Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka. Jika kebetulan serasi dengan pelawat terimalah & manafaatkannya.

Selasa, 14 Februari 2012

Beban, Bebal dan Fenomena Hasan Ali

Oleh Hafiz Zainuddin

Walaupun rakyat secara umum sudah makin celik politik, tidak dapat dinafikan, masih ramai lagi yang mengambil sikap berdiam diri.

Ada yang berpendapat, sekiranya banyak kerusi PAS tumbang pada PRU ke 13 nanti, ia disebabkan oleh Hasan Ali (gambar kanan). Dengan pengalaman sebagai motivator dan mempunyai karakter tersendiri, beliau cukup mudah memaut hati pendengar lebih-lebih lagi di kalangan ibu-ibu dan bapa-bapa. Sedikit sebanyak, kebarangkalian sokongn pengundi juga boleh berubah begitu sahaja. Legasi AKRAB tidak hilang biarpun Hasan Ali terjun ke kancah politik.

Dalam konteks Hasan Ali, isunya bukan apa yang dibawa, tetapi siapa. Contohnya kalau Umi Hafilda yang membawa isu murtad, mungkin orang tidak ambil pusing. Ya. Minda masyarakat kita telah lama dipesongkan.

Saya masih ingat bagaimana pertama kali saya mendengar pidato Hassan Ali ketika ceramah sulung beliau di Dataran Kampung Sungai Tapah, Gugusan Manjoi Ipoh sekitar awal tahun 2000 yang lalu. Dengn gaya, lenggok bahasa dan emosi yang tersusun, cukup saya katakan; pandangan baik saya terhadap UMNO berubah selama-lamanya. Orang mungkin boleh membuat andaian bahawa saya peminat Hasan Ali tapi terpulanglah. Ini pengalaman saya.

Sebab itu saya katakan, Hasan Ali sedang mencetuskan fenomena.

Beliau juga tidak malu untuk menamakan perjuangannya sebagai kuasa ketiga walaupun perkara tersebut telah lama diperkatakan sejak PRU yang lepas.

Apapun pandangan anda, bersikap sinis atau sebaginya. Fenomena Hasan Ali bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Ia tidak sama dengan Ezam Mohd Nor, Zulkifli Nordin (gambar kiri, sebelah kiri), Gobalakrishnan mahupun Ibrahim Ali (gambar kiri, sebelah kanan) yang berpaling dari perjuangan pro-demokrasi dan pro-rakyat.

Kenapa fenomena Hasan Ali? Lihatlah pada roadshow yang diadakan. Hampir semuanya mendapat sambutan. Jauh sekali dengan ceramah Zulkifli Nordin mahupun Ezam yang lebih banyak kerusi dari pendengar. Pengaruh mereka tidak sehebat Hasan Ali dan orang pun tidaklah membenci beliau sepertimana membenci Ibrahim ali.

Natijahnya, sekarang Hasan Ali bebas. Bebas bersuara dalam kerangka ruang demokrasi yang tersedia. Bebas untuk menuntut dan menyatakan pandangan-pandangan beliau yang lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kemaraan Pakatan Rakyat dengan gambaran buruk terhadap akan terhakisnya kedudukan Raja-Raja Melayu, survival umat Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan. Turut diheret adalah PAS sendiri dengan dakwaan bahawa parti itu didominasi oleh pemimpin sekular.

Walau apapun cemuhan dan dakwaan Hasan Ali terhadap Pakatan Rakyat, kesemua tomahan tersebut sama seperti apa yang telah UMNO suarakan sebelum ini.

Dengan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat, Hasan Ali secara tidak langsung menjadi jurukempen bagi Barisan Nasional. Ironinya, ia seperti bertukar shift, beliau kini telah menggalas beban UMNO terhadap kesilapan lampau mereka sepanjang mentadbir kerajaan. Pertukaran shift ini bererti, UMNO boleh menumpukan terhadap kerja-kerja politik mereka yang lain dalam memaut semula hati rakyat.

Mungkin kalangan pimpinan maupun penyokong Pakatan Rakyat memandang sinis Fenomena Hasan Ali ini dan menyifatkannya sebagai "perkara biasa", "gila meroyan" dan sebagainya. Walau bagaimanapun, tanggapan ini mungkin saja suatu kesilapan besar.

Di saat rakyat makin terdedah dengan maklumat penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan pentadbiran Barisan Nasional, Pakatan Rakyat pula telah digoncang dengan dakwaan dan pendedahan negatif pentadbiran dan persefahaman mereka.

Kita tidak berani meletakkan apa-apa konklusi lagi terhadap penilaian rakyat melaikan selepas keputusan pilihanraya diumumkan, akan tetapi Pakatan Rakyat haruslah lebih serius dalam menangani Fenomena Hasan Ali ini.

Hasan Ali, walaupun kita mendakwa beliau sebagai orang yang mempunyai fikiran tipikal, kolot, ia langsung tidak memberi impak terhadap pandangan masyarakat yang juga masih tipikal. Inilah bahayanya. Mungkin, kuasa ketiga acuan Hasan Ali akan menambah bilangan undi rosak mahupun mengurangkan peratusan yang keluar mengundi. Apakah itu yang kita mahu?

*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis
MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Catatan Popular