Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka.

Konsep : Artikel pada blog ini berfokus kepada pencetus minda rakyat.. yakni penulis ini memberikan idea untuk satu santapan minda baik pro atau mungkin kontra dengan pemikiran sejagat. Oleh itu artikel ini adalah artikel yang perlu kepada perbahasan minda.

Khamis, 14 Januari 2010

Kaum dan budaya apa yang lebih hebat?

Written by Zaki Samsudin

Masyarakat kita hari ini dikelilingi kepelbagaian. Kita terdedah dengan individu-individu yang berbeza warna kulit, budaya dan pegangan hidup berbanding diri kita sendiri. Maka dalam keadaan ini, dilema yang menanti adalah samada kita tetap teguh dengan cara dan budaya kita sendiri atau perlu kita mengalah dan menerapkan budaya orang lain.

Tidak kira siapa, Melayu, Cina, India, Arab dan sebagainya; nalurinya ialah mempertahankan adat dan budaya masing-masing. Jika ditanya, pasti ramai yang beranggapan budayanya-lah yang terbaik dan selainnya tidak setanding. Dalam sains sosial, fenomena ini dinamakan etnosentrisme (ethnocentrism). Walaupun sering dianggap negatif, etnosentrisme sebenarnya suatu yang normal dan setiap individu itu sebenarnya, sedar atau tidak, ada ciri-ciri etnocentrik.
Orang Melayu misalnya, rata-rata menganggap masakan Melayu itulah yang paling sedap, nasi itu hidangan wajib dan sambal belacan pelengkap hidangan. Mee, burger, spagetti atau apa saja selain nasi bukanlah makanan sebenar. Nasi sahajalah yang boleh mengenyangkan. Tidak kira di mana jua, di negara sendiri atau di perantauan, nasi-lah satu-satunya makanan asasi.

Saya sendiri pun lebih kurang begitu. Saya pernah tinggal di utara Eropah, pernah menyantap hidangan ikan salmon yang segar. Seringkali ke negara Cina menikmati mee dan sup daging yang enak. Namun kalau ditanya, hidangan apakah yang paling sedap, saya tidak teragak-agak menyatakan gulai tempoyak ikan patin yang paling sedap di dunia.

Saya bangga dan selesa dengan masakan Melayu. Namun, saya tidak pernah menghadapi masalah menyesuaikan diri bila berada di luar negeri. Saya pastinya tidak pernah kelaparan walau di mana saya berada walaupun tempat itu tiada nasi putih dan sambal belacan. Tidak pernah terlintas di fikiran saya walau di mana saya pergi untuk membawa periuk nasi, cili dan lesung batu.

Ini perihal diri saya. Orang lain bagaimana?

Budaya ada fungsinya

Hakikatnya, kebanyakan pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, antara yang harus dibawa ialah periuk nasi elektrik. Tidak kurang juga yang membawa lesung batu dan ramai juga yang membawa stok ikan bilis dan cili kering.

Pilihan makanan dan masakan hanyalah satu contoh. Pokoknya, bila berdepan situasi di mana budaya dan cara hidup kita tidak serupa dengan budaya dan cara hidup asing, ada yang mampu menyesuaikan diri dengan baik. Namun, ada juga yang tidak mampu menyesuaikan diri kerana terlalu bangga dan taksub dengan budaya sendiri.

Seorang ustaz saya pernah menceritakan, bagaimana ketika menghadiri satu jamuan rasmi, hidangan tengah hari yang dihidangkan adalah mee dan sup. Sudu dan garfu tidak disediakan. Yang ada hanya kayu sepit (chopsticks). Seorang rakan ustaz tersebut lalu bertanya dengan nada serius, “apakah hukum (halal atau haram) makan menggunakan chopstick?” Beliau sekadar menjawab, “kalau tahu pakai – kenyang, tak tahu – lapar.”

Melucukan, namun inilah realiti masyarakat kita hingga ke hari ini. Menanam perasaan bangga pada adat dan budaya kaum sendiri pastinya tidak salah. Namun, bilamana perasaan bangga ini sampai ke tahap kita memandang rendah budaya orang lain, perlu diteliti apakah punca dan kesannya. Lebih parah lagi jika budaya sendiri diangkat sebagai kayu pengukur bagi menentukan mana yang salah dan mana yang benar.

Bangganya orang Cina pada budaya mereka kerana kekayaan sejarah dan warisannya. Orang Melayu tidak kurang juga walaupun mungkin di Malaysia asasnya lebih pada budaya politik dan falsafah ketuanan bangsa. Walau apapun alasannya, perasaan bangga pada kumpulan sendiri dan keinginan untuk berafiliasi (need for affiliation) adalah sebahagian daripada fitrah manusia.

Dan tujuan Allah menjadikan kita berbeza kaum dan budaya adalah untuk kita saling mengenali antara satu sama lain; bukan untuk membenci dan bukan juga untuk beirihati.

Budaya itu penting kerana fungsinya. Fungsi budaya itu adalah untuk melakar garis panduan yang sedia dipakai untuk mereka yang mengamalkannya. Maka, bilamana sesuatu budaya itu sudah berkembang dan matang, pengamal-pengamalnya tidak perlu lagi berfikir panjang akan tatacara kehidupan seharian. Budaya memudahkan proses pembelajaran dan menjadi panduan penting di setiap peringkat perkembangan manusia.

Kepelbagaian budaya ialah kekuatan

Setiap kaum ada budayanya sendiri. Ia merangkumi segala-galanya yang menjadi kebiasaan dan diterimapakai oleh majoriti ahli sesuatu kaum itu. Budaya itu sifatnya berubah-ubah. Kaum pula sekadar label identiti seseorang individu. Konsep kaum itu sendiri punya definisi dan batasan yang berbeza. Ada kaum yang dilabel berasaskan warna kulit, ada yang berasaskan bahasa ibunda, dan ada juga yang berasaskan kaitan dengan negara asal (motherland).

Maka, jika diselami semuanya ini, tidak timbul soal budaya atau kaum apakah yang lebih baik dan hebat.

Kalau orang Melayu makan nasi menggunakan tangan, orang Cina pula makan menggunakan chopsticks. Perlukah dipersoalkan cara mana yang lebih hebat dan lebih mengenyangkan? Orang Melayu lebih selesa makan menggunakan tangan, orang Cina pula lebih selesa menggunakan chopsticks. Kedua-duanya membawa makanan ke mulut, lalu dikunyah, ditelan dan dibawa ke perut. Cara Melayu atau cara Cina, sama fungsi dan hasilnya.

Yang penting kita menghargai perbezaan yang ada dan menghormati orang yang amalannya berbeza dengan amalan kita.

Lainlah kalau amalan itu jelas salah di sisi agama dan undang-undang.

Perbezaan budaya antara kita harus dihormati dan diterapkan sedikit-sebanyak setakat mana yang termampu. Apa salah misalnya orang Melayu sekali-sekala berpakaian tradisi Cina dan orang Cina sekali-sekala bersongkok dan berbaju Melayu.

Dalam masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, inilah asas perpaduan yang perlu disemai dan dijiwai di setiap lapisan masyarakat. Kepelbagaian budaya itu bukanlah satu kelemahan dan ancaman pada keharmonian. Malah ia adalah satu sumber unik kekuatan yang perlu digilap ke arah matlamat yang sama.


http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1837:kaum-dan-budaya-apa-yang-lebih-hebat-&catid=219:contributors&Itemid=171

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular