Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka. Jika kebetulan serasi dengan pelawat terimalah & manafaatkannya.

Ahad, 17 Januari 2010

Islam berpotensi besar di Sabah

Mesyuarat khas SEPAKAT [ Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat ] pula dilangsungkan . Sementara malamnya saya dijadualkan 2 program berkembar iaitu Kuliah maghrib di Masjid Tamparuli dan Ceramah umum di Tuaran .

2. Hujan agak lebat di Tuaran namun alhamdulillah ianya tidak menghalang ummat Islam tempatan untuk keluar menuntut ilmu di masjid . Kelihatan mereka sangat gembira menerima kunjungan penceramah dari semenanjung .

[ sempat bergambar di Jambatan Tamparuli yang masyhur itu ]

3. Saya mengambil kesempatan ini untuk memberi penekanan kepada beberapa nokhtah penting buat ummat Islam di Sabah setelah saya melihat potensi besar untuk Islam bertapak dan berkembang di bumi bawah bayu ini .

4. Pertama : Soal Ubudiyyah , agar diri dibentuk dan dibina dibawah pengaruh pengabdian diri kepada Allah swt. Laksana perintah Allah dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah swt . Taat dan patuh serta taqarrub kepada Allah swt . Jauhkan syirik dan elakkan tindakan atau perkataan yang mempersenda agama dan syariat Allah swt . Yang halal dikata halal dan yang haram dikata haram .

5. Kedua : Basmi kejahilan dengan menuntut ilmu dan menguasai sumber Islam iaitu al quranul karim sebagai kitab petunjuk . Tanpa memahami al quran Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik jauh sekali untuk menghayatinya . Sementara kejahilan membawa manusia menjadi derhaka dan kufur kepada Allah swt .

6. Ketiga : Sebarkan ilmu yang dimiliki kepada kaum keluarga terdekat , jiran tetangga dan masyarakat . Jangan biarkan Islam terkepong dalam 4 penjuru dinding surau dan masjid . Pastikan Islam sampai ke setiap pintu rumah dan hati manusia .

7. Keempat : Pertahankan Islam dari sebarang anasir yang cuba untuk melumpuhkan Islam dan memadam cahayanya . Jangan biarkan Islam dipersenda dan dipermain oleh mereka yang tidak bertanggungjawab .


8. Alhamdulillah , kelihatan jamaah di Masjid Tamparuli menginsafi 4 perkara yang saya tegaskan secara panjang lebar hampir satu jam sebelum saya turun ke Tuaran untuk bertemu pula masyarakat di sana . Ikrar yang mereka berikan sangat meyakinkan bahawa mereka adalah jiwa yang subur untuk Islam bertapak dan berkembang di sini .

9. Selepas menyampaikan ceramah , seperti biasa , saya mengambil kesempatan untuk bertemu dengan beberapa hadhirin khasnya anak - anak muda untuk memberi galakan dan penegasan secara personal atau direct kepada mereka bahawa negara dan masa depan rakyat banyak bergantung kepada peranan anak muda dalam membawa perubahan besar kepada negara .

10. Jiwa mereka segar dan waja . Hanya mereka perlukan bimbingan dan sentuhan kerohanian dari pemimpin laksana seorang murabbi dan mursyid. Kehadhiran mereka meyakinkan saya bahawa masa depan Islam di Sabah sangat berpotensi .

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2010/01/islam-berpotensi-besar-di-sabah.html

Jumaat, 15 Januari 2010

Hanya dengan Islam Melayu jadi mulia

Oleh ABD SHUKUR HARUN

Di suatu tengah malam dingin, di bibir Sungai Gombak-Sungai Klang, di tengah Ibu Kota, beberapa orang remaja Melayu dengan pakaian kotor, rambut kusut dan berbau tengek sedang berkhayal memegang sesuatu di tangan mereka dan menghisapnya sambil memejamkan mata. Tidak ada kata-kata, tidak ada siapa yang peduli, tidak diketahui di mana ibu bapa atau saudara mara mereka berada, tetapi mereka adalah penghuni belakang deretan kedai dan sampah sarap di situ. Mereka mengunyah kehidupan di Bandaraya ini tanpa makna apa-apa, justru bagi golongan ini kehidupan hanyalah helaan nafas dan khayalan. Itulah sebahagian penagih tegar di kalangan remaja Melau.

D bandar besar dan kecil di banyak tempat di negara ini, juga terdapat penagih dadah seperti ini. Golongan ini menghantar pelbagai masalah yang tidak terselesaikan sejak lama, terutamanya masalah kecurian, peras ugut dan segalanya. Memang sudah banyak usaha dilakukan oleh pelbagai pihak – NGO, badan agama, malah pihak kerajaan untuk memulihkan remaja penagih dadah ini dan berjuta-jura ringgit dibelanjakan, namun jumlahnya belum juga berkurangan malah terus bertambah ratusan ribu banyaknya.

Di tengah jalan raya yang luas, di tengah malam yang dingin juga, Mat Rempit yang sinonim dengan remaja Melayu menjadikan jalan raya itu meda perlumbaan motorsikal mereka. Nyawa menjadi taruhan dan keadaan ini sangat mengerikan. Mengapa remaja Melayu jadi begini.

Saya terkesan dengan perihal gejala sosial remaja Melayu ini ketika memikirkan demikian banyak seminar dan pelbagai wacana mengenai orang Melayu diadakan sepanjang tahun, di samping ratusan buku dan kajian mengenai orang Melayu – dari sejarawan William Roff, pengarang Melayu zaman klasik, Tun Sri Lanang memawalah kepada puluhan buku-buku mengenai Melayu masa kini, antaranya karya Senator Dr. Syed Husin Ali, ‘Melayu: Masalah Dan Masa Depan’ dan paling terkini ‘Jati Diri Dan Psikik Melayu’ karya Haji Ahmad Mohamad Said, seorang pendidik, aktivis Islam dan cendekiawan Melayu yang peka dan terserlah. Beliau adalah Pensyarah Kanan di Kolej Dar al-Hikmah, Kajang Selangor.

Buku-buku ini semuya mengingkap wajah orang Melayu, sebuah bangsa yang akar umbinya ialah kehidupan desa yang bergelut dengan kerja-kerja pertanian dan neayam dan kini orang Melayu sudah banyak meninggakan desa dan berhijah ke bandar dihantar oleh nasib disamping mencuba mencari rezeki lebih di kota yang dikatakan tepat wang dan kehidupan mewah berligar.

Tidak dinafikan bahawa kini orang Melayu sudah mencapai taraf kehidupan yang lebih baik sejak merdeka. Sudah ramai yang menjadi intepreneur, kalangan professional, ahli politik yang berkuasa dan bergaya, sudah ramai Melayu mengadakan majlis perekahwinan anak mereka di hotel besar, sudah ramai cendekiawan yang menyerlah, malah sudah ramai juga kalangan ilmuan Islam lepasan dalam dan luar negara.

Namun di samping melihat kejayaan ini, pengarang Haji Ahmad Mohamad Said melalui bukunya ‘Jati Diri Dan Pisikik Melayu’ itu tetap melahirkan kebimbangaan apabila beliau berkata: “Hakikat yang tidak dapat disembunyikan lagi ialah bahawa bangsa Melayu tidak kuat dan ternyata sedikit sebanyak kekuatan yang berbaki itu terus menerus terhakis. Justru itu kita perlu kejutkan diri kita dan seluruh bangsa kita kepada hakikat pahit bahawa gambaran muluk dan lambang kuasa yang kelihatan gagah itu sebenarnya sedang lompong. Di bawah tapak kaki kita terdapat arus keras yang sedang menghakis saki baki kekuatan yang masih ada. Seperti Highland Tower, segagah manapun kelihatan pada zahirnya, akhirnya ia menyembah bumi. Kita jangan diperangkap oleh ‘perasaan selamat yang palsu’ (false sense of consciosness) dan tertipu dengan imbol, retorika dan peta”.

Setelah membaca buku ini saya merasa pengarangnya mempunyai sebab yang munasabah mengapa tercetus kembibangannya ini. Iaitu, antara lain dengan bertambanya jumlah penagih dadah dan Mat Rempit di kalangan belia. Kelemahan lain yang membimbangkan, penulisnya ialah kelemahan pendidikan di kalangan orang Melayu, gejala sosial yang terus berkembang, minda yang tertutup, kelemahan pelajar Melayu, kegiatan hiburan yang meluap-luap, melupakan kepentingan agama, politik yang memusnahkan dan lain-lain lagi.

Jalan keluar dari masalah ini, menurut penulisnya, ialah berusaha untuk membebaskan diri daripada perangkap minda (mind trap) dan perangkap jiwa (psychological trap), dan perlunya orang Melayu menjana dan mengukuhkan jati diri Islami. Dalam hal ini saya teringat pesan pemikir Ikhwanul-Muslimin Syed Qutb kepada bangsa Arab dalam bukunya, ‘Ya Arabi’ (Wahai Bangsa Arab). Syed Qutb menyeru bangsa Arab supaya melaksanakan Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka kerana ‘hanya dengan Islam bangsa Arab menjadi mulia’, iaitu mengekori pandangan dari Umar Al-Khattab r.a. bahawa “Kita (bangsa Arab) dahulu adalah sehina-hina manusia, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam; andainya kita cuba mencari yang lain selain Islam necaya Allah akan menghina kita kembali.”

Dr. Siddiq Fadhil menyebut kembali kata-kata Umar itu dalam pengantarnya pada buku ‘Jati Diri Dan Pisikik Melayu’ tersebut, dengan menambah, “Dalam keadaan terdesak, Melayu selalu melaungkan kata pusaka ‘Tak Melayu hilang di dunia’. Seharusnya sumpah pahlawan yang bertekad melakukan come back di pentas dunia itu tidak diangkat sekedar menjadi slogan, tetapi diberi makna dengan pesan Allah s.w.t.; Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Maka demikianlah Allah .w.t. menerangkan mithal perbandingan.” – Surah Al-Ra’ad:17.”

Kesimpulannya bangsa Melayu hanya akan menjadi unggul, terbilang, dihormati dan bermatrabat jika mereka berdiri teguh dangan Islam dan melaksanakan tuntutannya, bukan melalui Keris Taming Sari atau keris pusaka yang lain, atau pandai bepencak silat, menyanyi, menari dan berlawak jenaka. Atau menjadil ahli politik yang pandai putar belit, ataupun menjadi peniaga yang tamak. Melayu hanya mulia dengan Islam yang mengajarkan erti kejujuran, rajin, bijaksana, adil dan amanah. Ini pra-syarat yang wajar untuk mengangkat martabat Melayu. Buku karya Ahmad Muhamad Said ini wajar dibaca untuk melakukan perubahan melalui formula Islam, bukan yang lain.

shukurharun@yahoo.com

Khamis, 14 Januari 2010

Kaum dan budaya apa yang lebih hebat?

Written by Zaki Samsudin

Masyarakat kita hari ini dikelilingi kepelbagaian. Kita terdedah dengan individu-individu yang berbeza warna kulit, budaya dan pegangan hidup berbanding diri kita sendiri. Maka dalam keadaan ini, dilema yang menanti adalah samada kita tetap teguh dengan cara dan budaya kita sendiri atau perlu kita mengalah dan menerapkan budaya orang lain.

Tidak kira siapa, Melayu, Cina, India, Arab dan sebagainya; nalurinya ialah mempertahankan adat dan budaya masing-masing. Jika ditanya, pasti ramai yang beranggapan budayanya-lah yang terbaik dan selainnya tidak setanding. Dalam sains sosial, fenomena ini dinamakan etnosentrisme (ethnocentrism). Walaupun sering dianggap negatif, etnosentrisme sebenarnya suatu yang normal dan setiap individu itu sebenarnya, sedar atau tidak, ada ciri-ciri etnocentrik.
Orang Melayu misalnya, rata-rata menganggap masakan Melayu itulah yang paling sedap, nasi itu hidangan wajib dan sambal belacan pelengkap hidangan. Mee, burger, spagetti atau apa saja selain nasi bukanlah makanan sebenar. Nasi sahajalah yang boleh mengenyangkan. Tidak kira di mana jua, di negara sendiri atau di perantauan, nasi-lah satu-satunya makanan asasi.

Saya sendiri pun lebih kurang begitu. Saya pernah tinggal di utara Eropah, pernah menyantap hidangan ikan salmon yang segar. Seringkali ke negara Cina menikmati mee dan sup daging yang enak. Namun kalau ditanya, hidangan apakah yang paling sedap, saya tidak teragak-agak menyatakan gulai tempoyak ikan patin yang paling sedap di dunia.

Saya bangga dan selesa dengan masakan Melayu. Namun, saya tidak pernah menghadapi masalah menyesuaikan diri bila berada di luar negeri. Saya pastinya tidak pernah kelaparan walau di mana saya berada walaupun tempat itu tiada nasi putih dan sambal belacan. Tidak pernah terlintas di fikiran saya walau di mana saya pergi untuk membawa periuk nasi, cili dan lesung batu.

Ini perihal diri saya. Orang lain bagaimana?

Budaya ada fungsinya

Hakikatnya, kebanyakan pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, antara yang harus dibawa ialah periuk nasi elektrik. Tidak kurang juga yang membawa lesung batu dan ramai juga yang membawa stok ikan bilis dan cili kering.

Pilihan makanan dan masakan hanyalah satu contoh. Pokoknya, bila berdepan situasi di mana budaya dan cara hidup kita tidak serupa dengan budaya dan cara hidup asing, ada yang mampu menyesuaikan diri dengan baik. Namun, ada juga yang tidak mampu menyesuaikan diri kerana terlalu bangga dan taksub dengan budaya sendiri.

Seorang ustaz saya pernah menceritakan, bagaimana ketika menghadiri satu jamuan rasmi, hidangan tengah hari yang dihidangkan adalah mee dan sup. Sudu dan garfu tidak disediakan. Yang ada hanya kayu sepit (chopsticks). Seorang rakan ustaz tersebut lalu bertanya dengan nada serius, “apakah hukum (halal atau haram) makan menggunakan chopstick?” Beliau sekadar menjawab, “kalau tahu pakai – kenyang, tak tahu – lapar.”

Melucukan, namun inilah realiti masyarakat kita hingga ke hari ini. Menanam perasaan bangga pada adat dan budaya kaum sendiri pastinya tidak salah. Namun, bilamana perasaan bangga ini sampai ke tahap kita memandang rendah budaya orang lain, perlu diteliti apakah punca dan kesannya. Lebih parah lagi jika budaya sendiri diangkat sebagai kayu pengukur bagi menentukan mana yang salah dan mana yang benar.

Bangganya orang Cina pada budaya mereka kerana kekayaan sejarah dan warisannya. Orang Melayu tidak kurang juga walaupun mungkin di Malaysia asasnya lebih pada budaya politik dan falsafah ketuanan bangsa. Walau apapun alasannya, perasaan bangga pada kumpulan sendiri dan keinginan untuk berafiliasi (need for affiliation) adalah sebahagian daripada fitrah manusia.

Dan tujuan Allah menjadikan kita berbeza kaum dan budaya adalah untuk kita saling mengenali antara satu sama lain; bukan untuk membenci dan bukan juga untuk beirihati.

Budaya itu penting kerana fungsinya. Fungsi budaya itu adalah untuk melakar garis panduan yang sedia dipakai untuk mereka yang mengamalkannya. Maka, bilamana sesuatu budaya itu sudah berkembang dan matang, pengamal-pengamalnya tidak perlu lagi berfikir panjang akan tatacara kehidupan seharian. Budaya memudahkan proses pembelajaran dan menjadi panduan penting di setiap peringkat perkembangan manusia.

Kepelbagaian budaya ialah kekuatan

Setiap kaum ada budayanya sendiri. Ia merangkumi segala-galanya yang menjadi kebiasaan dan diterimapakai oleh majoriti ahli sesuatu kaum itu. Budaya itu sifatnya berubah-ubah. Kaum pula sekadar label identiti seseorang individu. Konsep kaum itu sendiri punya definisi dan batasan yang berbeza. Ada kaum yang dilabel berasaskan warna kulit, ada yang berasaskan bahasa ibunda, dan ada juga yang berasaskan kaitan dengan negara asal (motherland).

Maka, jika diselami semuanya ini, tidak timbul soal budaya atau kaum apakah yang lebih baik dan hebat.

Kalau orang Melayu makan nasi menggunakan tangan, orang Cina pula makan menggunakan chopsticks. Perlukah dipersoalkan cara mana yang lebih hebat dan lebih mengenyangkan? Orang Melayu lebih selesa makan menggunakan tangan, orang Cina pula lebih selesa menggunakan chopsticks. Kedua-duanya membawa makanan ke mulut, lalu dikunyah, ditelan dan dibawa ke perut. Cara Melayu atau cara Cina, sama fungsi dan hasilnya.

Yang penting kita menghargai perbezaan yang ada dan menghormati orang yang amalannya berbeza dengan amalan kita.

Lainlah kalau amalan itu jelas salah di sisi agama dan undang-undang.

Perbezaan budaya antara kita harus dihormati dan diterapkan sedikit-sebanyak setakat mana yang termampu. Apa salah misalnya orang Melayu sekali-sekala berpakaian tradisi Cina dan orang Cina sekali-sekala bersongkok dan berbaju Melayu.

Dalam masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, inilah asas perpaduan yang perlu disemai dan dijiwai di setiap lapisan masyarakat. Kepelbagaian budaya itu bukanlah satu kelemahan dan ancaman pada keharmonian. Malah ia adalah satu sumber unik kekuatan yang perlu digilap ke arah matlamat yang sama.


http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1837:kaum-dan-budaya-apa-yang-lebih-hebat-&catid=219:contributors&Itemid=171

Rabu, 13 Januari 2010

Mengapa DAP, tidak Umno?

KETIKA saya pulang dari Langkawi semasa Dr. Mahathir baru menjadi Menteri Pelajaran pertengahan tahun 70an, saya bertemu di Alor Setar seseorang dari tanah seberang yang mengaku menjadi panasihat agama kepada Menteri Pelajaran itu.

Hari ini 13 Januari 2010 saya hendak ke Langkawi lagi. Sehari sebelumnya saya ketemu lagi orang seberang yang sama di Kuala Lumpur pula.

Pertemuan sekitar 35 tahun dulu dia bercakap tentang keyakinan tingginya Dr. Mahathir akan menjadi seorang pemimpin yang tinggi cita-citanya tentang Islam dan boleh melaksanakan cita-cita Islam sepenuhnya bagi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat Islam sebagaimana yang dikehendaki Islam.

Dr. Mahathir yang disebutnya itu adalah Dr. Mahathir yang menjadi Menteri Pelajaran masa itu.

Pada pertemuan yang terbaru itu pula dia membayangkan rasa hampanya kepada Umno, bukan sekadar tidak berupaya meletakkan Islam di kedudukan sepatutnya yang diharapkannya sekitar 35 tahun lalu, peluang dan ruang dakwahnya sendiri pun banyak yang tersekat.

Tetapi dia memberi harapan yang menggunung tinggi pula kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin, kebetulan Menteri Pelajaran sekarang. Padanya Timbalan Presiden Umno ini lain dari pemimpin-pemimpin Umno yang lain dulu dan sekarang.

Tinggi harapannya Muhyiddin Yassin boleh dan akan mahu menegakkan syariat Islam. Harapannya itu kira-kira saya sama dengan yang diharapkannya kepada Dr. Mahathir dulu.

Kami tidak bercakap tentang Dr. Mahathir pada kesempatan itu. Tetapi bila dia menyebut harapannya kepada Muhyidin itu, seolah-olah Dr. Mahathir tidak memenuhi apa yang diharapkannya. Jika Dr. Mahathir telah memenuhi sangkaannya tentulah dia tidak menyebut harapannya tentang Muhyiddin pula.

Dalam kehampaannya kepada Umno itu, dia tetap mendekatkan dirinya kepada Umno hingga hari ini.

Disebutkannya keinginan dan kemungkinan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi ada kebimbangannya kalau dia dekat dan bersama PAS, tersekat peluangnya untuk berdakwah.

Dakwah itu saya rasakan ialah memberi ceramah agama kepada orang Umno dan mengisi program Umno dalam soal agama Islam, termasuklah memberi kuliah di surau dan masjid.

Kalau kegiatan itu memenuhi dakwah dan perjuangan, pendakwah boleh meneruskan hidup yang seadanya di dunia ini.

Persepsi saya tentangnya, dia tidak berbangga dengan penampilan Umno dalam Islam, tetapi hendak terus bersama Umno dengan harapan akan berubah dan menjadi tenaga yang dapat membangunkan Islam.

Apabila seseorang itu dekat dengan Umno dan ada sedikit sebanyak faedah dari Umno, maka biasanya jauhlah dia dari PAS.

Walau pun yang tidak digemarinya tentang PAS, tetapi tidak pula diletakkannya PAS sama tidak berguna dengan Umno. Mahu dia menyertai kegiatan PAS kalau kena syaratnya.

Saya tidak mahu menyungkil suasana mana memungkinkannya akan bersama PAS.

Apa pun seperti terkilan dia kerana PAS tidak sedia berkawan dengan Umno tetapi memilih pula untuk berkawan dengan DAP.

Mengapa PAS tidak mahu berunding sulit dengan Umno supaya dapat ditegakkan sebuah masyarakat Islam yang syumul di Malaysia. Jangan berunding di Malaysia. Berunding di luar negeri kalau boleh di Mekah. Buat perjanjian dengan Umno untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam.

Ajak Umno bersumpah.

Kalau sesudah PAS jumpa Umno dan ternyata Umno tidak mahu, maka tidak mahu lagi dia tinggal di Malaysia. Mungkin tiada tempat lain dia hendak dan boleh pergi melainkan balik ke tanah seberang yang sudah ditinggalkannya lebih 40 tahun.

Kata saya, tak payah ke Mekah atau ke mana-mana untuk berjumpa. Sekadar hendak berjumpa, boleh jumpa dalam negeri dan di Kuala Lumpur saja. Tak perlu tunggu Umno menyatakan lagi ia tidak sedia menjalankan apa yang PAS cita-citakan untuk meninggalkan Malaysia.

Kalau itu syaratnya tidak mahu mendekati Umno lagi dan tidak mahu tinggal lagi di Malaysia, sepatutnya dia sudah lama pergi kerana Umno tidak akan buat apa yang diharapkannya. Tak perlu cakap untuk meninggalkan Malaysia. Boleh terus tinggal di Malaysia tanpa mengharapkan Umno berubah sikap.

Pada saya Umno tidak akan kata ia tak mahu laksanakan Islam. Ia akan kata, ia pun mahu Islam dan mahu laksana apa yang PAS mahu malah apa yang Tuhan mahu. Kalau PAS minta dia laksana Islam, ia akan sanggup tetapi sekadar sanggup saja.

Ditanyanya apakah DAP akan terima negara Islam? Padanya mustahil DAP dapat memenuhi cita-cita PAS. Maka mengapa PAS lebih suka kepada DAP dari Umno sedang Umno itu adalah orang Islam?

PAS tahu apa yang ada DAP dan PAS pun tahu siapa Umno.

DAP tak tahu Islam dan kerana itu ia tidak bercakap tentang Islam. Umno tahu Islam tetapi dia tidak buat Islam seperti yang orang seberang itu hajat. Tetapi DAP mahu berkawan dengan PAS dan tidak suruh PAS jadi Umno, tetapi Umno suruh PAS jadi Umno dan PAS tutup kedai.

Berkawan dengan DAP, boleh sampaikan dakwah. Nak dakwah apa pada Umno kerana dia kata dia pun tahu dakwah sebaliknya ia tentang dakwah PAS.

Saya teringat zaman Rasulullah SAW. Musyirikin adalah penentang utamanya dan tidak menganut agama tauhid. Di samping itu adalah ahlil kitab yang menganut agama tauhid. Akhirnya yang menerima dakwah Rasulullah ia musyrikin tadi. Ahlil kitab yang tahu Allah, tahu tauhid dan tahu nabi akhir zaman adalah Nabi Muhammad SAW, terus tolak baginda dan dakwahnya.

PAS bertemu hal yang sama. Ia bersama DAP yang musyrikin dan Umno yang tahu agama tauhid. DAP yang musyrikin mahu berkawan dengan PAS. Umno yang Islam mahu menumbang kerajaan PAS. DAP belum terima perjuangan PAS tetapi ia berkawan dengan PAS. Umno mahu telan PAS.

Siapa kata mustahil musyrikin DAP terima Islam? Ia mungkin terima dan mungkin tidak. Kalau musyrikin Mekah terima Islam, tidak mustahil musyrikin yang berkawan dengan PAS jadi seperti musyrikin Mekah dulu. Tetapi ahlil Kitab dari dulu tidak berubah.

Orang seberang tadi pun tak berubah juga.

Catatan Popular