Header Ads

ads header

Flash News

Komplot jatuhkan Khalid, ahli PKR minta siasat, Azmin enggan layan…

Oleh  Helme Hanafi


Seorang ahli pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) Khamis tampil meminta parti itu melakukan siasatan terhadap dakwaan Naib Presiden PKR Azmin Ali berkomplot mahu menjatuhkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ng Lum Yong, meminta PKR menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat ‘pengakuan’ Ketua Reformis Malaysia, Ramlan Abu Bakar bahawa beliau diberi tugas oleh Azmin Ali untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim.

Ng Lum Yong sebelum itu memperdengarkan rakaman perbualan tersebut kepada pihak media, yang katanya, antara Ramlan dengan seorang individu tidak dikenali, mengenai komplot tersebut.

“Ramlan, juga mengaku kepada individu itu, beliau dijanjikan untuk menerima habuan berbentuk tapak perniagaan pasar malam (uptown) daripada Azmin,” katanya dalam sidang media di Hotel De Palma, Ampang, Khamis.

Sementara itu, Azmin Ali ketika dihubungi Agendadaily enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.

“Saya tidak mahu membuang masa dengan perkara itu, saya nak tumpu kerja untuk kuatkan parti, bukan melayan pencacai-pencacai upahan ini,” katanya.

Ng Lum Yong, sebelum itu mendakwa sebagai ahli parti dan bekas pemimpin PKR pusat, beliau mahu perkara tersebut disiasat kerana jika benar ia boleh menjejaskan imej parti tersebut.

“Beliau (Ramlan) juga memberitahu bahawa Azmin Ali telah menyalurkan maklumat mengenai rasuah Khalid Ibrahim kepada beliau (Ramlan) bagi tujuan menjatuhkan Khalid Ibrahim,” katanya.

“Sebagai ahli PKR, pengundi di Parlimen Gombak yang diwakili Azmin, saya ingin bertanya apakah benar dakwaan tersebut, iaitu beliau menggunakan Ramlan untuk melancarkan gerakan menjatuhkan Menteri Besar Selangor itu,” tambah Ng.

Di tanya media, bagaimana beliau memperolehi rakaman tersebut, kata Ng, CD audio itu dipos ke rumah beliau 10 hari lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui belum mengesahkan apakah rakaman tersebut benar-benar suara Ramlan.

“Dia kawan saya, tapi sudah lama tidak jumpa, saya akan cuba hubungi beliau untuk mengesahkan perkara ini, tetapi apa yang penting adalah parti kena siasat pendedahan saya ini,” kata beliau.

Menurut beliau, pendedahan beliau ini seperti pendedahan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kes video peguam V.K Lingam.

“Sama seperti Anwar, beliau dapat video dan mahu kerajaan siasat, saya dapat audio pun mahu parti siasat,” katanya.

Beliau juga mencabar Anwar mendedahkan siapa yang dimaksudkan beliau sebagai ‘Trojan Horse’ dalam parti tersebut.

Ng juga mendedahkan beliau menerima SMS dan panggilan telefon daripada beberapa pemimpin kanan PKR untuk membatalkan sidang media yang diadakan hari ini.

“Saya teruskan juga untuk mencari kebenaran mengenai dakwaan ini,” katanya.

Tiada ulasan