Catatan kepada pelawat:

Catatan kepada pelawat blog: Saya bina blog ini khas untuk saya sendiri bagi memudahkan saya memantau penulis-penulis di alam siber (internet) mengemas kini tulisan mereka.

Konsep : Artikel pada blog ini berfokus kepada pencetus minda rakyat.. yakni penulis ini memberikan idea untuk satu santapan minda baik pro atau mungkin kontra dengan pemikiran sejagat. Oleh itu artikel ini adalah artikel yang perlu kepada perbahasan minda.

Sabtu, 11 September 2010

Balik kampung tiada lagi pemandangan romantis tepi sungai

Written by Ramli Abdul Samad

Seperti lazimnya, musim raya menampakkan lebuhraya-lebuhraya yang sesak dengan umat Islam berpusu-pusu pulang ke kampung. Sudah tentunya udara kampung lebih bersih dan nyaman berbanding dengan udara kota.

Namun begitu, fenomena balik kampung juga bermakna lebih banyak lagi kenderaan akan berada di jalan raya dan jalan-jalan kampung.

Jika misalnya semua kenderaan diwajibkan memasang alat penapis pencemar yang lebih canggih lagi, maka sudah tentunya kuantiti bahan pencemar di udara boleh dikurangkan.

Begitu juga pencemaran dari udara dapat kita kurangkan dengan memastikan pihak yang terlibat dalam proses membuang atau memproses bahan kimia memasang alat pengolah pencemar industri.

Memang tidak dapat dielakkan bahawa kos yang tinggi akan terlibat memandangkan pemasangan alat-alat demikian memerlukan biayaan yang besar. Alat-alatnya adalah mahal bagi memastikan kekesanannya. Jika tidak, nanti kita akan memerlukan kos yang lebih tinggi lagi apabila keadaan menjadi lebih parah.

Sebenarnya, saat ini juga manusia harus menentukan sama ada ia mahu alam sekitarnya yang aman atau sebaliknya. Negara kita dilanda aneka bentuk pencemaran yang jika tidak diatasi akan membawa padah kepada seluruh generasi. Antara pencemaran yang begitu menjejaskan alam sekitar di kawasan bandar adalah sungai tercemar.

Zaman nostalgia sudah berakhir yang mana kita dapat melihat pemandangan romantis di kawasan sungai-sungai kita.

Dulu kita boleh melihat kanak-kanak bertelanjang bulat, kulit kecokelatan terbakar dek matahari yang penuh gelak ketawa sedang bermandi atau siap melompat mahupun suri-suri rumahtangga sedang membasuh kain. Ketika itu air jernih, ikanpun banyak. Alangkah sayangnya sungai kita sekarang sudah banyak tercemar.

Sungai bagaikan tong sampah

Lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Data-data berikut membuka mata kita bahawa sungai-sungai negara kita bagaikan tong sampah:

* Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), mendapati sebanyak 1,887 tan sampah-sarap dikutip menggunakan perangkap sampah (log boom) di sungai seluruh negara setiap bulan.

* Di Selangor sahaja, 990 tan sampah dikutip dalam sebulan, diikuti Pulau Pinang, 300 tan dan Johor 240 tan.

* Tujuh lembangan sungai di negara ini dikelaskan pada Tahap 3, 4 dan 5 iaitu kategori tercemar atau sangat tercemar hasil ujian kualiti air oleh JAS.

* Johor merupakan negeri paling banyak sungai tercemar melibatkan 18 batang dengan satu daripadanya paling kritikal.

Tambahan lagi tahukah anda bahawa berdasarkan kajian JAS, pada masa ini negara hanya memiliki 23 sungai bersih pada Tahap 1 di seluruh negara?

Kajian turut mendapati hanya terdapat 76 lembangan sungai yang bersih pada Tahap 1 dan Tahap 2 pada tahun 2008.

Semua ini adalah angkara perbuatan manusia termasuk pengusaha kilang yang sewenang-wenangnya membuang sampah dan sisa kumbahan ke sungai. Malah sesetengah pengusaha kilang lebih rela didenda sehingga RM100,000 daripada mematuhi prosedur pembuangan sisa industri.

Statistik JPS juga menunjukkan industri pengilangan, bengkel dan premis makanan merupakan penyumbang utama pencemaran.

Pemulihan sungai

Kos memulih sungai adalah mahal. Kos bagi tujuan pemulihan sungai yang telah tercemar teruk adalah antara RM100 juta hingga RM400 juta. Adalah lebih baik jika peruntukan yang amat besar itu digunakan untuk tujuan lain khususnya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur untuk penduduk.

Di negara maju yang mana para industriawannya tidak rela membelanja wang yang banyak ke atas alat pengawalan dan keselamatan akan berpindah ke negara-negara membangun yang tidak begitu ketat dan tegas dengan peraturan pembangunan bahan-bahan proses industri.

Kita mendapati negara-negara di Dunia Ketiga menjadi mangsa dengan kehadiran industri-industri itu. Negara kita juga tidak terkecuali dalam hal ini.

Alam sekitar dieksploitasi sepenuhnya walaupun merosakkan udara dan tanah. Hasilnya pencemaran diterima sebagi harga pembangunan yang dicita-cita itu.

Kita dapat merasakan sendiri betapa masalah kerosakan alam sekitar seperti pencemaran begitu berpengaruh kepada sumber-sumber air bersih, terutama sungai-sungai besar dan kecil yang bermuara dan mengalirkan bahan-bahan pencemar ke laut.

Mungkin ada di antara kita yang masih ingat lagi pengalaman para nelayan di Kuala Juru, Pulau Pinang sekitar awal 70-an dulu yang mana mata pencarian mereka sebagai nelayan pantai/kecil sejak turun-temurun sama sekali musnah sudah cukup menjadi teladan.

Gangguan-gangguan kepada alam sekitar seperti isu penipisan ozon, penggondolan hutan hujan tropika, pemanasan bumi dan berbagai-bagai bentuk pencemaran daripada kegiatan industri dan sebagainya seharusnya merisaukan kita demi masa depan kita.

Misalnya pembangunan di negara kita yang amat pesat sejak tahun 80-an dulu telah mengalpakan aspek alam sekitar. Bukit dan hutan ditarah dan salah satu akibatnya ialah terjadinya gejala banjir saban tahun dan membawa seribu satu kesulitan hidup kepada mangsanya. Bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara, sebanyak RM33 bilion diperlukan seperti yang diakui oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Douglas Uggah Embas baru-baru ini.

Kesedaran rakyat kian meningkat

Sejak 53 tahun merdeka, kawasan-kawasan seperti Lembah Kelang, Johor Bharu dan Pulau Pinang yang mana sekitarnya dikepung dengan kawasan-kawasan industri yang berkembang pesat mengalami kesan pencemaran yang tinggi.

Mengikut satu kajian, kadar hujan asid di kawasan-kawasan ini juga amat tinggi. Namun bukan kawasan seperti berkenaan saja yang harus merasa terpanggil untuk segera berbuat sesuatu konkrit demi mengatasi persoalan yang sama.

Tanggungjawab bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan malah masyarakat bersama-sama sepadan dengan peranan mereka dalam pencemaran yang menjadi hasil sampingan daripada kegiatan sehari-hari mereka.

Namun tanggungjawab besar adalah lebih kepada pihak industri. Andainya kita bersungguh atau komited terhadap mengatasi isu pencemaran, sepatutnya kita menekankan langkah-langkah pencegahan yang berupa denda atau keharusan untuk membiayai operasi-operasi memasang alat pengolah pencemaran.

Bagi para pelabur tersebut, belanja seperti memasang alat-alat pengolah pencemar sebagai norma yang diamalkan sudah sepatutnya masuk dalam perhitungan perbelanjaan operasi mereka secara menyeluruh.

Jika kita tegas dan komited, suasana hening kampung zaman kanak-kanak kita mungkin tidak seratus-peratus dapat dipulih namun kualiti alam sekitar boleh menjanjikan satu kawasan yang lebih bersih, sesuai dengan keperluan manusia. Pihak pemerintah tidak boleh lepas dari keharusan pada komitmen dalam hal ini dan ini semuanya untuk kesejahteraan anak serta keturunan kita bersama.

Tiada maknanya kita mempunyai simbol mega seperti Menara Petronas yang tinggi tersergam, Putrajaya, Formula One, berjuta kereta Proton/Perodua di PLUS ataupun Jambatan Bengkok jika keadaan 1,000 batang sungai kita dalam keadaan tercemar. Itu samanya seperti pembangunan timpang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular