan. Di dokumen itu tertulis yang beliau ditahan kerana mengancam keselamatan negara, manakala catatan terakhir mengatakan beliau dibebaskan tanpa dakwaan.

Pada mulanya, Bekali tidak mahu kisahnya diterbitkan kerana bimbang kakak dan ibunya mungkin dihantar ke kem tahanan.

Tetapi pada 10 Mac, pihak polis China menahan kakaknya Adila, dan kemudian pada 19 Mac, ibunya Amina Sadik. Pada 24 April, bapanya Ebrayem pula ditahan.

Penahanan ini mengubah pendirian Bekali, dan beliau mahu semua kisahnya diterbitkan, walau apapun akibatnya. – AP/Mynewshub.cc







......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

5 ulasan:

  1. "Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (Al Baqarah: 120)

    BalasPadam
  2. Minoriti kafir boleh hidup selamat dibawah kerajaan Islam. Tetapi sebaliknya tiada jaminan selamat terhadap minoriti Islam.

    BalasPadam
  3. Di Malaysia sudah ada non muslim lagak ular lidi ingin jadi naga dengan sokongan balaci balaci liberal dan barua muslim tiga suku

    BalasPadam
  4. Di Malaysia umat islam tak dapat nak laksanakan syariat islam yang syumul sedangkan orang bukan islam dapat beramal dengan selesa manakala umat islam dinegara bukan islam pula seperti mengemis untuk beramal beribadat sehingga masjid diroboh dan dibakar (rujuk kes di masjid babri, india, xinjiang china, myamar, selatan thailand dan banyak lagi)

    BalasPadam
  5. hehehe menteri pertahanan kan kata komunis tu baik...

    BalasPadam