Header Ads

ads header

Flash News

Debat dominasi dolar

Oleh Haris Zalkapli

Tajuk: The Future of the Dollar
Editor: Eric Helleiner dan Jonathan Kirshner
Penerbit: Cornell University Press (2009), 250 muka surat.

Tajuk: Global Imbalances and the Lessons of Bretton Woods
Penulis: Barry Eichengreen
Penerbit: The MIT Press (2010), 208 muka surat.

Berita dunia pada masa kini menyaksikan banyak liputan tentang kewangan dunia, melibatkan "sistem Bretton Woods baharu," kemerosotan dolar Amerika Syarikat sebagai matawang global (yang biasa dikaitkan dengan kemerosotan kuasa politiknya), dan kemunculan China dan matawangnya sebagai kuasa baharu ekonomi global.

Walau bagaimanapun, banyak laporan dan pandangan yang dikemukakan memberi gambaran mudah, malah ada juga yang menyeleweng dan memberi gambaran palsu seperti menjelaskan segalanya dengan kemerosotan kuasa AS dan peningkatan kuasa-kuasa baharu seperti BRIC (Brazil, Rusia, India, China).

Dua buah buku, The Future of the Dollar dan Global Imbalances and the Lessons of Bretton Woods dapat memberikan gambaran yang lebih kritikal, serta gambaran untuk memahami laporan-laporan melibatkan dolar, yuan, sistem kewangan global dan pemain-pemain utamanya.

Mengumpulkan pakar-pakar seperti David P Calleo dari Johns Hopkins dan Benjamin J Cohen dari Universiti California Santa Barbara, The Future of the Dollar memberikan penilaian yang luas asasnya, dan berdasarkan disiplin ilmu yang memberi penjelasan mendalam perlbagai sudut.

Pakar-pakar dalam buku ini menilai masa depan dominasi dolar menurut tiga perspektif iaitu berdasarkan pasaran (faktor ekonomi), instrumental (sistem Bretton Woods 2) dan geopolitik (kuasa AS).

Perbincangan ini tidak memberikan kesimpulan mudah kepada peranan dolar AS pada masa hadapan, tetapi tidak juga memberi gambaran berakhirnya peranan global dolar AS dan diambilalih oleh matawang lain.

Satu kesimpulan yang mudah diterima ialah kesimpulan Benjamin Cohen yang menjelaskan peranan lebih daripada satu matawang, dengan beberapa rantau di dunia menjadi medan pertempuran matawang-mawatang terbabit.

(Beliau turut menjelaskan bahawa kemerosotan satu matawang [dolar] tidak semestinya bermakna satu matawang lain [yuan] bersedia untuk mengambilalih kedudukan dominan itu, disebabkan kelemahan-kelemahan matawang pesaing itu.)

Perkembangan dalam politik dunia baru-baru ini, dan sejak hampir 10 tahun lalu menunjukkan berlakunya persaingan agak sengit dalam menyusun dan menilai semula sistem kewangan global.

Perancis, yang mempunyai sejarah peranan menentang "hegemoni dolar" kini berkongsi agenda bersama Inggeris untuk mewujudkan Bretton Woods baharu, yang bukan sekadar sistem sedia ada yang dikenali ramai sebagai Bretton Woods 2 yang masih dikuasai AS.

Baru-baru ini, Iran mengumumkan kesediaan untuk menerima matawang lain selain dolar untuk perdagangan minyak, sebagai respons kepada tindakan AS terhadap negara itu.

Ketua bank pusat Iran, Mahmoud Bahmani dilaporkan berkata minggu lalu bahawa Iran bakal menyerap kos-kos tambahan akibat proses itu.

Tindakan Iran itu dilaporkan melibatkan kedua-dua dolar AS dan euro, walaupun belum jelas sejauh mana Iran sedia menolak kedua-dua matawang utama itu.

Hal ini menjelaskan kaitan rapat dolar (dan juga euro) dengan agenda politik global AS yang menjadikannya sasaran dalam tindak balas terhadap dasar luar Washington.

Perkembangan ini menunjukkan Asia Barat sememangnya menyaksikan persaingan sengit dolar dengan matawang lain.

Euro, tegas Barry Eichengreen dari Universiti California, Berkeley dalam Global Imbalances and the Lessons of Bretton Woods masih lagi matawang yang paling mampu untuk berkongsi kedudukan sebagai matawang utama dengan dolar AS, menyimpulkan harapan yuan menjadi matawang rizab utama dalam empat atau lima dekad lagi sebagai terlalu awal.

Eichengreen juga memberi gambaran seperti juga semasa era Bretton Woods (1944-1973), AS terus menjadi negara teras dalam ekonomi dunia, dengan matawangnya menjadi pilihan.

Menurutnya, negara pengeksprt terus berkepentingan untuk mengekalkan nilai matawang pada tahap rendah, dan pada masa sama, AS terus berkepentingan untuk berbelanja besar lebih daripada kemampuannya.

Hal ini memberi gambaran keadaan yang berlaku hari ni, melibatkan negara pengeksport China yang memegang rizab besar dalam dolar akan berterusan untuk satu tempoh yang panjang, walaupun Beijing beberapa bulan lalu memberi harapan matawangnya akan dibenarkan bebas.

Kedua-dua buku ini membuat penilaian dan pemerhatian sejarah yang panjang, menilai dengan kritikal analogi mudah yang dibuat ramai pemerhati.

Satu fakta yang ditimbulkan dalam kedua-dua buku ialah peratus dolar dalam rizab global sebenarnya meningkat, tidak seperti yang dialami euro.

Kedua-dua buku ini merupakan rujukan penting untuk memahami berita dan analisis/pendapat tentang sistem kewangan global hari ini, dengan memberikan penjelasan kritikal isu-isu berkaitan, mengelakkan daripada sebarang kesimpulan dan persepsi simplistik.

Tiada ulasan