Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka. Jika kebetulan serasi dengan pelawat terimalah & manafaatkannya.

Isnin, 19 November 2012

Kekalkan momentum, usah tersilap langkah

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya difahamkan, untuk senario terkini, pemimpin dan strategis BN sendiri mengakui, jumlah kerusi Parlimen yang "selesa untuk dipertahankan" tidak melebihi 95, satu kedudukan yang cukup kritikal, dibandingkan penguasaan 137 kerusi dalam pilihan raya 2008. Jumlah 95 kerusi itu juga kurang 17 kerusi daripada majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Semua petunjuk, sama ada "kiraan di atas kertas" dan juga situasi di lapangan, memberi isyarat jelas bahawa hayat Umno-BN sebagai penguasa sejak merdeka -- satu rekod yang sukar digugat parti-parti pemerintah lain sezaman dengannya -- akan berakhir dengan pembubaran Parlimen penggal ke-12. "Sebab itu, Najib kerap menangguhkan pembubaran Parlimen, bagi memanjangkan sisa-sisa usia regim pemerintahannya," bisik bekas editor sebuah mingguan politik kepada saya.

Sekurang-kurangnya itulah reaksi yang saya terima daripada ramai pemerhati politik termasuk penganalisi bebas. Seperti lazimnya, saya mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan agar jangan terlalu yakin. Usah pandang remeh kemampuan (dan kesanggupan melakukan apa sahaja) elit penguasa untuk mempertahankan takhta.

Pengundi Melayu yang menjadi sandaran utama Umno-BN, dengan serangan bertubi-tubi media dan perang saraf yang cukup hebat, bagi menimbulkan kecelaruan dan keraguan terhadap keupayaan Pakatan menjaga kepentingan bangsa, masih dianggap kelompok penentu dalam PRU13.

Kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu, menjadi tumpuan dan perhatian istimewa. Kebetulan PAS, secara tradisi diberi kepercayaan oleh Pakatan Rakyat dan juga sekutunya, seperti Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif, sebelum ini, untuk menyaingi calon-calon Umno di kawasan tersebut. Perkampungan tradisi dan penempatan Felda bakal menyaksikan apakah slogan "PAS Ganti Umno" diterima majoriti orang Melayu.

"Fasa akhir persediaan pilihan raya BN, isu-isu agama akan jadi senjata utama Umno, termasuk bantuan besar-besaran kepada sekolah pondok. Tengok saja kenyataan Nurul Izzah dimainkan. Ketika mana Umno jadi konservatif, PAS pula yang menjadi progresif," ujar seorang rakan, pensyarah media.
Secara keseluruhannya, biarpun prestasi 2008, dari segi jumlah kerusi Parlimen, telah meletakkan PAS pada kedudukan ketiga berbanding KeADILan dan DAP, ia tetap menjadi sandaran terpenting bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia yang cukup mendambakan perubahan.

Saya tertarik dengan pandangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, andaikata Pakatan Rakyat memenangi semua kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 30 peratus pengundi Cina, ia hanya akan membentuk 40 peratus daripada keseluruhan kerusi, iaitu tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti.

Daripada 222 kerusi, hanya 34 mempunyai komposisi pengundi Cina sebagai majoriti. Sejumlah 55 kerusi lagi masyarakat Tionghua membentuk 30-50 peratus bilangan pengundi, dan bagi Kit Siang, walaupun Pakatan mampu memperolehi 80 peratus undi Cina di kerusi berkenaan, untuk menang, ia masih memerlukan di antara 35-40 peratus sokongan komuniti lain. Umumnya, 89 kerusi (40 peratus) mempunyai pengundi Cina di atas 30 peratus.

Ia juga sebagai nota atau peringatan penting kepada mereka yang begitu obses dengan trend mengundi masyarakat Cina dan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada kerusi-kerusi yang mana jumlah pengundi Tionghua melebihi 30 peratus.

Lagipun, parti yang tidak mendapat sokongan menyeluruh semua kaum, bukan sahaja sukar menang, malah kalaupun berjaya (dengan kelebihan kerusi yang kecil), ia mungkin mudah "diganggu kestabilannya".

Nah, jelas sekali, fungsi dan peranan PAS yang begitu penting tetapi kritikal itu, dengan segala kompleksiti cabarannya, harus diperincikan oleh perwakilan dalam muktamar nanti. Dalam masa sama, isu-isu sampingan dan picisan, yang cuba dipancing oleh propagandis Umno, tidak sepatutnya menghanguskan masa berharga pembahas. Provokasi media talibarut Umno, yang secara tiba-tiba dilihat sarat dengan nada simpati dengan perjuangan Islam, tidak perlu dilayan.

Tanpa meminggirkan kepentingan mengolah dan menggarap "isu-isu sensitif Melayu" dengan penuh hikmah dan bijaksana, serta memandang serius dakyah-fitnah Umno, yang bertujuan membakar sentimen perkauman, saya yakin PAS sudah cukup dewasa dan matang berdepan perangkap seteru politiknya itu. Masakan dalam kesempatan di muktamar yang penuh bermakna dan strategik itu, perwakilan dapat dipengaruhi jarum-jarum halus sehingga "bersilat lidah sesama sendiri".

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, hatta ketika parti berdepan "sedikit kocakan dalaman", saya perhatikan muktamar tetap berjalan secara teratur dan penuh adab. Ada kalanya timbul perdebatan agak panas, namun apabila kepemimpinan parti, terutama Presiden, membuat ucapan penggulungan dan memberikan respons terhadap persoalan yang dibangkitkan, ia diterima baik para perwakilan dan ahli-ahli PAS seluruhnya.

"Fokus perbincangan mesti ditumpu kepada strategi PAS untuk menang dalam PRU13 dan persiapan parti bersama Pakatan untuk mengisi kemenangan," tegas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali. Katanya, perbincangan secara serius bagi mengisi kemenangan, bukanlah terlalu awal bagi PAS dan Pakatan kerana kepada BN, PRU13 merupakan pilihan raya yang akan menentukan hidup mati parti itu sendiri. Ini bermakna muktamar kali ini bukan lagi sekadar membincangkan strategi untuk mencapai kemenangan.

Dalam nada sedikit berbeda, tetapi dengan penekanan sama kepada perwakilan muktamar, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam interbiu khas bersama Harakah, 13 Nov lalu, mengingatkan: "Kita tidak boleh menganggap mudah untuk ke Putrajaya kerana untuk ke Putrajaya bukan sahaja dengan slogan atau semangat yang berkobar-kobar pada zahirnya. Tetapi, mestilah dengan kegigihan jihad, pengorbanan dan keikhlasan kita dalam menjalankan kerja yang baik dan strategi yang baik. Ini sangat penting, sebab itu saya tidak mahu ahli-ahli PAS ini berdegar sahaja, bercakap sahaja atau berslogan sahaja."


II. Malang berganda keluarga Cikgu Bakar, Ustaz Nazri

Agak lama tidak mendengar khabar lebih sepuluh keluarga tahanan ISA di Tawau selepas mengunjungi mereka 25 April lalu, sehinggalah SMS Syukri Razab, Penyelaras Suaram, yang juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI), mengejutkan saya.
 
 
Dalam tempoh sebulan ini, saya lebih tertumpu untuk mencari dana bagi membantu keluarga besar bekas tahanan ISA di Sandakan. Selepas suaminya dibebaskan dari Kamunting empat tahun lalu, Norhatta dan tujuh anaknya masih perlu perhatian, apatah lagi mereka kembali terpisah apabila Jamal dipenjarakan di Filipina.

Alhamdulilah, sumbangan Harakah dapat membawa mereka menemui orang tersayang di Manila. Isteri dan anak-anak Jamal dijangka pulang ke Sandakan hujung November ini.

Sebenarnya Syukri ingin memaklumkan kepada saya, tahanan ISA, Bakar Baba, masih dikurung di Kemta, telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai guru di Sekolah Menengan Kebangsaan Umas-Umas, Tawau, berkuatkuasa 2 Mei lalu.

Ekoran itu, keluarga Cikgu Bakar hilang sumber pendapatan. Lebih parah apabila pinjaman rumah yang didiami keluarga berkenaan sudah tertunggak memasuki bulan kelima, dengan bayaran bulanan RM598. Seramai lima anaknya masih bersekolah. Isterinya, Zoharna Abd Razak tidak bekerja.

Saya segera menghubungi Yang Dipertua PAS Tawau, Muhamad Husain. Sebulan lalu, ketika mengunjungi Pejabat Harakah sebulan lalu, bersama Mohd Aminuddin Aling, Pesuruhjaya PAS Sabah dan Setiausaha Perhubungan, Ustaz Awang Laiman Ikin, beliau sempat memberitahu saya, dua tahanan ISA dibuang kerja.

Mungkin disebabkan perbincangan kami lebih tertumpu isu lain -- sekitar perkembangan terbaru politik Sabah selepas penyertaan beberapa ahli Parlimen dan pemimpin kanan BN Negeri bersama Pakatan Rakyat -- saya teralpa untuk bertanyakan lebih lanjut hal ISA.

Muhamad Husain kemudiannya berjanji cuba menghantar salinan surat tindakan tatatertib itu melalui faksimili. Bagaimanapun, pagi 13 Nov lalu, dalam perjalanan dari Nilai ke Kedah, dan seterusnya ke Kelantan bagi mengikuti muktamar PAS, beliau menelefon saya, untuk bertemu di Harakah, bagi menyerahkan surat berkenaan.

Sepintas lalu, melalui surat Dato' Dr Rosli Mohamed, Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, saya tertarik dengan halaman kedua, yang memutuskan bahawa Cikgu Bakar, 36 tahun, yang ditahan ISA, sejak 14 November 2011 "telah melanggar Peraturan 4(1) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di mana seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberi taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan".

Cikgu Bakar didapati bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja berkuatkuasa serta-merta pada 2 Mei 2012.

Rupanya, seorang lagi mangsa ISA, Ustaz Mohd Nazri Dollah, 37, yang ditahan kali kedua pada 6 Januari 2012 turut dikenakan tindakan tatatertib. Guru agama Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Tawau ini, melalui mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran pada 12 Jun 2012, telah dikenakan perintah gantung kerja berkuatkuasa mulai tarikh ditangkap "tanpa dibayar sebarang emolumen dalam tempoh penggantungan kerja itu".

Saya terus menghubungi isteri Ustaz Nazri, Normahal @ Zainab. Beliau yang juga mempunyai lima anak memberitahu, tiada makluman rasmi penggantungan kerja suaminya sehinggalah didapati gaji Ustaz Nazri tidak dibayar seperti biasa pada bulan Julai melalui akaun bank.

Pengetua sekolah hanya menyerahkan surat gantung kerja itu selepas Zainab berjumpanya untuk mendapat jawapan. Sudah pasti Ustaz Nazri sendiri, yang dikurung di Taiping, tidak menerima surat ditandatangani Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, bertarikh 25 Jun itu.

Semasa di Tawau lebih enam bulan lalu, saya dan isteri sempat bertanya khabar keluarga Cikgu Bakar dan Ustaz Nazri. Kami juga singgah seketika di rumah Zainab yang cukup sederhana. Penderitaan mereka kini bertindan-tindih.

Ya, kezaliman di atas kezaliman. ISA yang tidak pernah membuktikan kesalahan seseorang masih belum dikuburkan. Kalau dahulu, jarang sekali tahanan ISA digantung kerja, apatah lagi dibuang kerja, kini, azab mereka lebih pedih dan keluarga tidak berdosa terpaksa menanggungnya.


Itu belum dikira prosedur penggantungan atau pembuangan kerja tahanan ISA, yang langsung tidak memberi ruang pembelaan diri. Bayangkan, isteri masing-masing langsung tidak dimaklumkan tentang tindakan disiplin itu, apatah lagi suami terseksa, yang jauh melangkaui Laut Cina Selatan.


Semua maklum, Muktamar Tahunan PAS Ke-58, di Kota Bharu, bermula 16 November ini adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. Apa pun usah lupa, kita juga diperingatkan lebih setahun lalu, 3-5 Jun 2011, di Kuala Lumpur, bahawa perhimpunan terbesar aktivis parti Islam pada tahun itu juga merupakan muktamar terakhir sebelum bertarung di gelanggang siasah paling sengit pernah disaksikan rakyat Malaysia.


Bagaimanapun, Parlimen akan dibubarkan secara automatik pada 24 April 2013 dan tiada teka-teki lagi selepas itu. Saya membangkitkan hal ini sekadar menunjukkan persiapan rapi menghadapi PRU13, sudah cukup lama, sambil mengharap stamina dan komitmen petugas parti tidak mudah luntur meskipun sudah berkali-kali berada dalam "gear lima pada pecutan terakhir".

Sememangnya mood rakyat di seluruh negara untuk melakukan perubahan -- memastikan Putrajaya dibebaskan sepenuhnya daripada cengkaman Umno-BN -- berada pada tahap terbaik. Dan tiada lagi wilayah atau negeri yang boleh dianggap "deposit tetap", meletakkan Najib Razak dalam keadaan gelisah dan gelabah.



Catatan Popular