Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka. Jika kebetulan serasi dengan pelawat terimalah & manafaatkannya.

Isnin, 12 Disember 2011

Politik baru – mengertikan kematangan

Oleh Anuar Mohd Nor

Zaman sudah berubah. Masa sudah berdetik jauh dengan kemodenan yang semakin hari semakin mengejar kita – tidak lagi kita mengejar kemodenan. Kemodenan mensyaratkan kita berlari sealiran dengan kemajuan. Zaman kemodenan dan kemajuan ini lah yang sebenarnya mengajak kita berfikir dan mencabar kehidupan kita. Apa pun dalam berhadapan dengan cabaran itu sikap keterlaluan sebenarnya menghancurkan – tidak memberi kesan baik. Oleh sebab itu kesederhanaan memainkan peranan yang penting – berfikir secara waras juga penting – menidakkan yang tidak itu perlu dan memperakui apa yang benar itu – adalah pra syarat kematangan – dalam apa juga bidang dan laluan hidup.

UMNO menganjurkan kematangan berpolitik – AUKU dalam Perkara 15 yang mahu dimansuhkan juga memperakui kematangan mahasiswa untuk memilih – sama ada mahu berpolitik atau mahu belajar-bukan desakan supaya mereka terus masuk politik. Menganjurkan transformasi politik dalam UMNO juga adalah saluran kematangan yang perlu kita lalui. Memansuhkan Akta ISA dan menggantikannya dengan akta yang lebih tersusun dan lengkap adalah satu bentuk memotretkematangan politik. Perdebatan adalah sesuatu yang jelas mencerna kematangan minda – dalam konteks yang separa bukan dengan cara yang subversif – nakal dan mempunyai unsur-unsur negatif dalam berhujah. Kematangan ini adalah dituntut.

Saya sedar semakin bermulalah masalah yang akan ada. Apabila perdebatan yang sepatutnya mencabar intelektualisme seseorang dalam berhujah demi mencari kebenaran di salut dengan cara negativisme. Mencari kebenaran dan berhujah dengan baik menjadikan kita DIPERCAYAI – BUKAN DIGEMARI dan sekadar BERSERONOK. Keperluan kematangan ini perlu ada untuk kita bekalkan kelak kepada warisan akan datang. Oleh itu unjuran kejayaan sebenarnya adalah menyalurkan apa yang kita klasifikasi sebagai baik dan bernas untuk mereka sedar dan mengambil tindakan. Kita tidak perlu melakukan tindakan ekstrem – melatah dan menggunakan teknik yang berabad lalu – yang telah dan pernah digunakan. Saya sudah meniti masa dan sudah meniti kematangan.

Dalam hal ini timbul isu Amin Iskandar membuat laporan terhadap www.papagomo.com. Isu adalah kerana Amin Iskandar mengkritik Datuk Razali Ibrahim dalam artikel Amin di themalaysianinsider.com - http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article/razali-ibrahim-janganlah-bersikap-seperti-anak-kecil/ pada 25hb Disember 2011.

Saya sebaliknya telah mengkritik Amin Iskandar – mengenai artikel beliau di capaian berikut: http://umno-reform2.com/front/index.php?option=com_content&task=view&id=1275&Itemid=58#JOSC_TOP   yang di tulis pada hari yang sama 25hb Disember 2011 bila Amin Iskandar mengkritik Dato Razali Ibrahim. Dalam artikel itu saya tidak bersetuju dengan Amin Iskandar – dalam isu beliau mengkritik Dato Razali Ibrahim.


Namun yang menulis dengan cara lebih berhemah – mengkritik Amin Iskandar dengan nada mana beliau menulis. Mungkin pengkritik saya tidak mampu membaca sekiranya tulisan itu lebih berhemah dari cara mereka tulis dan berperang. Mungkin tahap persepsi dan tahap pembacaan tidak melayakkan mereka memahami apa yang ditulis.

Saya tidak mahu mengambil jalan yang membelakangkan nilai kemurnian penulisan – mengeroyok makna perang psikologi dan perang siber, malah tidak mahu menyiat makna media baru dalam berhujah dan mematikan hujah. Saya juga tidak mahu menyiat makna kebebasan bersuara dan hak bersuara dengan melupuskan hak kemanusiaan orang lain. Penilaian bukan datang dari kita – penilaian datang dari rakyat dan keangkuhan selalu menjauhkan mereka dari kita.

Hujah adalah dengan kesungguhan dan dengan hasrat menegakkan kebenaran – menjajah minda agar apa yang disarankan – idealisme yang mahu di bentuk di terima oleh mereka – rakyat Malaysia.

Kita tidak mahu kelak nanti apa yang kita tulis – cara yang kita lakukan menjadi warisan buruk yang di lihat oleh generasi kita akan datang. Belajar dari pengalaman dan bukan mengambil pengalaman buruk itu sebagai idola dan metodologi kita. Hari ini mungkin kita boleh mendabik dada tetapi penilaiannya bukan setakat hari ini malah akan menjadi sesuatu yang kekal merempuh masa.

Kematangan bangsa kita akan datang dengan apa yang kita sajikan hari ini. Kepimpinan dan kita sebagai pengamal media baru akan membentuk warisan dan anak-anak kita akan terbentuk dengan apa yang kita suapkan. Seranglah keperibadian, enjut dengan apa juga fitnah atas alasan perang media – perang saraf dan usaha untuk menjana kemenangan, itu pun kalau kita fasih mendefinisikan kemenangan itu – ia mesti berlandaskan integriti dan nilai murni yang telah disarankan oleh agama kita.

Hari ini – dalam menuju dan mengejar kemodenan – kebertanggungjawaban adalah penting. Kita menulis dengan tanggungjawab – tidak menyorok di belakang papan kekunci untuk membentuk kredibiliti. Pembentukan itu akan berjaya sekiranya hujah dibalas hujah yang bernas dan bukan sesat dalam kepompong dan penelitian tersendiri – Anuar Mohd Nor

Ahad, 4 Disember 2011

Tengku Razaleigh Kalau Pun Benci Tetapi Jangan Dilupakan

Oleh Mohd Sayuti Omar

SEMASA menyampaikan ucapaan dasarnya Haji Najib Razak memberi pujian dan sanjungan khas kepada para pejuang Umno terdahu baik yang masih hidup atau yang sudah mati. Beliau telah meminta para perwakilan bangkit untuk memberi penghormatan (standing owation) itu dengan tepukan bergemuruh. Tentunya tindakan Najib itu satu tindakan terpuji kerana mengenang jasa dan juga bakti para perjuang Umno terdahulu.

Satu persatu nama-nama tokoh disebut dengan iringin tepukan bergemuruh perwakilan sambil berdiri. Nama utama yang tersemak dalam barisan ucapan Najib ialah Mahathir Mohahmad kemudian Abdullah Badawi dan diikuti Musa Hitam serta tidak terlupa Sakaran Dandai. Mereka semua Najib gelarkan sebagai kesastria dan negarawan. (Tidak pula saya pastikan apakah Taib Mahmud hadir di perhimpunan itu tetapi jelas namanya tidak termasuk dalam hulubang balang negara. Kenapa?).

Selepas itu Najib juga membilang nama-nama lain yang sudah tidak ada - kembali ke ramlatullah bermula dengan Onn Jaaffar, Tunku Abdul Rahman, ayahnya Razak Hussein, bapa saudaranya Hussein Onn, Dr Ismail dan Tun Ghafar Baba.

Saya yakin seramai 2,500 perwakilan Umno berderau darah mereka dan dan meriding bulu mereka apabila nama-nama agung itu disebut. Tentu juga ada yang menitiskan air mata dan sebab dada. Begitulah yang kita mahu dari setiap orang pengikut kepada satu perjuangan, tidak mudah melupai dan tetap mengenangkan jasa pemimpin terdahulu dan orang yang berjasa kepada parti.

Cuma jahil sedikit bagi Najib para pejuang yang telah pergi itu hanya diberikan kalungan sanjungan dan tepukan tetapi tidak dihadiahkan al Fatihah. Walahl saat sesetengah pemimpin yang sudah pergi dan kini bersemadi di alam barzakh itu mereka perlu diberikan al Fatihah dan bukannya tepukan bergemuruh atau sanjungan melangit.

Namun dalam ketinggian daya kehormatan Najib itu saya merasakan ada sesuatu yang kurang lengkap dan mencatatkan standing owation yang dilakukan itu apabila nama seorang lagi yang sepatutnya juga dimasukan dalam barisan senarai orang berjasa dan bersifat negarawan tetapi tidak disebut sama. Orang yang saya maksudkan itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Kenapa Najib mencicirkan Tengku Razaleigh? Kalaupun benci tetapi Najib tidak seharusnya melupai nama anak raja berjiwa rakyat itu yang jasa dan budinya kepada Umno lebih tinggi dari sesetengah nama yang disanjung itu.

Sekali lagi kenapa Najib lupa? Apakah Najib jahil mengenai jasa dan budi serta pengorbanan besar Tengku Razaleigh Hamzah terhadap Umno. Atau pun Najib sengaja tidak mahu menyebut kerana beliau dikejar bayang-bayang sendiri, bimbang takut Tengku Razaleigh akan mencabarnya tahun depan. Begitukah? Sebenarnya gelanggang perang belum bermula Najib tidak perlu mematahkan senjata lawan.

Apakah sejarah boleh menolak jasa dan pengorbanan Razaleigh kepada Umno. Siapa yang berusaha membina bangunan Umno tempat Najib dan sekalian orang berhimpun hari ini. Bukankah bangunan itu, jawatankuasa pembinaannya diketuai leh Tengku Razaleigh. Apakah ada orang tidak tahu bahawa sebahagian tanah tapak bangunan itu diberikan oleh Tengku Razaleigh. Dan apakah jasa dan budi memberi tanah dan membangun bangunan itu tidak wajar dikenang?

Begitu juga dengan syarikat GLC Petronas bukankah pengerusi eksekutifnya yang pertama dan bertindak sebagai pengasas bersama Tun Razak, Tengku Razaleigh. Entah sudah berapa banyak wang Petronas digunakan oleh Tengku Razaleigh untuk membangunkan negara dan tentu juga membangun dan mengukuhkan kedudukan Umno sehingga mampu beridir sampai ke hujung hayat seperti hari ini.

Banyak kalau hendak disebut pengorban dan jasa-jasa Tengku Razaleig kepada Umno. Pengorbanan paling besar dan dramatik, beliau ialah melawan pentadbiran kuku besi yang diamalkan oleh Mahathir Mohamad. Sejarah penentangan beliau terhadap Mahathir untuk jawatan presiden tahun 1987 menceritakan segala-galanya. Siapakah orang pertama yang berani melawan atau menghalang niat Mahathir untuk menguasai Umno selamanya. Menguasai kekayaan menerusi Umno, kalau bukan Tengku Razaleigh. Beliau menegur dan mengkritik Mahathir atas satu nawaitu untuk menyelamatkan negara dan menjaga maruah Melayu.

Tindakan Tengku Razaleigh semasa itu disokong lebih separuh pemimpin dan menteri ketika itu. Ia termasuk bekas PM Abdullah Badawi dan juga menteri radio tv sekarang ini Rais Yatim. Bagaimana pun sokongan kedua orang itu sekerat jalan saja mereka kembali kepada Umno apabila diberikan sedikit umpan bermatakan joran dan kekal hingga ke hari ini. Saya tidak mahu menamakan atau mengolongkan golongan apa mereka yang mula bersama tetapi berundur di sekerat jalan dalam perjuangan.

Kalau bukan kerana tindakan berani dan insaf Tengku Razaleigh mungkin institusi raja-raja yang menjadi payung dan tunggak Melayu di negara ini sudah lebur disebabkan sikap liberalisme dan anti feudal Mahathir. Sekali lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku di sepanjang 22 tahun Mahathir menjadi PM menceritakan segala-galanya tetapi ada yang meupai kerana ralik mendengar retorik Mahathir atau kerana mendapat sekeping roti.

Selain itu kesetiaan dan pengorbanan besar Tengku Razaleigh ialah sanggup membubarkan Parti Semangat 45. Demi Melayu dan demi surival Umno beliau rela mematikan anaknya sendiri kerana sayang kepada Umno.

Apakah jasa, pengorbanan dan budi Tengku Razaleigh itu tidak layak untuk dikenang? Tidak layak untuk disanjung. Sepanjang sejarah perjuangan dan keberadaanya dalam Umno Tengku Razaeigh tidak pernah menggunakan sejanta haram untuk mencari kemenangan. Beliau tidak menggunakan polis, tentera ataupun melantik mana-mana konsultan dari luar negara menguruskan perlawanannya.

Tengku Razaleigh adalah seorang yang hormat dan mengikut lunas undang-undang. Beliau juga tidak korup dan pernah dibabitkan dalam sebarang skandal. Beliau lebih rela kecewa kerana gagal dalam sesuatu perebutan yang tidak dibantu dengan senjata-senjata haram dan agensi kerajaan. Sikap Tengku Razaleigh juga beliau sedia kecewa daripada melihat rakyat dan Umno itu sendiri kecewa. Itulah seorang yang mengorbankan dirinya untuk sebuah perjuangan dan bangsa.

Pada saya Najib kurang bijak dan kurang cermat apabila beliau tidak membariskan nama Tengku Razaeigh dalam senarai tokoh-tokoh yang perlu diberikan tepokan gemuruh. Najib tidak bijak dalam hal ini dan nampak dia sengaja mencicirkan nama Tengku Razaleigh. Kalau Najib tidak alpa pasti markahnya lebih tinggi di mata para penyokong dan pengkagum Tengku Razaleigh. Saya rasa Tengku Razaleigh tidak pun kecewa dengan keadaan itu, air matanya tidak pun menitis barang setengah titik.

Tetapi Najib harus ingat bahawa dalam dewan itu masih ada orang yang setia dengan Tengku Razaleigh. Dari 2,500 orang perwakilan itu masih ada para penyokong Tengku Razaleigh. Juga mereka yang mendengar ucapan itu disiarkan secara langsung termasuk juga orang dewasa golongan veteran yang menjadi pengkagum Tengku Razaleigh. Apabila mereka menanti nama hero mereka tidak dinobatkan, tentu mereka akan kecewa. Dan kekecewaan atau keterkilan orang lama menjadi doa yang boleh menyeksakan Najib.

Hendaknya didalam ucapan penggulungan nanti Najib akan meralat kealpaan beliau terhadap Tengku Razaleigh ini. Bukan untuk Tengku Razaleigh tetapi demi mengaman hati dan perasaan bekas Menteri Kewangan itu baik di dalam dewan Merdeka PWTC dan juga puluhan ribuan yang berada di luar termasuk juga anak-anak muda yang sudah mulai mengenali siapa Tengku Razaleigh dan mengkagumi integaritinya. [wm.kl.12:01 t/hari 02/11/11]

Sabtu, 3 Disember 2011

Harapan baru dalam struktur politik lama

Oleh Ng Eng Kiat
"Hari ini, melalui kertas undi, anda telah mendengar suara hati anda dengan sepenuh tekad bahawa masa untuk perubahan sudah tiba.

Rakyat Malaysia telah bersuara. Ini adalah detik bersejarah, yang luar biasa dalam sejarah negara kita.

Hari ini lebaran baru telah dibuka. Rakyat telah mengundi dengan berani dan terbuka untuk melangkah ke satu era di mana kerajaan yang dibentuk mestilah bersifat terbuka dan mengiktiraf semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, dan budaya adalah satu rakyat yang bersatu....

Inilah harapan baru untuk Malaysia
!"

Demikianlah perutusan Anwar Ibrahim, (gambar kanan) pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat, pada 9 Mac 2008, sehari selepas rakyat menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen dan menghilangkan kuasa memerintah di empat lagi negeri di Semenanjung Malaysia.

Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 sememangnya memberi harapan baru kerana munculnya sebuah gabungan baru yang diketuai Anwar sendiri. Kemampuan Anwar menyatukan semula PAS dan DAP mewakili penentangan yang bersepadu melawan kekuasaan UMNO-Barisan Nasional.

Kalau dahulu taktik pecah dan perintah sudah cukup untuk menghilangkan kepercayaan pengundi bukan-Islam terhadap PAS dan menyebabkan pengundi Melayu sangsi terhadap DAP, keputusan PRU pada tahun 2008 menunjukkan bahawa politik perkauman boleh dilawan dengan politik baru yang berasaskan keadilan sosial, demokrasi, dan hak asasi manusia.

PKR dianggap sebagai parti yang memperlihatkan lebih majmuk dan pelbagai, berbanding parti-parti politik berasaskan kaum dalam Barisan Nasional. Ditambah kebolehan PKR memujuk kedua-dua kelompok pengundi yang terasing daripada PAS dan DAP, harapan baru supaya kekuasaan mutlak Barisan Nasional dihentikan kelihatan muncul.

Bagi UMNO, penyebaran harapan untuk masyarakat Malaysia yang bebas daripada kongkongan pemikiran perkauman adalah ancaman terbesar kepada formula pecah dan perintah yang diwarisi zaman kolonial British. Berpuluh-piluh tahun formula ini diterima pakai sebagai suatu kelumrahan yang semulajadi dan tidak boleh dipersoalkan, kini dicabar kesedaran baru yang semakin berkembang.

Nasionalisme etnik hanya alasan untuk segolongan elit kekal berkuasa mutlak buat selama-lamanya. Maka, jelas bahawa harapan baru yang datang bersama politik baru pasca 2008 membentuk antitesis kepada ideologi "Melayu untuk Melayu, Cina untuk Cina, dan India untuk India" dalam kontrak sosial Barisan Nasional.

Namun, menjelang Pilihan Raya ke-13, adakah rakyat masih mengingati harapan ini? Lebih penting lagi, adakah PKR, PAS dan DAP masih melanggani pendekatan ini?

Dakwaan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin (gambar kanan) di Perhimpunan Agung UMNO hari kelmarin walaupun nampak lucu dan tidak logik sesungguhnya perlu diambil serius. Katanya, ada pihak yang 100 kali ganda lebih rasis daripada UMNO. Kenyataan yang bodoh sebodoh-bodohnya pun kadang-kala boleh mencetuskan peluang untuk kita merenung semula keadaan gerakan anti-Barisan Nasional.

Di Kongres PKR baru-baru ini, Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin mencabar UMNO untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang seseorang berbangsa Melayu. Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan bahawa cabaran itu sekadar cabaran kepada UMNO dan Pakatan Rakyat tidak akan menyokong sebarang pindaan dan mahu supaya kekal peruntukan Perlembagaan sedia ada. Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula memberi pendapat bahawa jawatan PM disandang orang Melayu adalah realitik politik dan tidak dipersoalkan.

Buat sejenak, saya terkilan dengan "cabaran" yang dilontar Shamsul (gambar kiri), tetapi saya terpaksa menerima hakikat bahawa setelah 48 tahun negara Malaysia dibentuk, rakyatnya masih terpisah oleh wacana politik yang terikat dengan struktur-struktur kuasa lama. Kejayaan British dan kemudiannya UMNO-Barisan Nasional memisahkan rakyat melalui identiti etnik masing-masing telah menghasilkan "realiti
politik" hari ini pada tahun 2011, iaitu orang Malaysia tidak mungkin menerima seorang Perdana Menteri bukan berbangsa Melayu.

Realiti ini adalah hasil projek bina negara UMNO-Barisan Nasional. Pembinaan bangsa Malaysia tidak pernah bermula dan gagal begitu sahaja. Merenung kembali perutusan Anwar 9 Mac 2008, di manakah harapan baru kita? Adakah cabaran Shamsul Iskandar kepada UMNO itu mewakili harapan baru rakyat? Kalau UMNO bicara pasal Melayu, Melayu dan Melayu, Shamsul dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain perlu bicara pasal Malaysia, Malaysia, dan Malaysia. Bukankah demikian harapan rakyat yang mahukan perubahan?

Sekiranya perubahan datang, realiti politik tanahair turut akan berubah. Pemimpin Pakatan Rakyat perlu beranikan diri untuk memimpin perubahan ini secara progresif dan bukan lagi terjerumus dalam realiti politik perkauman UMNO yang kolot.

Struktur kuasa lama yang berasaskan kaum, kabel kroni, dan kezaliman perlu digantikan dengan identiti bangsa Malaysia yang baru, iaitu tiada lagi orang Malaysia yang perlu dipinggirkan kerana identiti etniknya bukan majoriti. Perubahan ini boleh direalisasikan dan Malaysia baru boleh dibina sekiranya kita membebaskan rantai yang mengikat wacana kita kepada struktur kuasa lama dan percaya realiti politik yang baru boleh dilakarkan.
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Petikan : http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12504

Jumaat, 2 Disember 2011

Satu Malaysia dalam konteks realiti sosial dan politik

Oleh Dr Kamarudin Musa    

Pendahuluan

One Malaysia – satu Malaysia: satu metafora di antara beberapa metafora dalam sejarah penggantian kepimpinan utama negara, maknanya cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi salah satu “artifak” sejarah, sebagaimana lenyapnya “kepimpinan melalui teladan”, “bersih, cekap dan amanah”. Persoalannya, apakah yang dikatakan satu Malaysia? Apakah falsafah di sebalik gagasan (?) satu Malaysia? Mencari Damai Abadi.

Nampaknya, setelah sekian lama gagasan ini dikemukakan, disebalik gembar gembur media, namun impaknya tidaklah begitu mendasar dalam konteks pemikiran sosial dan politik di kalangan rakyat Malaysia, khususnya sepanjang yang berkaitan dengan falsafah politik pembentukan negara bangsa. Ini bererti gagasan Satu Malaysia tidak begitu mekar dalam penterjemahannya, terutama dalam hal-hal yang bersabit dengan perhubungan sosial dan hala cara tingkah laku politik.

Apa yang nyata, fenomena Satu Malaysia tidak diterjemahkan secara konkrit dalam membentuk pola perhubungan pentafsiran terhadap realiti amalan demokrasi, terutamanya sepanjang yang berkaitan dengan perbezaan tafsiran terhadap pendekatan politik serta idealisme politik, juga sepanjang yang berkaitan dengan dengan pendefinisian amalan kebebasan media serta layanan dalam pemberitaan media. Maknanya, apabila digagaskan unsur ke arah realiti penyatuan nilai dan norma, ia tidak seharusnya dibentuk dalam lingkungan retorik bahasa semata-mata, sebaliknya ia seharusnya mempunyai kesahan dalam konteks kesesuaian idea dengan amalan praktis.

Permasalahan Idea Satu Malaysia


Hakikatnya gagasan Satu Malaysia, sehingga kini tidak memencarkan nilai dan norma yang jelas, sama ada dalam bentuk perlakuan atau pun falsafah perhubungan sosial, apa lagi dalam konteks kerangka politik demokrasi. Terdapat unsur-unsur kecelaruan nyata dalam menentukan piawai ke arah peneguhan Satu Malaysia, Cuma digambarkan melalui Kedai Satu Malaysia, Klinik Satu Malaysia, Larian Satu Malaysia dan juga Baju Satu Malaysia, namun persoalan dalam konteks membina kerangka praktis nilai dan norma dalam ertikata sebagai unsur pengikat kesatuan bangsa itu, sebenarnya tidak begitu kukuh, juga tidak begitu kejap bertunjang. Hal ini begitu jelas, apabila wujudnya unsur-unsur pencabar, sebagaimana yang ditampilkan dalam perjuangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), sehingga menjadikan gagasan Satu Malaysia menjadi lebih kelam dan kusut.

Perdana Menteri dalam kenyataannya menjelaskan bahawa satu Malaysia merujuk kepada “rakyat Malaysia berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”. Berdasarkan frasa ayat ini, maka terdapat dua unsur utama yang menjadi pengukur kepada faktor kritikal kejayaan dalam menentukan deskripsi Satu Malaysia, iaitu;

Pembentukan pemikiran dan tindakan yang berteraskan kepada konteks identiti bangsa Malaysia.
Perkiraan segala bentuk tindakan seharusnya didasarkan kepada kehendak semua kumpulan etnik yang wujud dalam Malaysia.

Persoalan yang wujud dalam memperjelaskan kedua-dua unsur ini adalah berkaitan dua konteks pembolehubah yang agak abstrak sifatnya, iaitu “bangsa Malaysia” dan “kehendak kesemua kumpulan etnik”. Hakikat yang dikaitkan dengan identiti bangsa Malaysia, menimbulkan keraguan dalam konteks asas piawai yang mencirikan bangsa itu dan juga berhubung kait dengan sifat pengenalan bangsa itu yang dapat menimbulkan satu pengiktirafan dalam aspek “rupa bentuknya”. Hal ini akan mempengaruhi dimensi berfikir dan pola tingkah laku di kalangan masyarakat.
Apa yang jelas, gagasan Satu Malaysia tidak menggariskan asas falsafah kepada pembentukan bangsa Malaysia, khususnya dalam aspek sistem dan struktur sosial yang menjadi lingkaran kehidupan bermasyarakat, terutama berkaitan dengan penegasan terhadap konsepsi kebangsaan. Sebaliknya apa yang jelas berlaku, jurang kehidupan sosial dan amalan sosial yang dipraktiskan tidak mengarah kepada kesatuan bangsa Malaysia. Kekuatan tradisi, kepercayaan, norma, pegangan dan prinsip masih belum dapat dirombak untuk disepadukan dalam konteks realiti bangsa Malaysia.
Titik persamaan dalam kerangka bangsa Malaysia tidak sepenuhnya dicerakinkan dengan jelas, sebagai satu piawai dalam falsafah bangsa. Kemerdekaan 1957 sehinggalah kepada pengisian kemerdekaan dan kini dikatakan era pengindustrian bangsa serta merentasi dinamik globalisasi, tidak menampakkan dengan jelas akan ciri, rupa bentuk dan pemikiran bangsa Malaysia, hakikatnya realiti asas perkauman (teras kewujudan parti-parti politik dalam Barisan Nasional, memperlihatkan pemisahan berasaskan kaum) masih mendefinisi kitaran sosial.

Hal agak jelas dalam beberapa kes, berkaitan dengan kepimpinan perkhidmatan awam dan penguasaan dalam syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan masih didominasi oleh kaum tertentu, ini merupakan penghalang utama dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia, disebabkan wujudnya ketidakseimbangan dalam pertautan sosial dan sistem ekonomi, bukan sahaja dalam konteks antara etnik, tetapi juga antara wilayah, menampakkan tumpuan yang berbeza dalam pembangunan fizikal dan pengagihan sumber-sumkber ekonomi.


Jurang ekonomi juga wujud dalam realiti kehidupan masayarakat bukan sahaja di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan-kawasan bandar dan perbandaran. Kewujudan dualisme pendidikan juga merupakan penghalang kepada pembinaan nilai dan pengukuhan kepercayaan terhadap bangsa Malaysia, apa lagi untuk membentuk penyatuan pemikiran dalam Satu Malaysia. Soalnya, nilai dan tradisi serta matlamat kehidupan yang berbeza, sebenarnya menjadikan jurang sosial agak sukar untuk bertaut, oleh itu, pemikiran ke arah pembinaan bangsa Malaysia itu tidak memberikan apa-apa makna. Tambahan lagi, perjuangan berasaskan kepentingan bangsa itu masih menjadi paksi utama dalam senario politik Malaysia, hakikat ini tidak ternafi dalam perjuangan UMNO itu sendiri.
Aspek lain yang menjadi intipati kepada gagasan Satu Malaysia sebagaimana dikemukakan oleh Perdana Menteri adalah bersabit dengan, “segala bentuk tindakan seharusnya didasarkan kepada kehendak semua kumpulan etnik”. Permasalahan yang wujud tentunya berkisar di sekitar pendefinisian terhadap, “kehendak semua kumpulan etnik”. Setiap etnik tentunya mempunyai kehendak dan tuntutan yang berbeza, sesuai dengan kepentingan sesuatu etnik itu, berasaskan nilai, kepercayaan, ideologi, pemikiran, tradisi, pegangan dan falsafah hidup yang melingkari persepsi sosio budaya.
Ini bermakna, dalam usaha merealisasi konsepsi Satu Malaysia, setiap etnik seharusnya dapat membentuk tingkah laku sosial dan politik sejajar dengan kepentingan sesuatu etnik itu, berasaskan nilai, kepercayaan, ideologi, pemikiran, tradisi, pegangan dan falsafah hidup, maknanya membentuk realiti tingkah laku berdasarkan keperluan dalam kepelbagaian kehendak. Permasalahan yang wujud tentunya adalah untuk menentukan aras serta tahap dan bentuk tingkah laku yang boleh dijadikan pengukur kepada kesesuaian kehendak bagi setiap etnik, agar ia dapat membentuk pengiktirafan terhadap kepentingan bersama.

Sekiranya ini gagal dilakukan, maka persoalan yang dikaitkan dengan “kehendak semua kumpulan etnik”, hanyalah sebagai satu lontaran idea yang tidak diasaskan kepada pendalaman pemikiran. Persoalan lain yang dikaitkan dengan “kehendak semua kumpulan etnik” ialah dalam menentukan batas sempadan untuk memenuhi kehendak semua kumpulan etnik, isu-isu yang berkaitan dengan nilai merupakan antara isu yang akan menjadi pencetus kekangan dalam menentukan tindakan untuk memenuhi “kehendak semua kumpulan etnik”.

Oleh yang demikian, persoalan yang berkaitan dengan “kehendak semua etnik”, merupakan sesuatu yang agak “mujarab” dan teoritis, selagi tidak digarispandukan dengan jelas berasaskan kepada satu standard tingkah laku yang dapat membentuk nilai sosial yang bersifat nasional bagi mentafsirkan “nilai kehendak bersama”. Perkara ini hakikatnya telah cuba diusahakan melalui deklarasi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang antara lain menegaskan, bahawa kebudayaan kebangsaan itu berteraskan kepada tiga perkara, iaitu;

Islam menjadi teras kepada pembentukan kebudayaan kebangsaan.
Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.
Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan satu kerangka dalam membentuk penerimaan nilai bersama, juga pada masa yang sama membina identiti negara. Sekiranya asas ini yang digunakan, maka “kehendak semua kumpulan etnik” dalam erti kata memenuhi kehendak samada tersirat atau tersurat, juga menjadi kontroversial, memandangkan ia akan menimbulkan persoalan prinsip dalam nilai yang menjadi pentafsir kepada kewujudan etnik itu sendiri.

Tambahan pula, antara etnik mempunyai aspirasi, ideologi, fahaman dan pendirian politik yang tersediri, khususnya sepanjang yang berhubung dengan perjuangan kepentingan “survival” setiap etnik. Lantaran itu, mengiktiraf “kehendak semua kumpulan etnik” akan menimbulkan realiti kompromi politik yang mengakibatkan antara etnik akan kehilangan “hak” dan terpaksa menerima dan melepaskan kepentingan sendiri dan mengesahkan kepentingan pihak lain sebagai satu kepentingan bersama walau pun bertentangan dengan pendirian politik. Hal ini telah berlaku dalam konteks Perlembagaan 1948, Perlembagaan 1957 dan Pembentukan Malaysia 1963.

Gagasan lain yang disuarakan Perdana Menteri, “Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilakukan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.”

Berdasarkan komitmen yang dijelaskan, satu Malaysia – membawa makna segala tindakan dalam konteks keputusan-keputusan politik, sosial dan ekonomi haruslah mengambil kira hak dan keuntungan bersama merentasi dan menerobos sempadan perkauman, pada masa yang sama menghapuskan segala bentuk diskriminasi dalam konteks penyampaian bantuan dan pertolongan dalam mempertingkat kedudukan sosio-ekonomi Bumiputera. Namun demikian, penerjemahan terhadap pemikiran ini tidak direalisasikan secara berprinsip.

Amalan pemberian projek niaga dan projek-projek kepentingan kerajaan tidak diagih secara sepadan, merentasi batasan politik, konsep bumiputera lebih menjurus kepada golongan yang mempunyai aliran ideologi selaras dengan pemerintah, dengan itu, pemikiran ini tidak benar-benar mempunyai impak ke arah membangun bumiputera secara menyeluruh sebagaimana yang dihasratkan “menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilakukan dengan cara yang adil”.

Ini bererti, pendefinisian bumiputera hanya terbatas kepada lingkungan mereka yang berada dalam lingkaran kuasa semata-mata, maka soal keadilan, hakikatnya tidak mempunyai justifikasi yang mantap dalam menentukan pertimbangan mendapat faedah daripada pihak pemerintah. Hakikatnya, projek yang dikaitkan dengan Projek Fidlot Kebangsaan (NFC), bernilai RM 250 juta, antara contoh projek yang dikaitkan dengan figura yang berada dalam lingkungan kuasa.

Penutup


Tegasnya satu Malaysia, seolah-olah penegasan untuk mengembalikan sesuatu hak kepada mereka yang berhak berdasarkan hak sebenar, menurut apa yang telah ditentukan dan yang akan ditentukan. Ini bererti, satu Malaysia – memperlihatkan satu pengesahan berkaitan dengan kegagalan dasar-dasar dan tindakan politik kerajaan selama hampir lebih lima puluh empat (54) tahun, dalam membina kesatuan dan kesepaduan bangsa, khususnya dalam konteks pola perhubungan antara etnik dan pembahagian kekayaan negara.

Apa yang ketara, pemikiran yang berkait dengan perpaduan serta keutuhan bangsa dan negara, mempunyai persepsi dimensi yang amat terbatas. Konteks perpaduan dan integrasi, sebagaimana yang digambarkan dalam idea Satu Malaysia, lebih kepada perkaitan perhubungan etnik, tanpa adanya pemikiran konkrit ke arah metafsirkan agenda dengan lebih luas, berasaskan tindakan pemerintah itu sendiri dalam berperanan menghidup dan mempraktiskan intipati perpaduan itu sendiri.

Politik Machiavelli, pembesaran dan penonjolan politik prasangka perkauman, khususnya dikalangan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan pro pemerintah, pendiskriminasian kerajaan negeri yang berlainan ideologi politik, ketidakseimbangan layanan dalam konteks pembangunan infstruktur antara wilayah, sekatan terhadap hak-hak sebagaimana yang dilembagakan dalam Perlembagaan, manipulasi jentera kerajaan untuk kepentingan politik pihak berkuasa, ketidakseimbangan pembanungan ekonomi dan isu-isu yang berkaitan dengan royalti minyak, ketidakperihatinan terhadap amalan kebebasan media dan juga politik kronisme, menjadikan Satu Malaysia, sekadar satu gagasan yang tidak mendasari acuan.

Dengan yang demikian, pelaksanaan Satu Malaysia, menuntut kepada perubahan menyeluruh kepada sistem dan proses politik serta tingkah laku pemikiran politik, menjejaki realiti. Memahami akan pola dan perspektif politik dengan menerima akan kehadiran kepelbagaian serta mengiktiraf akan prinsip-prinsip demokrasi secara konkrit, pada masa yang meletakkan dasar-dasar yang dirangka selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kepemimpinan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Khamis, 1 Disember 2011

Mengapa RUU Perhimpunan Aman 2011 harus dibantah?

Oleh Ahmad Fuad Rahmat

"Memberitahu kebenaran kepada pemerintah yang zalim adalah jenis jihad yang terbaik." -Muhammad S.A.W.

Makna dan matlamat demokrasi adalah "Kuasa Rakyat". Media yang bebas, dan jaminan hak asasi untuk bersuara adalah antara unsur-unsur penting untuk membolehkan Rakyat meluah pandangan dan pendapat mereka dalam proses pemerintahan sesuatu kerajaan. Tanpa jaminan-jaminan tersebut, Rakyat tidak boleh dianggap berkuasa. Tanpa jaminan hak asasi, demokrasi tidak bermakna.

Jaminan-jaminan tersebut lebih bernilai jika dilihat dari sudut sistem demokrasi berparlimen. Kerana pilihanraya hanya dikendali sekali setiap empat atau lima tahun, jaminan hak untuk bersuara adalah penting untuk memastikan bahawa kehendak dan isu-isu rakyat diiktiraf pada masa antara pilihanraya.

Kebebasan bersuara merangkumi pelbagai aspek dan jenis. Di antara jenis yang pelbagai itu, kebebasan berhimpun ialah kebebasan bersuara yang paling unik dan mampan. Ia visual dan spatial. Suara massa dipamerkan kepada ruang awam secara jasmani dan langsung terutamanya dalam zaman e-media ini. Jika bilangan persertanya ramai, ia satu cara berhubung dengan kuasa, pemerintah dan masyarakat yang berkesan.

Justeru itu, Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011, yang bertujuan khas untuk mengkongkong hak bersuara dan berhimpun rakyat memang jelas bersifat anti-demokrasi.

Lawyers for Liberty menerangkan rang itu dengan lebih jelas secara berikut:

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman bertujuan untuk melarang, antara lain, demonstrasi jalanan, perhimpunan secara aman di kawasan-kawasan yang dilarang, dan perhimpunan secara aman yang dianjurkan oleh seseorang di bawah umur 21 tahun. Rang Undang-undang juga mengenakan notis 30 hari diberi kepada pihak polis sebelum perhimpunan yang dirancang. Tafsiran "protes jalanan" dalam Rang Undang-Undang itu pun sebenarnya tidak lain daripada perhimpunan aman.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman pada asasnya mencairkan hak untuk berhimpun secara aman kerana ia mengenakan sekatan yang tidak munasabah dan syarat-syarat yang boleh menyebabkan hak untuk berhimpun secara aman kerana ia mengenakan sekatan yang tidak munasabah dan syarat-syarat yang boleh menyebabkan hak untuk berhimpun secara aman tidak boleh dicapai dan oleh itu tidak berperlembagaan.
Rang Undang-Undang ini juga memberi kuasa yang luas kepada pihak polis dalam menangani perhimpunan secara aman di mana seksyen 8 Rang Undang-Undang jelas menyatakan bahawa seorang pegawai polis boleh mengambil "langkah-langkah seperti yang difikirkannya perlu". Seksyen ini agak samar dan terbuka kepada penyalahgunaan.

Satu alasan yang kerap diberi dalam menentang tuntutan hak untuk kebebasan bersuara dan berhimpun ialah seperti berikut, "Kebebasan tidak boleh mutlak dan harus dihadkan. Jikalau tidak masyarakat akan terumbang-ambing akibat pintaan kebebasan dari pelbagai pihak".

Masalah utama alasan itu ialah kebebasan bersuara dan berhimpun bukan sama dengan kebebasan untuk merusuh atau menindas. Hanya rejim yang tidak yakin dengan keadilan dan ketelusan permerintahannya yang gelisah melihat apa jua perhimpunan sebagai ancaman terhadap kestabilan kuasanya.

Dalam demokrasi yang berfungsi, ahli politik bekerja untuk rakyat, bukan rakyat bekerja untuk ahli politik. Ahli politik harus menyediakan, melancarkan dan memudahkan, sebanyak yang boleh dan sebaik mungkin, ruang dan peluang untuk rakyat bersuara.

*Ahmad Fuad Rahmat ialah Felo Penyelidik, Islamic Renaissance Front.
petikan : http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12497

Catatan Popular