Sungguhpun perkara minum beer, TOTO (loteri) mungkin dianggap remeh-temeh, namun isu pengharaman arak dan judi ini mampu mempengaruhi persepsi masyarakat bukan Islam terhadap PAS. Pengamatan ini dikongsi oleh pemerhati politik, Lee Ban Chen, ketika membincang sejauh manakah sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS.
Mengambil contoh isu pengharaman arak dan judi, Lee Ban Chen berkata PAS tetap dengan penampilan imej yang dianggap ekstrem, apabila menjuarai isu sebegini. Malah, sungguhpun "Negara Berkebajikan" diketengahkan, namun tetap dipersoalkan sesetengah pihak bahawa mengapa PAS hanya membangkitkan konsep ini setelah lebih setengah abad? Dan mengapa ditekankan Negara Islam, hukum hudud dan halal-haram pula untuk setengah abad yang lalu, persoal Lee Ban Chen.
Belum meyakini bukan Islam
"Orang sekular di sisi orang Islam, dia rasa dia rendah... kafir. Dia tidak dapat dihormati seperti setaraf. Kalau tanggapan itu tidak dapat diubah, sukar parti (PAS) ini mendapat sokongan yang ikhlas..." kata Lee Ban Chen dalam satu forum berjudul "Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke arah Pertengahan dalam Kemajmukan", semalam.
Forum anjuran Jawatankuasa Hak Civil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (CRC-SCAH) ini membariskan panelis Naib Presiden PAS Husam Musa, Pengarah Eksekutif Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng, selain Lee Ban Chen, dengan Chai Chee Fatt sebagai moderator. Kira-kira 80 orang hadirin dari kaum Melayu dan Cina hadir dalam forum yang diadakan di SCAH itu.
Sebelum ini, ketika mengulas kesudahan Muktamar PAS ke-57 yang berlangsung pada 3-5 Jun 2011, beliau berterus-terang bahawa harapan terhadap PAS tidak boleh melampaui kebolehan PAS sebagai sebuah parti Islam, meskipun beliau sendiri berkongsi kegembiraan dengan kelahiran saf pimpinan baru yang lebih terbuka, inklusif dan progresif, serta berupaya memanfaatkan transformasi politik negara ke arah pertengahan atau kesederhanaan.
Husam: Terdapat 1000 Nizar dalam PAS!
Susulan daripada pandangan Lee Ban Chen, Ketua Eksekutif SCAH Tang Ah Chai, yang melontarkan pandangan dalam sesi soal-jawab, turut meluahkan pandangan bahawa undi Cina terhadap PAS tidak harus ditafsirkan sebagai sokongan terhadap Negara Islam. Bagaimanapun, beliau mengambil contoh bagaimana bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin membuka mata bukan Islam dengan pimpinan kerajaannya - membebaskan komuniti ini dari stereotaip terhadap PAS.
Tang Ah Chai (gambar kanan) berkata, Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat meskipun disenangi komuniti bukan Islam dengan sesetengah kenyataannya, tetapi pemimpin ini kadang-kala turut mengeluarkan kenyataan yang kurang menyelesakan, yang dianggap fundamentalis, konservatif dan diskriminatif terhadap golongan wanita. Beliau seterusnya bertanya, berapakah orang pemimpin dalam PAS yang seumpama Nizar?Sambil berseloka Husam Musa berkata dalam PAS terdapat 1000 orang "Nizar", cuma memerlukan peluang dan platform untuk dibuktikan. Beliau mengambil contoh bagaimana Nizar kehilangan platform untuk perform setelah jawatan Menteri Besar Peraknya dirampas UMNO-BN, lantas merayu agar PAS diberi peluang sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan supaya ada platform untuk perform. Malah, beliau menganggap UMNO-BN memilih untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak kerana khuatir model Perak yang lebih mencerminkan keadaan Malaysia ini menjadi ancaman kepada UMNO-BN.
Husam: PAS berpeluang di Terengganu
Ketika menjawab soalan Tang Ah Chai, sejauh manakah peluang PAS-PR untuk mengambil alih Terengganu, negeri yang pernah ditawan PAS ketika PRU ke-10 pada tahun 1999? Mengambil unjuran beberapa kejadian baru-baru ini, misalnya ceramah politik Pakatan Rakyat di Terengganu, membariskan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang menarik kira-kira 30,000 hadirin, Husam Musa berkata sambutannya agak memberangsangkan.
Husam menambah, seandainya PAS menawan Terengganu, ia bukan sahaja mengambil alih kuasa kerajaan negeri, tetapi turut menyumbang dari segi bilangan kerusi parlimen.
Boleh saya bercakap mandarin 10 tahun akan datang?
Forum yang dijalankan dengan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar amat menarik buat hadirin, khususnya dari masyarakat bukan Islam. Menjawab soalan seorang hadirin, yang bertanya bagaimana untuk menarik lebih bukan Islam/Melayu agar menghadiri forum sedemikian, supaya lebih mengenali PAS, Husam menjawab, "Saya berfikir lain sikit. Saya berfikir adakah peluang saya bercakap mandarin 10 tahun akan datang?"
"Sebelum ini kita diajar dalam pemikiran kita, kalau kita belajar bahasa mandarin bahasa tamil, seakan-akan kita tak setia dengan kemelayuan kita," katanya.
"PAS pada masa yang sama kena ubah cara pemikiran, bukan saja nak tunggu orang Cina dengar kita, tetapi juga untuk mendekati dan memahami falsafah dan budaya kaum yang lain. Lebih cepat PAS melaksanakan ini, lebih cepat PAS diterima di peringkat negara," Husam Musa menggulung ucapannya.
Sementara itu, dalam jawapannya yang ringkas kepada persoalan bagaimana komuniti Cina boleh mengenali PAS, Ooi Heng berkata, akhbar Cina memberi lebih liputan kepada pemimpin DAP, dan sekiranya DAP lebih berbicara mengenai PAS, maka komuniti Cina akan lebih berpeluang mengenali PAS.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Apabila mesej politik yang tepat dapat ditonjolkan melalui sidang Muktamar, tuan rumah yakni PAS bukan sahaja membezakan diri dengan UMNO malahan juga menggerunkan UMNO. Sebab itu sehingga hari ini, bukan sahaja lidah rasmi UMNO - Utusan Malaysia - terus-menerus memberikan laporan berita sebesar liputan muka depan kepada isu yang berkisar sekitar sidang Muktamar dan pemilihan. Pemimpin UMNO bermula dengan Najib, berbaris menunggu giliran menyerang PAS, termasuk "manufacture" isu palsu demi mententeramkan kebimbangan dalam kalangan pimpinan Barisan Nasional (BN) amnya dan UMNO khasnya.
Rata-rata negara dalam dunia moden berbicara kuat mengenai keperluan perubahan dan transformasi. Sebagai kesinambungan laungan kuat zaman reformasi, masyarakat Malaysia pasca 8 Mac 2008 juga menuntut perubahan. Sebab itu Kerajaan BN pimpinan Najib cuba memabukkan rakyat jelata dengan paparan-paparan "berita transformasi" saban hari yang lebih merupakan propaganda. Namun percubaan Najib untuk mengembalikan kegemilangan UMNO bakal menemui kegagalan.
Sementara UMNO masih bergelumang dengan "lumpur ekstremisme" bagaikan budak kecil yang belum matang, PAS tidak terikut-ikut dengan permainan budak-budakan UMNO. Petunjuk yang ditonjolkan oleh perwakilan PAS dalam pemilihan saf kepemimpinan baru PAS kali ini adalah jelas: Tolak UMNO, tolak Utusan dan kuburkan politik "kerajaan perpaduan"!
Sistem dua-barisan harus bermula dengan pertukaran rejim di peringkat persekutuan, tetapi hujah ini tidak bermaksud rejim baru dapat menduduki tampuk pemerintahan selama-lamanya. Apabila politik kedua-dua belah masing-masing menuju ke arah pertengahan, pertembungan juga akan berlaku. Tetapi pertembungan dalam kerangka pertengahan dapat menjauhkan politik kenegaraan daripada pergolakan yang tidak terjangka.
Maka persoalan seterusnya adalah, apakah perbezaan konsep "negara berkebajikan" PAS dengan UMNO yang juga mendakwa kononnya didasari konsep yang sama? Dalam soal ini, 
Media elektronik, termasuk stesen televisyen dan radio, menerima surat rasmi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertarikh 7 Jun 2011. Dalam surat tersebut, pengamal media diminta kerjasama untuk "menghebah dan mewar-warkan maklumat tarif elektrik baru Tenaga Nasional Berhad", yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2011.
Kerajaan persekutuan mengumumkan kenaikan tarif secara purata pada kadar 7.12%, iaitu dari RM31.31/kWh kepada RM33.54/kWh. Kerajaan menjelaskan bahawa kenaikan 7.12% itu disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk sektor tenaga.
Kini, arus inflasi semakin menderas. Model Ekonomi Baru pula sukar menampakkan keberkesanannya. Najib (gambar kiri) berdepan dengan perebutan sumber dalam UMNO. Sayap kanan dalam parti mungkin mengambil kesempatan untuk menekan agar Najib berundur - seandainya Najib gagal memulihkan keadaan, lebih-lebih lagi menjadi liabiliti dalam parti - berikutan skandal yang terpalit pada dirinya. Untuk Najib, beliau berdepan dengan pelbagai rintangan - dalam pertimbangannya untuk mengumumkan pilihan raya umum awal sebagai strateginya membalas serangan.
Najib terpaksa menjawab isu ini setelah diserang bertalu-talu oleh Anwar Ibrahim dalam PRK Ijok pada tahun 2007. Najib mendakwa dirinya tidak mengenali Altantuya, dan Kementerian Pertahanan membuat kenyataan bahawa wang bernilai 114.96 juta Euro (kira-kira RM535.8 juta) yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd bukan "komisen", tetapi kos perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama enam tahun. Syarikat Perimekar dimiliki isteri Razak Baginda (gambar kanan).
Sebelum Najib mengorak langkahnya untuk menjadi PM, beliau dihujani tuduhan daripada Raja Petra Kamaruddin (RPK) dan penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal, yang membuat akuan bersumpah untuk membabitkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes Altantuya (gambar kiri). RPK melarikan diri ke luar negeri, dan tampil di TV3 pada April 2011 - semasa pilihan raya negeri Sarawak - untuk menafikan bahawa dirinya yang membuat tuduhan terhadap Najib dan Rosmah, sebaliknya hanya mendedahkan maklumat yang diterimanya dari sumber. Bagaimana sekalipun pertikaian selanjutnya tentang "pengakuan" RPK ini, yang penting adalah Najib telah mendakwa bahawa nama dirinya "dibersihkan" lantaran daripada wawancara TV3 tersebut.
Cynthia (gambar kanan) menjelaskan bahawa buat masa kini rakyat gagal memperolehi dokumen-dokumen ini daripada kerajaan Malaysia lantaran daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Namun, dokumen berkenaan boleh diperolehi daripada Perancis setelah perbicaraan mahkamah bermula, malah hakim boleh memanggil saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.
Kita tidak lupa bahawa Najib pernah bersumpah atas nama Allah bahawa dirinya tidak kenal Altantuya - di depan kira-kira 900 orang pemimpin akar umbi UMNO, pada Julai 2008. Seandainya apa-apa bahan bukti dalam mahkamah Perancis menunjukkan bahawa Najib mengenali Altantuya, maka beliau bakal berdepan dengan krisis integritinya.
Zahid (gambar kiri, kanan) dilihat sebagai "orang Najib" dalam pemilihan UMNO pada tahun 2009. Menteri Pertahanan ini kelihatan telah meninggalkan kem Najib. Perlu diingatkan, skandal kapal selam gagal selam, kecurian enjin jet - pendedahan ini memperlihatkan bahawa "ada pihak yang melepaskan khabar" - tentang skandal yang berlaku ketika Najib merangkap jawatan Menteri Pertahanan.
Nampaknya Najib tidak mempunyai ruang yang lebih selesa. Meskipun Najib dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin memainkan peranan berasingan untuk menyasarkan undi dari komuniti berlainan - iaitu Najib dengan 1Malaysia-nya, dan Muhyiddin dengan "Kemelayuan"-nya, tapi jelas, Muhyiddin kelihatan lebih disenangi dalam UMNO.