Header Ads

ads header

Flash News

Keluarga bekas tahanan ISA teruskan perjuangan

Oleh Norlalila Othman 

Abah [Mat Shah Satray] dibebaskan dari ISA pada Sept 15, 2009 setelah Menteri Dalam Negeri dikatakan berpuashati kerana Abah tidak lagi menjadi ancaman kepada negara walaupun beberapa bulan sebelum itu menteri yang sama kata, beliau masih perlu ditahan kerana 'masih' memberi ancaman kepada keselamatan negara!

Tanpa sebarang proses perbicaraan dengan kehadiran pendakwa, peguam dan hakim mahkamah, beliau telah dihantar pulang oleh beberapa orang polis Cawangan Khas ke rumah kami di Taman Keramat.

Alhamdulillah, kami bersyukur pada Allah di atas kepulangan ini dan amat berterima kasih pada semua rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan serta doa supaya kami sekeluarga dapat bersatu semula selepas tujuh tahun dipisahkan oleh beberapa orang Menteri Dalam Negeri sebelumnya.

Walaupun bebas, hidup Abah tetap terkongkong. Saya dan Suhaib [anak] terpaksa membuat banyak pengubahsuaian dan pengorbanan untuk membantu beliau menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

Tiada siapa yang memahami bagaimana kehidupan Abah ketika tujuh tahun lebih di dalam Kem Kamunting ...namun... kami yang bergelumang dengan beliau setiap hari memang terpaksa bersabar melebihi 200 peratus dengan keadaan dan sikap beliau yang ternyata amat berbeza berbanding ketika belum ditahan ISA dulu.


Sepanjang tujuh tahun dikurung tanpa bicara, Abah tidak dapat bersama arwah bapa saya (mertua beliau) yang meninggal dunia pada 2003 serta ibunya sendiri yang meninggal dunia pada bulan Mei 2009. Hanya amalan anak soleh yang tetap terus menemani ibu beliau di alam barzakh sana di samping sesekali menziarahi kubur nenek (ibunya) untuk menghilangkan rindu setelah dipisahkan begitu lama.

Alhamdulillah ... kami masih panjang umur dan dapat berpuasa di bulan Ramadhan serta menyambut Hari Raya bersama-sama. Dari kedua-dua gambar (atas) jelas kelihatan betapa 'kekok' dan 'tegang'nya keadaan kami bertiga pada tahun lepas dan kini sudah mesra kembali.

Buat masa ini Abah masih belum bekerja lagi. Beliau menjadi 'suri rumah' setiap hari menghantar dan menjemput saya dan Suhaib pergi balik sekolah.

Sebaik saja pulang dari kerja, saya hanya berehat kerana rumah sudah bersih, kemas, pakaian siap dicuci, dilipat sekali dan ada ketikanya makanan sudah tersedia di atas meja. Saya juga tidak perlu ke pasar atau kedai untuk membeli keperluan dapur kerana semuanya dilakukan oleh Abah.

Saya benar-benar ingin menikmati saat-saat 'kerehatan' setelah melakukan segalanya -- mencari nafkah, mengurus kehidupan, membesarkan anak, melawat beliau di kem Kamunting -- semua bersendirian!

Abah memang ingin sangat nak bekerja macam ketua keluarga yang lain, tetapi niat itu terpaksa diurungkan buat seketika.... Buat masa ini, kami berdua melayani pengalaman lalu serta menulis segalanya kembali. Dia sebagai tahanan ISA, saya sebagai seorang aktivis.

Insyaallah jika ada rezeki, kami akan terbitkan buku tersebut untuk panduan bagi pasangan lain yang ingin berjuang memerdekakan negara dari ancaman ISA yang telah membelenggu minda rakyat negara ini.

Doakanlah segala akan terhasil.

Walaupun Abah dah bebas, kerja-kerja anti-ISA tetap diteruskan. Kami masih terus mengharap sokongan dan doa dari anda semua supaya diberi kekuatan oleh Allah untuk terus tetap dan berpegang pada prinsip keadilan sejagat bahawa tiada siapa boleh ditahan tanpa bukti, tanpa bicara.

Sangat jelas bahawa ISA digunakan oleh pemimpin yang berkuasa untuk memburukkan Islam dan pengikutnya. Dalam radio Ikim semalam, seorang wanita Kristian yang baru memeluk Islam mengakui bahawa media arus perdana di Malaysia juga turut bersubahat memberi gambaran buruk bahawa Islam dan penganutnya digambarkan sebagai ugama yang ganas dan ekstrim.

Di masa yang sama, doa kami juga tidak pernah berubah iaitu, sentiasa memanjatkan rasa penuh khusyuk kepada Allah supaya memberi balasan yang setimpal kepada penguasa ISA dan semua kakitangannya di atas kezaliman dan kejahatan yang telah dilakukan oleh mereka ke atas kami tujuh tahun lalu. Kami mohon Allah hancurkan semua yang terbabit menggunakan ISA.

Kami hanya akan berhenti berdoa seperti di atas sekiranya penguasa ISA memohon maaf secara terbuka di semua media arus perdana, bersihkan nama kami dan membayar gantirugi ke atas semua kerugian yang pernah kami alami sebelum ini.

Semua yang hidup pasti akan menemui mati, di dunia kami dinafikan, kami tunggu di akhirat sana.

Tiada ulasan