Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka.

Konsep : Artikel pada blog ini berfokus kepada pencetus minda rakyat.. yakni penulis ini memberikan idea untuk satu santapan minda baik pro atau mungkin kontra dengan pemikiran sejagat. Oleh itu artikel ini adalah artikel yang perlu kepada perbahasan minda.

Ahad, 6 Februari 2011

Menilai Kewajaran Interlok

Oleh Hafiz Zainuddin

Sastera berlegar dalam dunianya tersendiri. Punya dayatarik dan peminat tersendiri. Sesekali; kejutan yang berlaku dalam dunia sastera merupakan sesuatu yang boleh dilihat dari dua sudut iaitu pro dan kontra yang mana ada baiknya. Sekali lagi, scene sastera negara kita bergegar. Sama halnya yang berlaku semasa kemunculan novel Shit karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad tahun 1999 yang membantai amalan kronisme, nepotisme, kezaliman dan salahguna kuasa pemimpin negara.



Novel Shit ini menggambarkan pemerintahan negara yang jijik dan kotor. Pemimpin-pemimpin yang korup dan zalim dilabel dan diungkapkan sebagai "kepala taik", "Puki Mak"-PM, "batang taik barisan" dan banyak lagi. Pada waktu itu, semua orang membincangkannya malah penjualannya mencatatkan angka yang memberangsangkan. "Shit" menjadi fenomena baru dalam dunia sastera!

Kontroversi kali ini adalah dari sebuah novel yang ditulis lebih 10 tahun selepas merdeka yang lalu di mana akan dijadikan sebagai teks komponen sastera pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah. Semena-mena, nama "Interlok" menjadi sangat popular. Interlok diwacanakan, diperbincangkan, diperdebatkan di banyak peringkat masyarakat. Apa sebenarnya yang berlaku?

Kontroversi Interlok

Interlok merupakan karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Ia menggambarkan situasi awal Malaya ketika zaman penjajahan Jepun, British dan pasca merdeka. Secara umumnya, novel ini cuba menggambarkan konsep perpaduan yang cuba memberi fokus kepada integrasi tiga suku kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India yang melalui pelbagai rintangan hidup bersama-sama dalam sebuah negara yang berusia muda. Secara umumnya, novel Interlok meletakkan sejarah pembentukan negara sebagai latar penceritaan.

Tidak seperti Shit. Di dalam Interlok tidak ada "kepala taik" mahupun "Puki Mak". Di dalam Interlok ada "keluarga Seman", "keluarga Cing Hock", "keluarga Maniam" dan "paria". Maka, perkatan inilah yang menjadi kontroversi. Paria merupakan perkataan yang dilihat "super-sensitif" bagi masyarakat India, jadi; sekumpulan orang-orang India telah membakar Interlok atas pengaruh tertentu. Saya tidak mahu mengulas isu pembakaran Interlok. Isu bakar ini telahpun diulas panjang lebar oleh Hishamuddin Rais dalam kolumnya dalam Malaysiakini bertajuk "Buku yang dibaca, dibakar".

Abdullah Hussain sama sekali tidak salah. Beliau menulis buku itu atas daya imijinatif, pemerhatian dan pengalaman beliau 40 tahun lalu. Belum pun KLCC dan Putrajaya wujud, Interlok telah lama dipasaran!

Rakyat Malaysia dan tabiat membaca

Bukan semua orang tahu menilai sastera dan konotasinya. Bukan semua orang suka membaca. Di Malaysia; masyarakatnya lebih suka menonton dari membaca (sebab itu senang kena tipu). Setiap isu yang timbul akan dinilai terlebih dahulu dengan emosi yang kemudian mengundang perbalahan tidak ilmiah.

Persoalan yang timbul ialah; dalam 27 judul novel karya Abdullah Hussain, kenapa Kementerian Pelajaran memilih Interlok? Tidak adakah novel lain selain Interlok untuk dijadikan teks sastera pelajar tingkatan lima ini? Kalaulah pihak kementerian beralasan pemilihan Interlok adalah untuk memberi pendedahan sejarah kepada pelajar; itu silap. Pendedahan sejarah adalah dalam matapelajaran Sejarah!

Campur tangan politik

"Yang saya tidak senang mengapa harus MIC mengkritik di luar BN. Ia sepatutnya dilakukan dalam kelompok BN......." -A.Samad Said - Keadilandaily.com

Saya melihat Isu Interlok sebagai projek halus BN. Apabila hampir segala isu sebaik mungkin dikaitkan dengan perkauman, ia bukan sesuatu yang alami lebih-lebih lagi isu sastera. Wujud tangan-tangan tertentu yang sengaja mengusik. Interlok nampaknya telah dijadikan mangsa politik dan MIC mengambil tempatnya terlebih dahulu.

Baiklah; kita akui, Interlok mungkin dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat India. Persoalannya, bagaimana pula isu ini di uruskan? MIC seperti MCA. Dilihat terdesak kerana semakin kehilangan pengaruh dan sokongan dari kaum masing-masing. Oleh yang demikian, MIC sengaja bersuara di luar BN agar suara mereka lebih didengari.

PERKASA dan Hero Tamil?

T. Murugiah yang baru menyertai MIC dilihat cuba menjuarai isu ini. Konon-konon cuba menjadi hero kepada masyarakat India. Padahal isu ini sebenarnya telah wujud sejak tahun 2005 lagi apabila Dr.Ranjit Singh Malhi, perunding buku mata pelajaran Sejarah Tingkatan Tiga, mempersoalkan beberapa kesilapan fakta sejarah dalam novel ini.

T. Murugiah (gambar kiri) kelihatan sangat ghairah, beliau terus menunggangi MIC dan dilihat membawa isu ini dengan memberi tekanan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran agar menarik balik Interlok dari dijadikan teks sastera Sekolah Menengah.

Maka, pada 18 Januari lalu, sebuah dialog tertutup telah dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran yang melibatkan MIC, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), PENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ahli-ahli akademik yang lain dalam menangani polemik Interlok yang semakin bercelaru.

Penganalisis politik melihat tindakan "heroic" Murugiah sebagai mementingkan diri sendiri dengan mengetepikan "semangat musyawarah" BN dan mencacatkan gagasan 1Malaysia Najib! Apakah tindakan beliau ini bertujuan untuk melobi agar MIC mencalonkan beliau dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang?

Apabila Interlok dibakar dan isu ini semakin panas; maka tangan kedua pula dilihat masuk campur. PERKASA yang diketuai oleh Ibrahim Ali mengunjungi Abdullah Hussain. Kunjungan ini adalah untuk memberi sokongan kepada Sasterawan Negara itu selain menyampaikan anugerah Jasa Pahlawan Perkasa kepada beliau. Apakah ini sesuatu yang dijangkakan? Siapa pula PERKASA yang tiba-tiba masuk campur-konon untuk membela sastera negara-Interlok dan Abdullah Hussain? Jelas. Tidak lain tidak bukan, menjaja sentimen perkauman!

Perbincangan "gagal"-polemik berterusan?

Akhirnya, pada 27 Januari 2011, Menteri Pelajaran merangkap TPM, Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Interlok kekal digunakan dengan pindaan dibuat sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India. Sekali lagi persoalan timbul. Apakah kewajaran Kementerian Pelajaran mengekalkan novel ini tanpa menyedari bahawa polemik Interlok telah menular ke sekolah-sekolah dan menjadi buah mulut guru-guru bahasa membincangkannya?

Interlok yang tujuan asalnya untuk menyatupadukan kaum di Malaysia telah dicop "menghina" kaum tertentu. Apakah nanti akan ada aduan dari pihak sekolah mengenai perbalahan di kalangan murid yang diejek "paria"? Siapa yang akan untung nanti? Saya melihat pindaan tidak akan mengubah situasi malah memanjangkan lagi pertikaian.

* Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular