Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka. Jika kebetulan serasi dengan pelawat terimalah & manafaatkannya.

Jumaat, 2 Disember 2011

Satu Malaysia dalam konteks realiti sosial dan politik

Oleh Dr Kamarudin Musa    

Pendahuluan

One Malaysia – satu Malaysia: satu metafora di antara beberapa metafora dalam sejarah penggantian kepimpinan utama negara, maknanya cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi salah satu “artifak” sejarah, sebagaimana lenyapnya “kepimpinan melalui teladan”, “bersih, cekap dan amanah”. Persoalannya, apakah yang dikatakan satu Malaysia? Apakah falsafah di sebalik gagasan (?) satu Malaysia? Mencari Damai Abadi.

Nampaknya, setelah sekian lama gagasan ini dikemukakan, disebalik gembar gembur media, namun impaknya tidaklah begitu mendasar dalam konteks pemikiran sosial dan politik di kalangan rakyat Malaysia, khususnya sepanjang yang berkaitan dengan falsafah politik pembentukan negara bangsa. Ini bererti gagasan Satu Malaysia tidak begitu mekar dalam penterjemahannya, terutama dalam hal-hal yang bersabit dengan perhubungan sosial dan hala cara tingkah laku politik.

Apa yang nyata, fenomena Satu Malaysia tidak diterjemahkan secara konkrit dalam membentuk pola perhubungan pentafsiran terhadap realiti amalan demokrasi, terutamanya sepanjang yang berkaitan dengan perbezaan tafsiran terhadap pendekatan politik serta idealisme politik, juga sepanjang yang berkaitan dengan dengan pendefinisian amalan kebebasan media serta layanan dalam pemberitaan media. Maknanya, apabila digagaskan unsur ke arah realiti penyatuan nilai dan norma, ia tidak seharusnya dibentuk dalam lingkungan retorik bahasa semata-mata, sebaliknya ia seharusnya mempunyai kesahan dalam konteks kesesuaian idea dengan amalan praktis.

Permasalahan Idea Satu Malaysia


Hakikatnya gagasan Satu Malaysia, sehingga kini tidak memencarkan nilai dan norma yang jelas, sama ada dalam bentuk perlakuan atau pun falsafah perhubungan sosial, apa lagi dalam konteks kerangka politik demokrasi. Terdapat unsur-unsur kecelaruan nyata dalam menentukan piawai ke arah peneguhan Satu Malaysia, Cuma digambarkan melalui Kedai Satu Malaysia, Klinik Satu Malaysia, Larian Satu Malaysia dan juga Baju Satu Malaysia, namun persoalan dalam konteks membina kerangka praktis nilai dan norma dalam ertikata sebagai unsur pengikat kesatuan bangsa itu, sebenarnya tidak begitu kukuh, juga tidak begitu kejap bertunjang. Hal ini begitu jelas, apabila wujudnya unsur-unsur pencabar, sebagaimana yang ditampilkan dalam perjuangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), sehingga menjadikan gagasan Satu Malaysia menjadi lebih kelam dan kusut.

Perdana Menteri dalam kenyataannya menjelaskan bahawa satu Malaysia merujuk kepada “rakyat Malaysia berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”. Berdasarkan frasa ayat ini, maka terdapat dua unsur utama yang menjadi pengukur kepada faktor kritikal kejayaan dalam menentukan deskripsi Satu Malaysia, iaitu;

Pembentukan pemikiran dan tindakan yang berteraskan kepada konteks identiti bangsa Malaysia.
Perkiraan segala bentuk tindakan seharusnya didasarkan kepada kehendak semua kumpulan etnik yang wujud dalam Malaysia.

Persoalan yang wujud dalam memperjelaskan kedua-dua unsur ini adalah berkaitan dua konteks pembolehubah yang agak abstrak sifatnya, iaitu “bangsa Malaysia” dan “kehendak kesemua kumpulan etnik”. Hakikat yang dikaitkan dengan identiti bangsa Malaysia, menimbulkan keraguan dalam konteks asas piawai yang mencirikan bangsa itu dan juga berhubung kait dengan sifat pengenalan bangsa itu yang dapat menimbulkan satu pengiktirafan dalam aspek “rupa bentuknya”. Hal ini akan mempengaruhi dimensi berfikir dan pola tingkah laku di kalangan masyarakat.
Apa yang jelas, gagasan Satu Malaysia tidak menggariskan asas falsafah kepada pembentukan bangsa Malaysia, khususnya dalam aspek sistem dan struktur sosial yang menjadi lingkaran kehidupan bermasyarakat, terutama berkaitan dengan penegasan terhadap konsepsi kebangsaan. Sebaliknya apa yang jelas berlaku, jurang kehidupan sosial dan amalan sosial yang dipraktiskan tidak mengarah kepada kesatuan bangsa Malaysia. Kekuatan tradisi, kepercayaan, norma, pegangan dan prinsip masih belum dapat dirombak untuk disepadukan dalam konteks realiti bangsa Malaysia.
Titik persamaan dalam kerangka bangsa Malaysia tidak sepenuhnya dicerakinkan dengan jelas, sebagai satu piawai dalam falsafah bangsa. Kemerdekaan 1957 sehinggalah kepada pengisian kemerdekaan dan kini dikatakan era pengindustrian bangsa serta merentasi dinamik globalisasi, tidak menampakkan dengan jelas akan ciri, rupa bentuk dan pemikiran bangsa Malaysia, hakikatnya realiti asas perkauman (teras kewujudan parti-parti politik dalam Barisan Nasional, memperlihatkan pemisahan berasaskan kaum) masih mendefinisi kitaran sosial.

Hal agak jelas dalam beberapa kes, berkaitan dengan kepimpinan perkhidmatan awam dan penguasaan dalam syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan masih didominasi oleh kaum tertentu, ini merupakan penghalang utama dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia, disebabkan wujudnya ketidakseimbangan dalam pertautan sosial dan sistem ekonomi, bukan sahaja dalam konteks antara etnik, tetapi juga antara wilayah, menampakkan tumpuan yang berbeza dalam pembangunan fizikal dan pengagihan sumber-sumkber ekonomi.


Jurang ekonomi juga wujud dalam realiti kehidupan masayarakat bukan sahaja di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan-kawasan bandar dan perbandaran. Kewujudan dualisme pendidikan juga merupakan penghalang kepada pembinaan nilai dan pengukuhan kepercayaan terhadap bangsa Malaysia, apa lagi untuk membentuk penyatuan pemikiran dalam Satu Malaysia. Soalnya, nilai dan tradisi serta matlamat kehidupan yang berbeza, sebenarnya menjadikan jurang sosial agak sukar untuk bertaut, oleh itu, pemikiran ke arah pembinaan bangsa Malaysia itu tidak memberikan apa-apa makna. Tambahan lagi, perjuangan berasaskan kepentingan bangsa itu masih menjadi paksi utama dalam senario politik Malaysia, hakikat ini tidak ternafi dalam perjuangan UMNO itu sendiri.
Aspek lain yang menjadi intipati kepada gagasan Satu Malaysia sebagaimana dikemukakan oleh Perdana Menteri adalah bersabit dengan, “segala bentuk tindakan seharusnya didasarkan kepada kehendak semua kumpulan etnik”. Permasalahan yang wujud tentunya berkisar di sekitar pendefinisian terhadap, “kehendak semua kumpulan etnik”. Setiap etnik tentunya mempunyai kehendak dan tuntutan yang berbeza, sesuai dengan kepentingan sesuatu etnik itu, berasaskan nilai, kepercayaan, ideologi, pemikiran, tradisi, pegangan dan falsafah hidup yang melingkari persepsi sosio budaya.
Ini bermakna, dalam usaha merealisasi konsepsi Satu Malaysia, setiap etnik seharusnya dapat membentuk tingkah laku sosial dan politik sejajar dengan kepentingan sesuatu etnik itu, berasaskan nilai, kepercayaan, ideologi, pemikiran, tradisi, pegangan dan falsafah hidup, maknanya membentuk realiti tingkah laku berdasarkan keperluan dalam kepelbagaian kehendak. Permasalahan yang wujud tentunya adalah untuk menentukan aras serta tahap dan bentuk tingkah laku yang boleh dijadikan pengukur kepada kesesuaian kehendak bagi setiap etnik, agar ia dapat membentuk pengiktirafan terhadap kepentingan bersama.

Sekiranya ini gagal dilakukan, maka persoalan yang dikaitkan dengan “kehendak semua kumpulan etnik”, hanyalah sebagai satu lontaran idea yang tidak diasaskan kepada pendalaman pemikiran. Persoalan lain yang dikaitkan dengan “kehendak semua kumpulan etnik” ialah dalam menentukan batas sempadan untuk memenuhi kehendak semua kumpulan etnik, isu-isu yang berkaitan dengan nilai merupakan antara isu yang akan menjadi pencetus kekangan dalam menentukan tindakan untuk memenuhi “kehendak semua kumpulan etnik”.

Oleh yang demikian, persoalan yang berkaitan dengan “kehendak semua etnik”, merupakan sesuatu yang agak “mujarab” dan teoritis, selagi tidak digarispandukan dengan jelas berasaskan kepada satu standard tingkah laku yang dapat membentuk nilai sosial yang bersifat nasional bagi mentafsirkan “nilai kehendak bersama”. Perkara ini hakikatnya telah cuba diusahakan melalui deklarasi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang antara lain menegaskan, bahawa kebudayaan kebangsaan itu berteraskan kepada tiga perkara, iaitu;

Islam menjadi teras kepada pembentukan kebudayaan kebangsaan.
Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.
Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan satu kerangka dalam membentuk penerimaan nilai bersama, juga pada masa yang sama membina identiti negara. Sekiranya asas ini yang digunakan, maka “kehendak semua kumpulan etnik” dalam erti kata memenuhi kehendak samada tersirat atau tersurat, juga menjadi kontroversial, memandangkan ia akan menimbulkan persoalan prinsip dalam nilai yang menjadi pentafsir kepada kewujudan etnik itu sendiri.

Tambahan pula, antara etnik mempunyai aspirasi, ideologi, fahaman dan pendirian politik yang tersediri, khususnya sepanjang yang berhubung dengan perjuangan kepentingan “survival” setiap etnik. Lantaran itu, mengiktiraf “kehendak semua kumpulan etnik” akan menimbulkan realiti kompromi politik yang mengakibatkan antara etnik akan kehilangan “hak” dan terpaksa menerima dan melepaskan kepentingan sendiri dan mengesahkan kepentingan pihak lain sebagai satu kepentingan bersama walau pun bertentangan dengan pendirian politik. Hal ini telah berlaku dalam konteks Perlembagaan 1948, Perlembagaan 1957 dan Pembentukan Malaysia 1963.

Gagasan lain yang disuarakan Perdana Menteri, “Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilakukan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.”

Berdasarkan komitmen yang dijelaskan, satu Malaysia – membawa makna segala tindakan dalam konteks keputusan-keputusan politik, sosial dan ekonomi haruslah mengambil kira hak dan keuntungan bersama merentasi dan menerobos sempadan perkauman, pada masa yang sama menghapuskan segala bentuk diskriminasi dalam konteks penyampaian bantuan dan pertolongan dalam mempertingkat kedudukan sosio-ekonomi Bumiputera. Namun demikian, penerjemahan terhadap pemikiran ini tidak direalisasikan secara berprinsip.

Amalan pemberian projek niaga dan projek-projek kepentingan kerajaan tidak diagih secara sepadan, merentasi batasan politik, konsep bumiputera lebih menjurus kepada golongan yang mempunyai aliran ideologi selaras dengan pemerintah, dengan itu, pemikiran ini tidak benar-benar mempunyai impak ke arah membangun bumiputera secara menyeluruh sebagaimana yang dihasratkan “menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilakukan dengan cara yang adil”.

Ini bererti, pendefinisian bumiputera hanya terbatas kepada lingkungan mereka yang berada dalam lingkaran kuasa semata-mata, maka soal keadilan, hakikatnya tidak mempunyai justifikasi yang mantap dalam menentukan pertimbangan mendapat faedah daripada pihak pemerintah. Hakikatnya, projek yang dikaitkan dengan Projek Fidlot Kebangsaan (NFC), bernilai RM 250 juta, antara contoh projek yang dikaitkan dengan figura yang berada dalam lingkungan kuasa.

Penutup


Tegasnya satu Malaysia, seolah-olah penegasan untuk mengembalikan sesuatu hak kepada mereka yang berhak berdasarkan hak sebenar, menurut apa yang telah ditentukan dan yang akan ditentukan. Ini bererti, satu Malaysia – memperlihatkan satu pengesahan berkaitan dengan kegagalan dasar-dasar dan tindakan politik kerajaan selama hampir lebih lima puluh empat (54) tahun, dalam membina kesatuan dan kesepaduan bangsa, khususnya dalam konteks pola perhubungan antara etnik dan pembahagian kekayaan negara.

Apa yang ketara, pemikiran yang berkait dengan perpaduan serta keutuhan bangsa dan negara, mempunyai persepsi dimensi yang amat terbatas. Konteks perpaduan dan integrasi, sebagaimana yang digambarkan dalam idea Satu Malaysia, lebih kepada perkaitan perhubungan etnik, tanpa adanya pemikiran konkrit ke arah metafsirkan agenda dengan lebih luas, berasaskan tindakan pemerintah itu sendiri dalam berperanan menghidup dan mempraktiskan intipati perpaduan itu sendiri.

Politik Machiavelli, pembesaran dan penonjolan politik prasangka perkauman, khususnya dikalangan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan pro pemerintah, pendiskriminasian kerajaan negeri yang berlainan ideologi politik, ketidakseimbangan layanan dalam konteks pembangunan infstruktur antara wilayah, sekatan terhadap hak-hak sebagaimana yang dilembagakan dalam Perlembagaan, manipulasi jentera kerajaan untuk kepentingan politik pihak berkuasa, ketidakseimbangan pembanungan ekonomi dan isu-isu yang berkaitan dengan royalti minyak, ketidakperihatinan terhadap amalan kebebasan media dan juga politik kronisme, menjadikan Satu Malaysia, sekadar satu gagasan yang tidak mendasari acuan.

Dengan yang demikian, pelaksanaan Satu Malaysia, menuntut kepada perubahan menyeluruh kepada sistem dan proses politik serta tingkah laku pemikiran politik, menjejaki realiti. Memahami akan pola dan perspektif politik dengan menerima akan kehadiran kepelbagaian serta mengiktiraf akan prinsip-prinsip demokrasi secara konkrit, pada masa yang meletakkan dasar-dasar yang dirangka selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kepemimpinan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular