Header Ads

ads header

Flash News

Kerajaan kaji rombak sukatan pelajaran sekolah bagi mantapkan perpaduan


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kerajaan sedang mengkaji untuk merombak sukatan pelajaran yang kini digunakan di sekolah-sekolah bagi tujuan memantapkan perpaduan dan meningkatkan kefahaman dalam kalangan pelajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata, sukatan pelajaran itu harus memberi penekanan kepada kepelbagaian budaya supaya kanak-kanak di Malaysia memahami satu sama lain demi memupuk perpaduan yang lebih kukuh menerusi pendidikan.

"Kanak-kanak perlu dididik dengan sejarah negara dan dari mana asal nenek moyang kita dan apa sumbangan mereka kepada negara agar tiada lagi prejudis antara sesama mereka," katanya kepada pemberita pada acara Sidang Kemuncak Malaysia Baharu di sini hari ini.

Sidang kemuncak, yang dianjurkan Institut Strategi Antarabangsa (ISI) itu, akan berbincang dan memberi cadangan bagaimana kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) boleh memberi tindak balas kepada tempoh perubahan dan cabaran-cabaran yang kian meningkat dalam menentukan kelangsungan kelestarian perniagaan.

Sementara itu, Waytha Moorthy, yang juga bertanggungjawab bagi porfolio Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial berkata, jabatannya juga telah menggariskan bebeapa program untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata antara inisiatif itu ialah pengenalan hari pelbagai budaya yang ditetapkan akan bermula pada awal tahun depan.

"Ia akan menjadi acara tahunan, melaluinya (hari pelbagai budaya) kita dapat menyatupadukan rakyat bukan sahaja melalui penganjuran pesta makanan tetapi juga secara turun padang," kata beliau.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Bajet 2019 dan sama ada akan ada pengumuman khas untuk masyarakat India, Waytha Moorthy berkata beliau telah mengemukakan cadangan mengenai perkara itu kepada Kementerian Kewangan.

"Cadangan itu sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan, tetapi saya fikir ramai yang telah mengetahui bahawa negara sedang menghadapi kesulitan, jadi bajet itu sudah tentu akan diselaraskan dengan keperluan dan kemampuan semasa ekonomi negara," kata beliau.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijadual membentangkan Bajet 2019 di Parlimen pada 2 November. - BERNAMA

 



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan