Sungguhpun perkara minum beer, TOTO (loteri) mungkin dianggap remeh-temeh, namun isu pengharaman arak dan judi ini mampu mempengaruhi persepsi masyarakat bukan Islam terhadap PAS. Pengamatan ini dikongsi oleh pemerhati politik, Lee Ban Chen, ketika membincang sejauh manakah sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS.
Mengambil contoh isu pengharaman arak dan judi, Lee Ban Chen berkata PAS tetap dengan penampilan imej yang dianggap ekstrem, apabila menjuarai isu sebegini. Malah, sungguhpun "Negara Berkebajikan" diketengahkan, namun tetap dipersoalkan sesetengah pihak bahawa mengapa PAS hanya membangkitkan konsep ini setelah lebih setengah abad? Dan mengapa ditekankan Negara Islam, hukum hudud dan halal-haram pula untuk setengah abad yang lalu, persoal Lee Ban Chen.
Belum meyakini bukan Islam
"Orang sekular di sisi orang Islam, dia rasa dia rendah... kafir. Dia tidak dapat dihormati seperti setaraf. Kalau tanggapan itu tidak dapat diubah, sukar parti (PAS) ini mendapat sokongan yang ikhlas..." kata Lee Ban Chen dalam satu forum berjudul "Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke arah Pertengahan dalam Kemajmukan", semalam.
Forum anjuran Jawatankuasa Hak Civil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (CRC-SCAH) ini membariskan panelis Naib Presiden PAS Husam Musa, Pengarah Eksekutif Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng, selain Lee Ban Chen, dengan Chai Chee Fatt sebagai moderator. Kira-kira 80 orang hadirin dari kaum Melayu dan Cina hadir dalam forum yang diadakan di SCAH itu.
Sebelum ini, ketika mengulas kesudahan Muktamar PAS ke-57 yang berlangsung pada 3-5 Jun 2011, beliau berterus-terang bahawa harapan terhadap PAS tidak boleh melampaui kebolehan PAS sebagai sebuah parti Islam, meskipun beliau sendiri berkongsi kegembiraan dengan kelahiran saf pimpinan baru yang lebih terbuka, inklusif dan progresif, serta berupaya memanfaatkan transformasi politik negara ke arah pertengahan atau kesederhanaan.
Husam: Terdapat 1000 Nizar dalam PAS!
Susulan daripada pandangan Lee Ban Chen, Ketua Eksekutif SCAH Tang Ah Chai, yang melontarkan pandangan dalam sesi soal-jawab, turut meluahkan pandangan bahawa undi Cina terhadap PAS tidak harus ditafsirkan sebagai sokongan terhadap Negara Islam. Bagaimanapun, beliau mengambil contoh bagaimana bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin membuka mata bukan Islam dengan pimpinan kerajaannya - membebaskan komuniti ini dari stereotaip terhadap PAS.
Tang Ah Chai (gambar kanan) berkata, Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat meskipun disenangi komuniti bukan Islam dengan sesetengah kenyataannya, tetapi pemimpin ini kadang-kala turut mengeluarkan kenyataan yang kurang menyelesakan, yang dianggap fundamentalis, konservatif dan diskriminatif terhadap golongan wanita. Beliau seterusnya bertanya, berapakah orang pemimpin dalam PAS yang seumpama Nizar?Sambil berseloka Husam Musa berkata dalam PAS terdapat 1000 orang "Nizar", cuma memerlukan peluang dan platform untuk dibuktikan. Beliau mengambil contoh bagaimana Nizar kehilangan platform untuk perform setelah jawatan Menteri Besar Peraknya dirampas UMNO-BN, lantas merayu agar PAS diberi peluang sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan supaya ada platform untuk perform. Malah, beliau menganggap UMNO-BN memilih untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak kerana khuatir model Perak yang lebih mencerminkan keadaan Malaysia ini menjadi ancaman kepada UMNO-BN.
Husam: PAS berpeluang di Terengganu
Ketika menjawab soalan Tang Ah Chai, sejauh manakah peluang PAS-PR untuk mengambil alih Terengganu, negeri yang pernah ditawan PAS ketika PRU ke-10 pada tahun 1999? Mengambil unjuran beberapa kejadian baru-baru ini, misalnya ceramah politik Pakatan Rakyat di Terengganu, membariskan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang menarik kira-kira 30,000 hadirin, Husam Musa berkata sambutannya agak memberangsangkan.
Husam menambah, seandainya PAS menawan Terengganu, ia bukan sahaja mengambil alih kuasa kerajaan negeri, tetapi turut menyumbang dari segi bilangan kerusi parlimen.
Boleh saya bercakap mandarin 10 tahun akan datang?
Forum yang dijalankan dengan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar amat menarik buat hadirin, khususnya dari masyarakat bukan Islam. Menjawab soalan seorang hadirin, yang bertanya bagaimana untuk menarik lebih bukan Islam/Melayu agar menghadiri forum sedemikian, supaya lebih mengenali PAS, Husam menjawab, "Saya berfikir lain sikit. Saya berfikir adakah peluang saya bercakap mandarin 10 tahun akan datang?"
"Sebelum ini kita diajar dalam pemikiran kita, kalau kita belajar bahasa mandarin bahasa tamil, seakan-akan kita tak setia dengan kemelayuan kita," katanya.
"PAS pada masa yang sama kena ubah cara pemikiran, bukan saja nak tunggu orang Cina dengar kita, tetapi juga untuk mendekati dan memahami falsafah dan budaya kaum yang lain. Lebih cepat PAS melaksanakan ini, lebih cepat PAS diterima di peringkat negara," Husam Musa menggulung ucapannya.
Sementara itu, dalam jawapannya yang ringkas kepada persoalan bagaimana komuniti Cina boleh mengenali PAS, Ooi Heng berkata, akhbar Cina memberi lebih liputan kepada pemimpin DAP, dan sekiranya DAP lebih berbicara mengenai PAS, maka komuniti Cina akan lebih berpeluang mengenali PAS.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
0 ulasan:
Catat Ulasan