Header Ads

ads header

Flash News

Pengajaran daripada PRK Teluk Intan

Barisan Nasional (BN) kini memiliki kerusi parlimen Teluk Intan melalui Datuk Mah Siew Keong.

Mah yang juga Presiden Gerakan berjaya membawa pulang kerusi parlimen yang ke 134 untuk BN semalam setelah mengecewakan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan kemenangan majoriti nipis, 238 undi.

Mah menerima 20, 157 undi sementara Dyana memperolehi 19, 919 undi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan mencatat rekod jumlah yang keluar mengundi  kedua terendah pada PRK yang telah berlangsung sejak PRU-13.

Seramai 40,236 pengundi keluar mengundi iaitu sebanyak 66.67 peratus.

Pada PRU-13, seramai 48,839 pengundi atau 80.7% keluar membuang undi di Teluk Intan.

Enam pengajaran yang boleh kita dapat dari saingan sengit PRK Teluk Intan dan implikasinya.

1. Mengapa Gerakan menang?

Kemenangan Gerakan menunjukkan beberapa perkara tentang bagaimana pengundi di Teluk Intan berfikir.

Penganalisis mengatakan bahawa salah satu sebab utama undian memihak kepada Mah adalah kerana beliau adalah tokoh tempatan yang rakyat kenal dan janji-janjinya adalah praktikal.

Personaliti Mah sangat sebati dengan orang Teluk Intan dan kempennya lebih menumpukan kepada kebajikan penduduk.

Itu dilihat lebih mudah diterima penduduk tempatan daripada mesej abstrak DAP mengenai idealisme dan isu-isu nasional.

Adalah sukar untuk menolak kata-kata Mah mengenai pembangunan ekonomi dan infrastruktur ditambah pula dengan sokongan kewangan yang jelas daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

Paling diberi perhatian adalah tawaran jawatan Menteri Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang suka atau tidak ia membantu undian kepada Mah.

Ia juga membawa maksud bahawa rakyat mempercayai Mah sebagai seorang yang berpendirian apabila dia  enggan menerima perlantikan sebagai senator yang menjadi impian pembangkang.

2. Mengapa DAP kalah?

Pertamanya adalah kerana DAP gagal meyakinkan sepenuhnya pengundi luar terutamanya pemuda-pemudi berketurunan Cina serta Melayu untuk pulang ke kampung halaman dan mengundi.

Jumlah kehadiran pengundi yang sangat rendah ini sebenarnya memberi tamparan hebat kepada DAP dalam mempertahankan kerusi di Teluk Intan.

Undian pengundi luar ini gagal meskipun manifesto yang dibawa Dyana dilihat bagai dibuat khas untuk pengundi muda urban.

Tanpa analisis yang mendalam kepada corak pengundian setiap komuniti dan hanya menganggap jumlah undi merendah pada semua kaum, ia membawa maksud populariti Dyana sedikit mengelirukan.

Mungkin Dyana popular dikalangan peminat ‘online’, bukan ‘offline’.

Apabila tiba hari pengundian, populariti ini terlihat jelas.

Teluk Intan sekali lagi menunjukkan bahawa populariti di media sosial tidak menjamin kemenangan.

Jumlah kehadiran ketika di ceramah-ceramah kempen tidak menterjemahkan jumlah undian.

Beberapa pemerhati juga menyatakan Dyana terlindung disebalik orang-orang kanan DAP serta jelas kurang pengalaman di atas pentas terutama dalam menjawab soalan sukar ataupun soalan mudah.

Walaupun ia pasti mesej menarik buat ahli-ahli politik lama tentang keindahan belia, namun mungkin mesej itu tidak dapat dilihatkan kepada undi.

3. Apa maksud kemenangan ini kepada Gerakan dan Mah?

Tahun ini adalah perjalanan yang panjang buat Mah selepas beliau mengambil alih peranan presiden dalam parti Gerakan dan pastinya beliau mendapat sayap baru selepas kemenangan ini.

Semangat dalam Gerakan pastinya melonjak naik secara drastik.

Ahli-ahli parti yang sudah lama tidur kini akan bangun menyahut panggilan masa depan yang lebih baik.

Mungkin Gerakan akan dapat mencari kembali asas zaman kegemilangan parti itu.

Parti yang sentiasa disebut-sebut sebagai ‘suara hati nurani’ BN ini diharapkan mampu keluar dari kepompong dan menzahirkannya dengan lebih vokal.

Walau bagaimanapun, ia masih belum dapat dilihat sama ada Gerakan akan berdiri dan bersuara terhadap ‘abang besar ‘ UMNO atau parti komponen lain dan melangkaui batasnya.

Tetapi kemasukkan satu lagi ahli kedua Gerakan di Dewan Rakyat dan Menteri di Kabinet, telah banyak meningkatkan nilai parti tersebut.

4. Apa maksud kekalahan ini kepada DAP?

Adakah eksperimen DAP menurunkan seorang Melayu di kawasan majoriti Cina, gagal? Adakah Malaysia telah kembali kepada cara lama yang lebih selesa di mana bangsa dan politik perlu sentiasa seiring?

Mungkin majoriti pengundi masih belum bersedia untuk menentang arus dan belum bersedia menerima identiti masyarakat yang saling berkaitan dengan yang lain dan berusaha untuk cita-cita yang tidak kelihatan 'realistik'.

Ia adalah mustahil untuk meminta ahli-ahli politik untuk menukar kulit mereka, apatah lagi rakyat.

Untuk berlaku adil, idea mengurangkan politik kaum juga disokong Gerakan dan ironinya Gerakan turut menggelarkan dirinya sebagai parti berbilang kaum seperti DAP.

Mungkin, simbolik langkah awal Dyana ini  boleh dijadikan contoh stau hari nanti.

Buat masa ini, DAP nampaknya akan kembali kepada cara lama tanpa ada tindakan ‘berani’ lagi.
Adakah itu bermakna lebih banyak Ahli Parlimen berbangsa Cina akan mewakili kerusi ‘Cina’ pada masa hadapan?

5. Apa maknanya kepada Dyana?

Dyana kalah berlumba tetapi dia belum tentu kalah pertandingan. Umurnya baru 27 tahun. Pada pilihan raya umum ke-14 nanti, umurnya mungkin 30 atau 31 tahun. Langkah politiknya baru bermula. Langkahnya masih jauh.

Pilihan raya kecil Teluk Intan ini tentunya mematangkan anak muda ini untuk berdepan dengan sepak terajang dan caci maki politik yang lebih mencabar. Seperti yang pernah dia sebut sendiri, dia dicaci dan dimaki sekali semasa memilih jalan politik bersama DAP. Dia dicaci dan dimaki lagi sewaktu jadi setiausaha politik kepada Lim Kit Siang.

Dua pengalaman itu menyiapkan dirinya untuk dicaci dan dimaki serta difitnah sepanjang kempen pilihan raya kecil Teluk Intan.

Untuk PRU-14, dia tentunya lebih bersedia.

6. Apa maknanya kepada politik Malaysia?

Pilihan raya kecil ini hanya mengukuhkan satu perkara: politik baru itu sesuatu yang sangat asing dan janggal. Dalam politik negara setakat ini, tidak ada yang namanya pertembungan idea atau polisi. Debat pun masih belum menjadi budaya kita. Apa yang ada masih lagi politik ugut-mengugut, fitnah dan caci maki.  Garis perkauman dalam politik juga masih terlalu tebal.

Selebihnya, peranan ahli parlimen sebagai pembuat dasar dan penggubal undang-undang itu masih belum difahami dengan betul termasuk di kalangan orang politik. Untuk kesekian kalinya, ahli parlimen masih diharapkan untuk menjalankan tugas pejabat daerah.

Selepas 2008, kita masih bermimpi kosong tentang politik baru.


Teoh El Sen
Astro Awani


.......
MindaRakyat
http://mindarakyat.blogspot.com/

Tiada ulasan