Header Ads

ads header

Flash News

Kita perlu gerakan politik berprinsip

Oleh Wan Saiful Wan Jan

24 DIS — Susah juga melawan keinginan untuk menulis mengenai Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) setelah penubuhannya diumumkan beberapa minggu lepas.

Pertama kali saya mendengar mengenai MCLM ialah semasa bertemu dengan Raja Petra Kamarudin dan Haris Ibrahim di kota London pada penghujung November lalu. Tetapi saya memutuskan untuk menunggu sehingga sesi meja bulat yang diadakan oleh MCLM pada 19 Disember lalu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor sebelum mengeluarkan apa-apa komen.

Nasib baik juga saya membuat keputusan sebegitu. Kerana, tanpa mendengar sendiri penjelasan daripada MCLM terlebih dahulu, boleh dikatakan hampir semua komentar yang dibuat sebelum ini adalah berdasarkan tanggapan semata-mata.

Satu tanggapan yang sering diutarakan ialah bahawa MCLM adalah sekumpulan idealis yang sudah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambaran yang diberikan ialah seolah-olah MCLM ditubuhkan untuk mencederakan Pakatan Rakyat.

Contohnya, Baradan Kuppusamy, seorang kolumnis dalam akhbar The Star yang saya hormati menyebut dalam tulisan beliau bertarikh 15 Disember bahawa “melalui MCLM, kita menyaksikan kelahiran satu gerakan politik yang baru dan unik hasil usaha beberapa individu yang komited dan bersungguh-sungguh, yang telah hilang kepercayaan terhadap Anwar”.

Dalam The Malaysian Insider juga dilaporkan bahawa ramai yang agak ragu-ragu dan bimbang impak yang bakal diberikan oleh MCLM terhadap Pakatan Rakyat.

Ada satu perkara penting yang dilupakan oleh para penganalisis ini, iaitu MCLM sebenarnya jauh lebih bersungguh dan lebih komited untuk menjatuhkan Barisan Nasional berbanding apa-apa agenda lain!

Dalam sidang meja bulat tertutup pada hari Ahad lepas, MCLM dengan terang menjelaskan bahawa agenda reformasi akan terus dijulang tinggi. Bagi mereka, agenda reformasi sekarang hanya diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Maka ini mendorong MCLM untuk menyatakan secara terang-terangan dalam majlis mereka Ahad lalu bahawa mereka hanya mahu bekerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Melalui “Inisiatif Calon Bebas” yang mereka usahakan, MCLM mahu membantu mengenalpasti, menapis dan seterusnya berkempen untuk calon-calon menentang Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang. Niat mereka ialah untuk menawarkan calon-calon ini kepada Pakatan Rakyat.

Maka, apabila kita bercakap mengenai MCLM, kita harus menyedari bahawa buat masa ini, pertama sekali, mereka adalah satu pergerakan anti-Barisan Nasional. Mereka bukan ditubuhkan untuk mengalahkan Pakatan Rakyat, tetapi untuk membantu gabungan itu.

Bagi saya, perkara yang paling menarik perhatian mengenai MCLM ialah ketegasan mereka untuk memformulasikan prinsip-prinsip utama yang akan menjadi agenda kempen calon-calon pilihan mereka. Ini merupakan satu perkara yang agak baru dalam politik negara, setelah lebih separuh abad kita disajikan dengan politik berteraskan kaum dan agama.

Memang MCLM wajar sekali memberi perhatian kepada prinsip-prinsip perjuangan yang mereka mahu tawarkan kepada rakyat. Rakyat Malaysia telah sekian lama ternanti-nanti kehadiran sebuah gerakan politik yang berteraskan prinsip-prinsip kebebasan sivil yang jelas.

Apabila prinsip-prinsip ini telah dikenalpasti dan diumumkan kepada rakyat, MCLM wajib berpegang tegas dengannya. Mereka tidak boleh berganjak daripada prinsip itu. Dan dalam konteks inilah saya rasakan MCLM mesti memikirkan kembali strategi mereka dalam mendekati parti-parti politik negara.

Sekiranya MCLM benar-benar mahu menjadi satu gerakan masyarakat sivil yang berprinsip, maka adalah salah bagi mereka untuk mengisytiharkan bahawa mereka hanya mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Tindakan sedemikian mencerminkan anggapan mereka bahawa tidak ada parti komponen Barisan Nasional yang berminat dengan agenda perubahan. Ia juga menjadikan MCLM sebuah pergerakan yang partisan sejak awal lagi, bukan sebuah gerakan yang benar-benar bebas.

MCLM perlu menyedari bahawa Barisan Nasional terdiri daripada banyak parti-parti komponen. Di dalam parti-parti komponen itu, contohnya dalam Umno, terdapat fraksi-fraksi yang berbeza. Ada parti atau fraksi yang mungkin berminat dengan agenda perubahan. Saya mungkin salah, tetapi tidak ada cara lain untuk menentukannya melainkan dengan mengadakan pertemuan dan berbincang hati ke hati.

Sesetengah pemimpin Barisan Nasional yang pernah saya temui sebenarnya lebih terbuka dengan agenda perubahan berbanding sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat. MCLM tidak boleh menolak terus mereka ini.

Malahan, bagi saya, sekiranya MCLM benar-benar berpegang dengan prinsip, maka menjadi tanggungjawab mereka membantu mana-mana individu dan parti yang mahu membawa perubahan dalam negara, dalam konteks suasana politik inidividu atau parti tersebut beroperasi.

Dan satu lagi perkara yang amat penting, jika MCLM betul-betul mahu berpegang dengan prinsip, maka mereka mesti tidak gentar menghadapi pertembungan tiga penjuru dalam pilihanraya.

Saya terkejut dan sedih apabila membaca atau mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang mengaku sebagai pemimpin masyarakat sivil, yang membantah pertembungan tiga penjuru atas alasan itu akan melemahkan Pakatan Rakyat.

Sejak bila pula masyarakat sivil menjadi hamba kepada agenda Pakatan Rakyat? Kenapa sanggup dibiarkan kepentingan politik Pakatan Rakyat diletakkan lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang dipegang oleh masyarakat sivil di negara ini?

Pertubuhan masyarakat sivil, termasuklah MCLM sendiri, wajib berpegang dengan prinsip. Mereka juga perlu bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menerima prinsip-prinsip itu, dan menentang sesiapa yang menolaknya.

Sekiranya masyarakat sivil mahu menyertai arena politik, maka biarlah penyertaan itu berteraskan prinsip yang jelas, bukan sekadar menjadi pak turut parti-parti politik yang sedia wujud sahaja. Sepatutnya parti-parti politik itu yang mengikut denyut nadi rakyat, bukan sebaliknya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist

Tiada ulasan